Terumbu karang di seluruh dunia semakin berkurangan, dengan kebanyakan kawasan terumbu kian mengecil berikutan gelombang haba marin yang semakin kerap berlaku.

Ia sekali gus menyebabkan terumbu karang itu kekurangan masa untuk pulih sebelum gelombang seterusnya melanda.

Namun, satu laporan baharu mendapati terumbu karang di Laut Asia Timur – yang turut merangkumi Singapura, Malaysia, Indonesia serta kawasan lain di Asia Tenggara – tidak mengikuti trend sedunia itu, dengan liputan karangnya kekal stabil sepanjang empat dekad lalu.

Laporan pada 31 Ogos oleh sebuah rangkaian saintis, pengurus dan pertubuhan antarabangsa, Rangkaian Pemantauan Terumbu Karang Global, turut menunjukkan rantau ini tidak mencatatkan sebarang peningkatan dalam makroalga, atau rumpai laut.

Ini merupakan satu lagi petanda positif terhadap tahap kesihatan terumbu di Laut Asia Timur, memandangkan makroalga berisiko menghalang pemulihan terumbu karang akibat persaingan dalam mendapatkan ruang untuk membesar.

Laut Asia Timur merupakan tempat terletaknya Segitiga Terumbu Karang, atau Coral Triangle, salah satu kawasan paling kaya dengan kepelbagaian biologi marin di dunia yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

Kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kawasan terumbu karang dunia terdapat di rantau ini.

Pakar tempatan memberitahu The Straits Times (ST) dapatan kajian tersebut menunjukkan terumbu karang di rantau ini mungkin mempunyai ciri tertentu, yang menjadikannya lebih berdaya tahan terhadap suhu lebih tinggi.

Sebagai contoh, ia mungkin mempunyai ciri genetik yang tahan haba, atau mempunyai mikroorganisma yang hidup di dalamnya yang membekalkan terumbu karang berkenaan dengan daya tahan haba lebih tinggi.

Ahli biologi marin, Profesor Madya Dr Huang Danwei, berkata terumbu karang yang mampu hidup subur dalam persekitaran mencabar, seperti di perairan keruh di sekitar Singapura, lazimnya mempunyai kadar daya tahan lebih tinggi terhadap gelombang haba marin.

Terumbu karang sedemikian berupaya menghasilkan anak karang yang secara semula jadi mempunyai daya tahan terhadap suhu permukaan laut yang lebih panas.

Apabila anak karang ini bertebaran dan bertapak di terumbu berhampiran, ia dapat memberikan daya tahan lebih tinggi kepada terumbu tersebut untuk berdepan gelombang haba, jelas Timbalan Ketua Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (LKCNHM-NUS) itu.

Dr Huang serta Pengarah Kumpulan Pusat Kepelbagaian Biologi Nasional di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), Dr Karenne Tun, merupakan antara penulis tempatan yang menyumbang kepada laporan global tersebut.

Diberi tajuk Status of Coral Reefs of the World: 2025 (Status Terumbu Karang Dunia: 2025), laporan setebal 296 muka surat itu berpandukan data selama lebih 40 tahun daripada 36,886 lokasi di 124 negara dan wilayah.

Kali terakhir laporan sebegini diterbitkan adalah pada 2021.

Terumbu karang menyokong kira-kira satu perempat daripada kehidupan marin, termasuk ribuan spesies ikan.

Kira-kira satu bilion manusia bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada terumbu karang, menerusi manfaat ekosistem yang disediakannya.

Namun, laporan itu menarik perhatian bahawa terumbu karang kini berdepan fenomena pelunturan (bleaching) dengan begitu kerap sehingga tidak lagi mempunyai masa untuk pulih sebelum kejadian seterusnya melanda.

Pelunturan berlaku apabila terumbu karang – yang mendapat warna terangnya daripada alga mikroskopik yang hidup di dalam tisu karang – bertindak mengeluarkan alga berkenaan apabila tertekan akibat peningkatan suhu laut, yang kemudian menyebabkannya bertukar menjadi putih pucat.

Alga tersebut membekalkan terumbu karang dengan nutrien, justeru apabila pelunturan berlaku, karang menjadi rentan terhadap serangan penyakit.

Terumbu karang berkemungkinan mati sekiranya peristiwa pelunturan itu berlarutan kerana ia kehilangan sumber nutrien penting.

Peristiwa pelunturan karang dunia pernah berlaku pada 1998, 2010, 2016 dan 2024, dengan Singapura turut mengalami pelunturan secara besar-besaran pada tempoh berkenaan.

Keempat-empat peristiwa pelunturan global tersebut menyusul selepas kejadian El Nino – fenomena iklim yang memanaskan suhu permukaan laut dan meningkatkan suhu dunia.

Para saintis memberi amaran bahawa satu lagi peristiwa pelunturan karang mungkin berlaku pada 2026, memandangkan dunia kini terjejas dengan fenomena El Nino teruk yang boleh berlarutan sehingga 2027.

Laporan itu menunjukkan bahawa purata tutupan karang keras dunia merosot daripada 30.2 peratus pada 1980, kepada 27.3 peratus pada 2024.

Tutupan karang keras, atau hard coral cover, merujuk kepada nisbah habitat pesisir pantai yang diliputi oleh karang keras.

Sebagai perbandingan, tutupan terumbu karang di rantau Laut Asia Timur kekal stabil antara 1980 dengan 2009, dengan purata liputan karang keras sekitar 30 peratus.

Kadar ini menyusut kepada 27 peratus selepas peristiwa pelunturan pada 2010, namun kembali pulih hampir ke paras asal dalam tempoh antara 2010 dengan 2020. 

Ketua pengarang laporan berkenaan, Dr Manuel Gonzalez Rivero, berkata selang masa antara peristiwa pelunturan suatu ketika dahulu mengambil masa beberapa dekad, tetapi kini hanya mengambil masa purata lima atau enam tahun.

Sebagai contoh, sebelum peristiwa pelunturan global pada 1998, pelunturan secara besar-besaran yang buat kali pertama berlaku secara meluas ialah semasa fenomena El Nino 1982-1983, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

Meskipun menurut laporan tersebut terumbu karang di rantau ini menunjukkan ‘kestabilan luar biasa’ dari segi liputan karang keras sepanjang empat dekad yang lalu, Dr Huang berkata pemanasan lautan berpunca daripada perubahan iklim kekal menjadi ancaman terbesar kepada terumbu karang, termasuk di rantau Laut Asia Timur.

Malah, terumbu karang di rantau ini turut berdepan keadaan lain yang boleh menjejas kesihatannya.

“Ancaman utama lain terhadap terumbu karang Asia Timur, termasuk pencemaran nutrien yang menyebabkan makroalga tumbuh secara berlebihan sehingga menutupi karang, kewujudan plastik marin, penangkapan ikan berlebihan, peningkatan pemendapan dan kekeruhan air, serta pembangunan pesisir pantai dan penambakan tanah,” jelasnya.