Singapura tidak mengimport ayam atau produk ayam dari ladang terjejas dengan wabak flu burung di Brazil.
Menjawab pertanyaan media, Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) dalam satu kenyataan bersama pada 19 Mei menyatakan terdapat aturan yang telah ditetapkan bersama Brazil, sekiranya berlaku wabak flu burung.
“Di bawah aturan tersebut, import dari premis terjejas dan yang berada dalam zon penampan boleh digantung, manakala import dari kawasan tidak terjejas di luar zon penampan boleh diteruskan,” tambahnya.
SFA dan AVS turut bekerjasama dengan industri untuk mengiktiraf sumber ayam baru yang memenuhi syarat keselamatan makanan Singapura, kata kenyataan itu, lapor The Straits Times (ST).
“Walaupun secara keseluruhan, bekalan ayam kita dalam keadaan mantap pada masa ini, kita boleh menjangkakan bekalan yang turun naik dari semasa ke semasa disebabkan wabak penyakit dan gangguan bekalan.
“Sebagai contoh, beberapa negara kini terjejas oleh wabak flu burung yang menjejas pengeluaran ayam mereka,” tambahnya.
Mempelbagaikan sumber bekalan makanan kekal sebagai strategi utama keselamatan makanan bagi Singapura, kata kededua agensi tersebut.
“Mempelbagaikan sumber (bekalan makanan) akan mengurangkan kesan gangguan daripada mana-mana satu sumber, kerana pengimport boleh beralih kepada sumber alternatif dengan cepat untuk menstabilkan bekalan makanan kita,” ujar kenyataan itu.
Berikutan laporan mengenai wabak flu burung di sebuah ladang komersial di Brazil – pengeksport ayam terbesar di dunia – semakin banyak negara mengumumkan larangan perdagangan bagi mengelakkan wabak tersebut daripada menular merentasi sempadan.
Pada 19 Mei, Jepun menjadi negara terbaru mengumumkan ia telah menggantung import ayam dari sebahagian kawasan Brazil.
Ia menyertai senarai negara yang semakin panjang, termasuk pembeli utama ayam Brazil, iaitu China dan Kesatuan Eropah (EU).
Perkembangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas negara Amerika Selatan pada 16 Mei melaporkan kes pertama virus flu burung yang sangat mudah berjangkit, di sebuah ladang ternakan ayam.
Singapura sangat bergantung pada makanan import, dan Brazil merupakan antara sumber utama bekalan ayam bagi negara ini.
Menurut perangkaan makanan tahunan SFA, Brazil telah menjadi pembekal utama ayam Singapura dari 2019 hingga 2021 – membentuk hampir separuh daripada ayam yang diimport ke Singapura dalam tempoh tersebut.
Walaupun Brazil adalah antara sumber utama ayam bagi Singapura, bekalan keseluruhan Singapura juga “cukup pelbagai” dengan 30 sumber yang sudah diiktiraf, termasuk negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Denmark, kata AVS dan SFA.
“Jika berlaku gangguan bekalan daripada mana-mana sumber, kami akan bekerjasama dengan industri untuk meningkatkan bekalan ayam sejuk dan beku daripada sumber lain, jika perlu,” tambahnya.
Jenis flu burung di Brazil dikenali pasti sebagai influenza avian yang sangat patogenik.
Varian tersebut boleh membawa maut kepada ayam ternakan, malah mampu menghapuskan keseluruhan kumpulan ternakan ayam dalam beberapa hari, berdasarkan maklumat di laman web Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan Amerika Syarikat.
Flu burung pada umumnya merebak dalam kalangan burung. Namun, ia juga boleh menjangkiti manusia.
Jangkitan berlaku melalui sentuhan dengan air liur, rembesan hidung dan najis burung yang dijangkiti, atau permukaan yang tercemar dengan virus tersebut.
Tiada vaksin untuk kes flu burung yang menjangkiti manusia, namun terdapat vaksin bagi ayam yang dijangkiti virus tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg