Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada kecederaan, kerosakan selepas sengkayan landa Tuas

Oct 19, 2023 | 5:57 PM
ANGIN KENCANG: Sengkayan yang melanda kawasan Tuas pada pagi Isnin tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan peralatan.
ANGIN KENCANG: Sengkayan yang melanda kawasan Tuas pada pagi Isnin tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan peralatan. - Foto ST

Apa yang kelihatan seperti puting beliung yang melanda sebahagian kawasan Tuas pada pagi Isnin sebenarnya adalah sengkayan.

Menukil seorang pakar dalam laporan The Straits Times (ST), Dr David Taylor menjelaskan sengkayan adalah sejenis puting beliung yang terbentuk di laut atau berasal di darat dan bergerak ke laut.

Profesor geografi di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata: “Sengkayan dengan pembentukan puting beliung berlaku di sekitar Singapura sekali-sekala dan dikaitkan dengan ribut petir yang kuat.

“Seperti puting beliung yang terbentuk dan bergerak di darat, ianya terbentuk disebabkan arus udara berputar yang terikat dengan ketidakstabilan (ricih angin) yang dikaitkan dengan ribut petir.”

Beliau menambah udara berputar secara mendatar di dalam awan, selari dengan permukaan tanah atau air.

Daripada video yang dimuat naik di Instagram singaporeincidents ihsan Encik Lim Tze Hoon, dapat dilihat sengkayan terbentuk dan bergerak di atas darat untuk beberapa saat sebelum ia pudar dengan serta-merta.

View post on Instagram
 

Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) berkata ribut petir kencang diperhatikan di laut barat Tuas, berhampiran tapak pembinaan Pelabuhan Tuas, antara 9 pagi dan 10 pagi pada Isnin.

MSS menambah sengkayan biasanya bertahan kira-kira 10 minit, tetapi yang lebih besar boleh bertahan sehingga satu jam.

Ia pudar dengan cepat berhampiran pantai atau apabila menghampiri daratan.

“Kelembapan dari laut memperkukuh pertumbuhan awan ribut petir.

“Walaupun (kekuatan) sengkayan biasanya lebih lemah daripada puting beliung, ia boleh menimbulkan beberapa risiko kepada mereka yang menjalankan sukan dan aktiviti air, serta kepada kapal kecil, dan boleh menyebabkan objek berterbangan,” jelas MSS.

Dalam satu respons kepada ST, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata tiada kerosakan pada peralatan pembinaan di tapak kerja dan tiada kecederaan terhadap kakitangan berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg