Kekangan masa selain tidak mempunyai kepakaran merupakan antara alasan utama yang dikemukakan salah seorang mantan pemimpin Majlis Pusat Singapura hingga membawa kepada arahan gulung tikar oleh Mahkamah Tinggi terhadap pertubuhan itu yang berkuat kuasa 20 Mei lalu.
Malah, dalam kenyataannya kepada Berita Harian (BH) pada 5 Jun, mantan setiausaha agung Majlis Pusat, Cik Isiah Majid, turut menjelaskan pihaknya tidak dibenarkan untuk mempertikai keputusan yang dibuat pihak timbangtara “walaupun kami berasa tidak diadili dengan betul”.
Secara keseluruhannya, Majlis Pusat dikehendaki melunaskan tuntutan berjumlah $393,370.91 kepada pemilik syarikat Three Aces, Cik Siti Hasmah Adam, yang mengendali sebuah tajaka bersama Majlis Pusat sebelum ini.
“Kami tidak membantah keputusan timbang tara itu atas sebab kekangan masa, tidak punya kepakaran dan perlu merujuk pada orang lain, dan kesemua proses tersebut memerlukan masa.
“Kesemua anggota jawatankuasa Majlis Pusat adalah relawan. Sebagai sukarelawan dan bukan bijak pandai dalam bidang undang-undang, kami diberitahu kami tidak boleh mempertikai keputusan timbang tara,” katanya.
“Kos guaman juga menjadi pertimbangan pada masa itu,” tambahnya.
Majlis Pusat diwakili peguam, Encik Anil Murkoth Changaroth daripada syarikat RHTLaw Asia, manakala Cik Siti Hasmah diwakili Encik Daniel Soo dari firma guaman Selvam LLC.
Dalam kenyataannya kepada akhbar ini, Cik Isiah turut mendedahkan “usaha Majlis Pusat untuk mendapatkan bantuan nasihat, kewangan, kerjasama dengan berbagai pihak tetapi tidak mendapat maklum balas segera kerana pihak-pihak ini juga memerlukan masa untuk mempertimbangkan dan merundingkan dengan pihak-pihak wewenang di organisasi mereka”.
Mahkamah Tinggi pada September 2023, selepas prosiding timbang tara, telah memutuskan Majlis Pusat mesti melunaskan tuntutan hampir $400,000 kepada Cik Siti Hasmah, yang mengendalikan secara bersama sebuah tajaka di Tampines Street 45.
Dokumen mahkamah mendedahkan, selepas keputusan itu dibuat, pihak Majlis Pusat tidak membantah tuntutan tersebut.
Cik Siti Hasmah dalam kenyataannya pada 4 Jun berkata, selepas keputusan timbang tara ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada September 2023, beliau mendakwa kesemua surat peguam yang dihantar kepada Majlis Pusat tidak dibalas sepanjang lebih empat bulan. Disebabkan itu, pada Januari 2024, Cik Siti Hasmah memutuskan untuk membuat permohonan penggulungan terhadap Majlis Pusat.
Menurutnya, kedua-dua pihak telah berunding pada April 2024 dan beliau telah mengusulkan satu rancangan pembayaran kepada Majlis Pusat. Namun beliau tidak menerima sebarang tindak balas daripada badan itu sehingga 20 Mei – tarikh arahan penggulungan itu berkuat kuasa.
Mengenai hal berkenaan, Cik Isiah menjelaskan: “Majlis Pusat ada menawarkan penyelesaian secara ansuran, mengikut kemampuan tetapi tidak mendapat persetujuan manakala tawaran dari penuntut pula terlalu berat untuk diterima kerana memerlukan perjanjian baru yang akan membebankan sukarelawan sedia ada dan yang akan datang,” katanya lagi.
Mengulas kenyataan Cik Isiah itu, Cik Siti Hasmah berkata:
“Hakikatnya mereka tidak membalas (saranan) kami sama sekali selama empat bulan (September 2023 hingga Januari 2024), dan walaupun setelah kami mencadangkan penyelesaian pada April 2024, mereka tidak membalasnya.”
Majlis Pusat yang mencecah usia 55 tahun pada 2024 telah didaftarkan secara rasmi pada 1969 dan pada awalnya dikenali sebagai Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura dan berperanan sebagai badan induk yang memayungi lebih 40 pertubuhan kesenian, kebudayaan dan persuratan Melayu di sini.
Pada 2012, Majlis Pusat berubah menjadi entiti persendirian sepertimana badan kebajikan sukarela yang lain, dan dikenali sebagai Majlis Pusat Singapura.
Pada Januari 2015, akhbar ini melaporkan tiga pemimpin Majlis Pusat terlibat dalam kes cuba menipu sebuah kementerian dan tiga agensi pemerintah berhubung perbelanjaan projek penyalaan lampu Hari Raya Geylang Serai pada 2011 dan 2012.
Ketiga-tiga mereka; bekas presiden Majlis Pusat, Saharudin Kassim; bekas setiausaha kewangan, Abdul Ghani Tahir; dan, bekas pengurus Gazaly Malek, dipenjara antara 20 minggu hingga 18 bulan.
Terdahulu, Cik Isiah memberitahu akhbar ini bahawa Majlis Pusat dan Three Aces telah menandatangani satu kerjasama pada 2015 untuk menguruskan tajaka di Tampines itu hingga 2020.
Cik Siti Hasmah merupakan seorang kakitangan tajaka itu sejak 2013.
Dalam perjanjian itu, Three Aces ditetapkan meraih untung 60 peratus daripada tajaka itu setiap bulan manakala Malis Pusat menerima 40 peratus.
Wang yang dituntut Cik Siti Hasmah dan akhirnya diarahkan Mahkamah Tinggi supaya dibayar kepadanya meliputi beberapa bayaran pada tahun 2020 berjumlah lebih $106,000; untung yang dituntut Cik Siti Hasmah dari 2015 hingga 2019 lebih $122,000; kos guaman ditanggung Cik Siti Hasmah sekitar $135,000; kos timbang tara dan lain-lain lagi.
Mengakhiri kenyataan dua muka surat yang dikemukakan Cik Isiah bagi pihak sukarelawan yang lain itu, beliau berkata:
“Saya bagi pihak teman-teman yang telah memberikan masa tenaga dan wang ringgit, ada yang semenjak 2013 lagi, untuk mempertahankan Majlis Pusat memohon maaf sekiranya kenyataan di atas menjejas sesiapa juga.
“Penutupan Majlis Pusat ini hanya merupakan satu penutupan yang tertunggak semenjak 2013. Namun kami patut memberi pujian kepada diri kami kerana telah berjaya membayar semula hak mereka yang berhak mendapatkan semula wang mereka akibat dari kemelut 2013.
“(Kami) Berusaha untuk membangkitkan Majlis Pusat melalui aktiviti-aktiviti kecil seperti penerbitan buku dan pesta buku, ternyata usaha kami tidak mencukupi dan kami perlu berhenti di sini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg