Singapura belum mengesahkan laporan bahawa syarikat Nvidia telah menghentikan penghantaran pelayan atau server yang mengandungi cip keluarannya ke negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 27 November.

Negara ini sedang dalam proses mendekati perniagaan tempatan untuk menilai impak peraturan kawalan eksport Amerika Syarikat yang baru ke atas penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) canggih, tambah beliau.

Pada masa yang sama, perniagaan juga sedang mengatur langkah serta bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan akses kepada cip terus terjamin.

“Adalah penting bagi Singapura untuk terus memberi tumpuan kepada misi AI kita, dan kami bertekad untuk merealisasikan misi, visi dan cita-cita AI bagi ekonomi negara.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan Amerika bagi melihat bagaimana kita dapat membantu perniagaan di sini terus mendapat akses yang selamat kepada cip berteknologi tinggi,” kata Encik Gan.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 27 November.

Sidang anjuran SPH Media itu dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times, The Business Times, Lianhe Zaobao, Berita Harian dan Tamil Murasu.

OCBC merupakan penaja utama bagi sidang tersebut, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pada 26 November, Nvidia telah mengarahkan rakan pengilangannya supaya menghentikan penghantaran pelayan yang mengandungi cip keluarannya ke empat negara Asia Tenggara – Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, lapor Financial Times (FT).

Langkah itu menyusuli sekatan baharu Amerika Syarikat yang berkuat kuasa minggu lalu, mewajibkan lesen eksport bagi penghantaran cip canggih ke beberapa negara Asia Tenggara – sebahagian usaha Washington menutup laluan yang dipercayai digunakan syarikat China untuk mendapatkan cip AI canggih.

Encik Gan berkata Singapura sedang menyemak beberapa proses untuk memperkukuh peraturan serta pemantauan demi memastikan negara ini tidak menjadi saluran bagi urus niaga haram.

Beliau turut mengingatkan syarikat yang beroperasi di Singapura – yang menjalankan aktiviti perdagangan, pelaburan atau membuat pembelian dari negara lain – supaya menghormati peraturan di negara-negara tersebut.

“Kita tidak boleh menguatkuasakan peraturan negara lain di Singapura.

“Kita menguatkuasakan peraturan kita sendiri, tetapi kita menjangkakan syarikat kita turut menghormati peraturan yang ditetapkan oleh negara-negara lain, apabila menjalin urusan perniagaan dengan negara berkenaan.

“Sama seperti kita juga yang menjangkakan syarikat dari negara lain yang berdagang dan menjalani perniagaan dengan kita supaya menghormati peraturan kita apabila mereka beroperasi atau berurusan dengan Singapura.

“Inilah pendekatan yang sentiasa kita amalkan.

“Apabila kita mendapati ada syarikat yang melanggar undang-undang kita, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” kata Encik Gan.