Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada rekod jenayah bagi pengguna vape muda yang serah diri, diserah ibu bapa

Aug 28, 2025 | 6:59 PM
vape, kpod
Individu yang secara sukarela membuang peranti vape mereka ke dalam tong pembuangan khas tidak akan dijejak atau diambil tindakan oleh pihak berkuasa. - Foto fail

Pengguna vape muda yang menyerah diri secara sukarela atau diserahkan oleh ibu bapa kerana menggunakan alat mengandungi dadah, seperti Kpod, tidak akan diberi rekod jenayah.

Sebaliknya, mereka akan dibimbing melalui program khusus untuk membantu dalam proses pemulihan dan membuang tabiat tersebut, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, kepada wartawan di sidang media pada 28 Ogos.

Kpod ialah jus vape yang dicampur dengan etomidate, bahan yang sepatutnya disuntik ke dalam salur darah untuk memberi kesan pelali semasa prosedur perubatan dan bukan untuk disedut.

Penyalah guna etomidate, yang pertama kali ditangkap dan berusia bawah 18 tahun, akan dikenakan denda $500, manakala orang dewasa akan didenda $700.

Mereka juga perlu menghadiri program pemulihan sehingga enam bulan.

Bagi kesalahan kedua, mereka akan ditahan dan disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Kenyataan mereka akan diambil dan ujian air kencing akan dilakukan.

Mereka juga akan diletakkan di bawah pengawasan mandatori selama enam bulan.

Individu berusia 16 tahun dan ke atas, yang ditangkap buat kali ketiga atau lebih, akan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) untuk rawatan dan pemulihan, menjalani ujian dadah dan diawasi selama 12 bulan.

Penyalah guna berusia bawah 16 tahun akan diletakkan di bawah pengawasan mandatori dalam masyarakat selama 12 bulan, lapor The Straits Times (ST).

Kajian menunjukkan penggunaan vape membawa risiko kesihatan yang ketara.

Justeru, pemerintah mengharamkan vape serta melarang import, jualan dan penggunaan secara haram.

Namun, keadaan semakin memburuk dengan vape digunakan untuk bahan berbahaya seperti etomidate, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

“Dahulu, tabiat tidak sihat seperti merokok dan penyalahgunaan dadah adalah dua kelakuan berasingan oleh dua golongan berbeza.

“Kini, vape telah menjadi alat pengantara, dan kedua-dua kelakuan itu bercampur aduk,” katanya.

Lebih separuh pengguna vape – termasuk empat daripada lima pengguna vape etomidate – berusia bawah 30 tahun, oleh itu pendekatan pemulihan diambil kerana “mereka mungkin lebih terbuka untuk berhenti”, jelas Encik Ong.

Menurut Encik Ong, yang merupakan sebahagian daripada panel menteri yang mengumumkan pendekatan menyeluruh pemerintah bagi menangani isu penggunaan vape, berkata Kementerian Kesihatan (MOH) mewajibkan pengguna vape menghadiri program pemulihan sebagai ganti kepada hukuman undang-undang lebih berat.

“Langkah ini memberi peluang kepada penyalah guna untuk memulakan lembaran baru dan meninggalkan etomidate buat selama-lamanya… namun jika mereka enggan atau mengulangi kesalahan, hukuman akan menjadi lebih berat,” tambah Encik Ong.

Menggesa pengguna vape dan Kpod agar menyerah diri, Encik Ong berkata pesalah boleh mendapatkan sokongan melalui QuitVape.

Ia merupakan sebuah program masyarakat yang dijalankan oleh Khidmat Masyarakat We Care, Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Thye Hua Kwan Moral Charities dan Khidmat Masyarakat Fei Yue.

Encik Ong menegaskan bahawa pertubuhan masyarakat tersebut tidak dikehendaki membuat laporan kepada MOH atau CNB, dan tiada rekod jenayah akan dicatat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg