Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak dapat jadi jururawat, kini cemerlang dalam bidang analitik

May 17, 2024 | 4:47 PM
Cik Lya Nadya Tay Alwee Tay menerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew pada 17 Mei di ITE Kolej Central.
Cik Lya Nadya Tay Alwee Tay menerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew pada 17 Mei di ITE Kolej Central. - Foto BH oleh KHALID BABA

Membesar dalam keluarga jururawat membuat Cik Lya Nadya Tay Alwee Tay ingin menceburi bidang yang sama agar dapat menabur bakti kepada masyarakat.

Namun, pelajar lulusan Sekolah Menengah Woodgrove itu hampa dan kecewa tak terkata apabila keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ beliau tidak membolehkannya mengikuti kursus kejururawatan.

“Sejak kecil lagi saya melihat ibu saya bekerja sebagai seorang jururawat, mula-mula di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), kemudian di Yayasan Rawatan Di Rumah (Home Nursing Foundation), dan kini beliau bertugas di Hospital Ang Mo Kio-Thye Huan Kwan.

“Abang, kakak dan mak cik saya juga bertugas sebagai jururawat.

“Apabila saya tidak dapat mengikuti jejak langkah mereka, saya begitu sedih dan mempertimbangkan keputusan untuk mengambil cuti setahun bagi menduduki semula peperiksaan GCE ‘O’ kerana saya gagal,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).

Namun beliau dinasihati ibu bapanya supaya menyambung pelajaran, membuat keputusan mengikuti kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Maklumat di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej West pada 2022.

Dengan masih dihimpit rasa kesal, beliau mendapati sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar kejuruteraan maklumat.

“Saya mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk menyesuaikan diri kerana teman-teman saya semua berjaya mengikuti kursus idaman mereka di tahap diploma sedang saya keseorangan di ITE Kolej West.

“Teman-teman saya mempunyai arah tujuan dalam kehidupan mereka ketika itu, tetapi saya masih terasa kehilangan.

“Lama-kelamaan, dengan dorongan pensyarah yang melihat potensi saya serta kegiatan kokurikulum (CCA) seperti Kelab Gavel dengan saya belajar berucap di khalayak ramai, dan Kelab Perpustakaan, saya telah menemui tempat saya di sekolah itu,” kata Cik Nadya.

Hasil bantuan dan dorongan teman, pensyarah dan keluarga, beliau berjaya mencapai gred purata mata (GPA) sempurna 4.0 dan berada dalam senarai pengarah selama dua penggal; dan penerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew.

Cik Nadya merupakan antara 50 pelajar daripada ITE yang menerima Anugerah Lee Kuan Yew di samping 419 pelajar lain yang menerima anugerah bagi pencapaian dalam bidang seni, sukan, CCA, pelajar kepujian, dan Biasiswa Keppel Care Foundation di majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Pelajar ITE 2024 pada 17 Mei.

Cik Nadya kini merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang gunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik di Politeknik Nanyang (NYP).

Kini, pelajar berusia 19 tahun itu tidak lagi mempunyai sebarang rasa kesal. Walau tidak menjadi seorang jururawat, beliau masih dapat menceburi bidang kesihatan menerusi analitik dan kejuruteraan maklumat.

Beliau, yang diasuh supaya menabur bakti, turut menyumbang semula kepada masyarakat semasa waktu lapang dengan menjadi relawan di Masjid Yusof Ishak dan program Ramadan On Wheels anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

“Kata-kata ‘tanpa menempuh kesusahan, kita tidak akan belajar erti kejayaan’ adalah moto kehidupan yang membantu saya mengharungi segala cabaran dan saya berharap ia dapat menjadi iltizam kepada pelajar lain,” tambah beliau.

“Kata-kata ‘tanpa menempuh kesusahan, kita tidak akan belajar erti kejayaan’ adalah moto kehidupan yang membantu saya mengharungi segala cabaran dan saya berharap ia dapat menjadi iltizam kepada pelajar lain.”
Cik Lya Nadya Tay Alwee Tay, penerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg