Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang berusaha memulangkan yuran pendaftaran haji kepada pendaftar yang tidak sempat menunaikan haji hingga 2024.
Dalam notis kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Disember, yuran pendaftaran haji itu akan dikembalikan kepada pendaftar yang tidak dapat menunaikan haji disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan, atau telah meninggal dunia sebelum mereka sempat menunaikan ibadah haji.
Nama pendaftar haji yang tidak dapat dihubungi Muis disenaraikan melalui laman https://www.unclaimedmonies.gov.sg/.
Menurut jurucakap Muis, pembayaran semula akan dimulakan setelah dimaklumkan tentang kematian pemohon haji oleh ahli keluarga.
Dalam keadaan ahli keluarga si mati tidak dapat dihubungi, kes itu akan dimuat naik ke laman http://unclaimedmonies.gov.sg/.
Menurut laman tersebut, seramai 3,120 pendaftar telah disenaraikan untuk menerima yuran pendaftaran antara $240 hingga $285, bergantung pada tahun pendaftaran.
Laman web Muis menyatakan bayaran bertujuan untuk menampung peningkatan kos pentadbiran pendaftaran haji, mengekalkan rekod pemohon, menyediakan kemas kini kepada pemohon yang menunggu giliran, serta memproses peruntukan tempat haji.
Sebahagian daripada pendaftar telah pun membuat tuntutan dan menerima semula yuran pendaftaran haji mereka menurut laman itu.
Bagi pendaftar yang telah meninggal dunia, waris boleh membuat tuntutan dengan memuat turun borang yang terpaut pada kod QR dalam notis Muis tersebut, dan dilengkapkan dengan dokumen sokongan untuk diemel ke haj@muis.gov.sg.
Seperti yang tertera di laman web Muis, permohonan sebelum 31 Disember 2023 akan menerima kembali yuran pendaftaran $240 yang dibayar manakala, bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025, yuran permohonan ialah $285 bagi setiap pemohon. Ia akan dinaikkan lagi kepada $330 mulai 1 Januari 2026.
Jurucakap Muis juga berkata mereka telah mengambil langkah selama bertahun-tahun untuk menambah baik proses pembayaran balik yuran pendaftaran haji dan menyalurkannya kepada harta pusaka pemohon haji yang meninggal dunia, bagi mengurangkan bilangan kes melibatkan wang tidak dituntut.
Bagi mereka yang berminat untuk mendaftar untuk haji, mereka boleh layari portal MyHajSG menerusi https://haj.muis.gov.sg. Para pendaftar hanya perlu klik untuk log masuk menggunakan Singpass, dan akan dihubungkan ke laman pendaftaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg