Mengambil jalan pintas atau memilih pakej haji yang tidak sah tanpa permit rasmi boleh mengundang pelbagai risiko yang besar bukan sahaja dari segi kewangan, malah mengancam keselamatan dan kesahihan haji itu sendiri.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menjelaskan bahawa hanya pemohon yang mendapatkan permit haji rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan Kedutaaan Arab Saudi di Singapura yang diiktiraf untuk menunaikan ibadah haji.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Berita Minggu (BM), Muis menegaskan bahawa menunaikan haji dengan visa selain dari dua entiti tersebut adalah tidak disokong dan berisiko tinggi.
“Seperti yang sedia maklum, Singapura hanya memperuntukkan pemohon haji dengan permit haji rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Saudi dan Kedutaan Saudi di Singapura.
“Menunaikan haji melalui jenis permit lain yang tidak dikeluarkan oleh kededua entiti ini tidak disokong,” tegas Muis dalam kenyataannya.
Muis mengingatkan bakal jemaah haji agar tidak terpedaya dengan janji manis pihak yang menawarkan pakej haji tidak rasmi.
Dalam kenyataan tersebut, Muis turut menyorot beberapa risiko yang mungkin dihadapi oleh jemaah yang cuba menunaikan haji tanpa permit yang sah.
Salah satu risiko utama adalah penipuan.
Muis menegaskan bahawa apabila seseorang dijanjikan peluang untuk menunaikan haji lebih awal, bakal jemaah harus berhati-hati dan memastikan bahawa perkhidmatan tersebut disediakan oleh agensi yang sah dan dilantik oleh Muis.
“Kami telah menerima beberapa maklum balas mengenai kes penipuan yang mengakibatkan kerugian kewangan dan trauma psikologi bagi jemaah haji yang tidak sah,” kata jurucakap Muis lagi.
Kebanyakan pakej haji menggunakan visa tidak rasmi ini juga jauh lebih mahal daripada pakej haji rasmi yang ditawarkan melalui saluran yang sah.
Kos yang tinggi itu tidak dijamin untuk dikembalikan, menyebabkan jemaah berisiko menanggung kerugian kewangan yang besar.
“Bagi mereka yang memilih pakej tidak rasmi, risiko kewangan yang dihadapi adalah sangat tinggi, dan lebih buruk lagi, mereka tidak ada jaminan untuk mendapatkan balik wang mereka sekiranya sesuatu berlaku,” tambah Muis.
Selain itu, keselamatan dan kebajikan jemaah juga boleh terjejas. Jemaah yang menggunakan permit haji rasmi akan didaftarkan dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang berpangkalan di Saudi, yang menjamin mereka sokongan daripada kededua kerajaan Saudi dan pemerintah Singapura.
Jika berlaku kecemasan, mereka yang melalui kuota haji Muis akan mendapat bantuan yang diperlukan seperti pemindahan, penghantaran pulang atau rawatan perubatan.
Bagi jemaah yang cuba menunaikan haji tanpa permit rasmi, mereka mungkin tidak mendapat sokongan yang sama.
“Jemaah yang tidak berdaftar dengan sistem rasmi boleh terdedah kepada pelbagai risiko tanpa sebarang perlindungan. Jika berlaku kecemasan, mereka tidak mempunyai akses mudah kepada bantuan yang diperlukan,” jelas Muis lagi.
Risiko yang lebih besar adalah kemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa Saudi.
Kerajaan Saudi telah mengeluarkan panduan ketat pada 2024 mengenai larangan menunaikan haji tanpa permit rasmi.
Mereka boleh mengambil tindakan undang-undang termasuk mengenakan hukuman penjara, denda dan pengusiran.
Selain itu, mereka yang terlibat boleh dikenakan larangan untuk memasuki Saudi pada masa hadapan.
“Kerajaan Saudi boleh mengenakan hukuman penjara dan denda, pengusiran dengan larangan memasuki semula ke Saudi, serta rampasan kenderaan yang digunakan untuk pengangkutan haram,” jelas Muis mengingatkan jemaah agar tidak mengambil risiko tersebut.
Setiausaha Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad, juga memberi amaran keras terhadap penggunaan visa tidak rasmi.
Menurutnya, perjalanan haji menggunakan visa selain daripada visa yang diluluskan oleh kerajaan Saudi sangat berisiko.
“Sebagai Setiausaha Amtas, perjalanan haji menggunakan visa selain daripada visa kelulusan oleh kerajaan Saudi sangat berisiko tinggi kerana keselamatan serta ketidakpastian untuk menjamin anda berada di Arafah untuk ibadah haji anda,” katanya.
Kerajaan Saudi pada 2024 telah mengetatkan lagi beberapa langkah untuk kemasukan ke Makkah.
Bahkan, mereka mengeluarkan kenyataan daripada pihak Mufti mereka yang menyatakan bahawa adalah haram untuk mengerjakan haji tanpa permit yang sah.
“Maka di sini, kami menasihati jemaah untuk tidak mengikut jejak langkah haji tanpa permit yang sah,” tambah Ustazah Juyda.
Mufti Besar kerajaan Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah bin Mohammed Al-Sheikh, yang juga Pengerusi Majlis Ulama Kanan dan Presiden Umum Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa sebelum musim haji 2024 menyeru semua jemaah haji tahun 1445H untuk mematuhi arahan keselamatan dan rasmi dengan ketat, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Menurut Mufti Besar, arahan paling utama adalah mendapatkan permit haji dan mematuhi pengambilan vaksin yang diumumkan Kementerian Kesihatan Saudi.
Beliau menekankan bahawa menunaikan haji tanpa permit “adalah berdosa bagi orang yang melakukannya”.
Jemaah juga tidak dibenarkan menunaikan haji tanpa permit, sambil menekankan bahawa ini selaras dengan kepentingan yang diperlukan oleh syariah, yang bertujuan dengan memperbaiki kepentingan dan mencegah keburukan.
“
Seperti yang sedia maklum, Singapura hanya memperuntukkan pemohon haji dengan permit haji rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Saudi dan Kedutaan Saudi di Singapura. Menunaikan haji melalui jenis permit lain yang tidak dikeluarkan oleh kededua entiti ini tidak disokong... Bagi mereka yang memilih pakej tidak rasmi, risiko kewangan yang dihadapi adalah sangat tinggi, dan lebih buruk lagi, mereka tidak ada jaminan untuk mendapatkan balik wang mereka sekiranya sesuatu berlaku.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg