Harga Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) mencapai paras tertinggi bagi dua kategori kereta dan Kategori Terbuka pada latihan tender terkini pada Rabu.
COE bagi kereta lebih besar dengan enjin melebihi 1,600cc atau 130bhp dan kenderaan elektrik (EV) melebihi 110kW ditutup pada harga $150,001.
Ini menandakan peningkatan 2.74 peratus berbanding $146,002 yang dicatatkan pada tender sebelumnya, lapor The Straits Times.
Premium bagi Kategori Terbuka – yang boleh digunakan untuk mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, tetapi digunakan kebanyakannya bagi kereta lebih besar – tutup pada paras $158,004, meningkat 3.95 peratus berbanding rekod $152,000 yang ditetapkan pada tender sebelumnya.
Ini merupakan kali keenam berturut-turut rekod dipecahkan bagi kedua-dua kategori COE kereta besar dan Terbuka.
Premium COE bagi kereta kecil dan EV meningkat 1.92 peratus kepada $106,000 daripada $104,000 yang ditetapkan dua minggu lalu.
Rekod sebelumnya sebanyak $105,000 dicapai hanya dua latihan tender yang lalu, pada September.
Premium COE kenderaan komersial tutup pada $84,790, 1.29 peratus di bawah $85,900 daripada dua minggu lalu. Ini adalah satu-satunya kategori COE yang tidak meningkat.
Premium COE motosikal pula naik 3.18 peratus kepada $11,201 daripada $10,856.
Ini merupakan tender terakhir sebelum tempoh kuota tiga bulan berikutnya dari November hingga Januari, di mana bekalan COE akan meningkat sebanyak 12.9 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg