Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga kumpulan projek dibentuk perkukuh sokongan keluarga, belia berisiko, pesalah Melayu

Sep 25, 2024 | 7:28 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan dalam Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada 25 September bahawa tiga kumpulan projek baru telah dibentuk bagi memperkukuh sokongan keluarga berisiko, pesalah/bekas pesalah dan belia berisiko.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan dalam Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada 25 September bahawa tiga kumpulan projek baru telah dibentuk bagi memperkukuh sokongan keluarga berisiko, pesalah/bekas pesalah dan belia berisiko. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Tiga kumpulan projek baru telah dibentuk bagi memperkukuh sokongan keluarga berisiko, pesalah/bekas pesalah dan belia berisiko, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Berkata demikian semasa berucap dalam edisi ketiga Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada 25 September, Dr Faishal berkata ketiga-tiga kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuh sokongan keluarga berisiko, sokongan bagi pesalah/bekas pesalah yang tidak mendapat sokongan padu keluarga, serta langkah pencegahan bagi golongan belia daripada melakukan kesalahan.

Dr Faishal berkata tiga bidang tumpuan ini merupakan salah satu inisiatif untuk dua tahun seterusnya bagi mengekalkan usaha dan bantuan terhadap golongan pesalah/bekas pesalah, keluarga mereka dan belia berisiko.

“Kita telah mencatatkan prestasi hebat sebagai satu masyarakat untuk membantu pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.

“Kadar residivisme sepanjang dua tahun bagi pesalah Melayu telah merosot kepada 26 peratus bagi kohort banduan yang dibebaskan pada 2021, daripada 35 peratus untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2011.

“Ini adalah satu kemajuan yang ketara iaitu (penurunan) hampir 1 peratus setiap tahun (dari 2011 hingga 2021). Ia adalah hasil komitmen kukuh dan kerjasama semua – baik dari sektor awam, swasta dan masyarakat – terhadap usaha ini.

“(Tetapi) kita perlu kekalkan usaha kita kerana masih terdapat pelbagai ruang yang dapat dipertingkatkan, dan perlu mencari penyelesaian, ” kata beliau.

Acara yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) itu dihadiri sekitar 150 hadirin daripada pelbagai badan MMO dan agensi pemerintah.

Pembentukan ketiga-tiga kumpulan projek itu adalah di samping inisiatif sedia ada kendalian MMO seperti Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) – yang memberikan sokongan kepada pesalah dan keluarga mereka semasa mereka ditahan dan selepas dibebaskan.

Satu kenyataan oleh MHA pada 25 September menyatakan kumpulan sedemikian akan diterajui secara bersama oleh pegawai dari Jabatan Home Team yang berbeza seperti Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), antara lain, dengan wakil pertubuhan MMO.

Objektif kumpulan sedemikian adalah untuk menyelidik keadaan semasa, mengenal pasti jurang yang ada dan melakar langkah atau pendekatan yang boleh diketengahkan kepada agensi pemerintah bagi golongan yang ditumpukan, tambah kenyataan itu.

Kumpulan pertama diterajui bersama oleh ketua pegawai eksekutif Persatuan Pemuda Pemudi Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam; Pengarah Eksekutif New Life Stories, Cik Saleemah Ismail; dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan Psikologi, Operasi dan Rekaan Program) yang juga Pakar Psikologi Utama SPS, Cik Salina Samion.

Kumpulan pertama ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi keluarga – tunjang dalam menyokong perjalanan pesalah/bekas pesalah – bagi mencegah kesalahan antara generasi.

Cik Aidaroyani berkongsi bahawa melalui rangkaian ini, kumpulannya berhasrat untuk “mengukuhkan lagi usaha bersepadu dalam menyokong keluarga yang lebih memerlukan secara berterusan dan mampan”.

“Kami kini sedang memperluaskan usaha untuk tingkatkan kersajama dan sinergi antara MMO.”

Kumpulan kedua diterajui bersama Setiausaha Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Dr Siti Nur Alaniah Abdul Wahid; dan Penolong Pengarah Kanan, Pembaikan Diri Masyarakat, SPS Encik Mohamed Nizaar.

Kumpulan ini akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan sokongan untuk pesalah/bekas pesalah, terutamanya yang terjebak dengan dadah.

Menurut Ustazah Dr Nur Alaniah, adalah penting untuk memahami siapa dalam kalangan pesalah/bekas pesalah yang akan diberi tumpuan.

“Pasukan kami membuat keputusan untuk tumpukan perhatian khususnya kepada pesalah dadah kerana… sebahagian besar daripada golongan ini adalah masyarakat Melayu/Islam.

“Jadi tumpuan (hasil usaha) terhadap golongan ini adalah sesuatu yang boleh diukur dan boleh dilaksanakan, berbanding pesalah/bekas pesalah secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau menambah keutamaan kumpulannya kini adalah untuk menyelidik dan mengenal pasti sebarang jurang yang harus ditangani agar huraian yang dilakar dapat disasarkan kepada golongan yang sepatutnya.

Kumpulan bertindak terakhir diketuai bersama Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail; Setiausaha Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim (IMSSA), Cik Irfana Banu; Penolong Pengarah Operasi (Kawalan Jenayah), Penolong Pengarah Operasi (Kawalan Jenayah) Pasukan Polis Singapura (SPF), Superintendan Rudy Dzulkarnaen; dan Pegawai Pemerintah (CO) Pusat Pemeriksaan CNB, Superintendan Muhammad Rizal Alias.

Encik Didicazli menjelaskan kumpulannya akan memberi perhatian kepada usaha yang boleh diambil bagi mencegah belia daripada melakukan kesalahan dengan langkah pertama adalah untuk menilai program sedia ada.

Beliau berkata: “Kami akan menyemak program semasa untuk menilai program yang paling berkesan di bawah MMO. Selepas itu, kami akan lihat sekiranya ada peluang untuk kami lebih terlibat sama dengan badan agensi lain yang belum diterokai.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg