Masa depan anak tidak harus ditentukan berdasar pengalaman silam ibu bapa. Justeru, mereka harus disokong seawal mungkin agar berpeluang lebih cerah membina masa depan lebih baik daripada ibu bapa mereka.
Demikian dinyatakan Cik Saleemah Ismail, Pengasas dan Pengarah Eksekutif New Life Stories, pertubuhan tidak mencari untung yang menyokong keluarga rentan agar anak-anak tidak mengikut jejak ibu bapa ke kancah jenayah.
Beliau berkata demikian selepas dinamakan sebagai ketua bersama salah satu daripada tiga kumpulan sokongan baru di bawah Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) yang diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) 2024 pada 25 September.
Forum itu diadakan di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), di Irrawaddy Road.
Cik Saleemah, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam, menerajui kumpulan yang memberi tumpuan dalam menyokong keluarga rentan.
Dua lagi kumpulan, untuk memberi sokongan kepada pesalah tidak mempunyai sokongan keluarga dan sokongan bagi menjauhi daripada terjebak dalam jenayah, diterajui anggota majlis Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Dr Nur ‘Alaniah Wahid; dan Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Cindy Ismail.
Mengulas mengenai peranan tiga kumpulan itu, Cik Saleemah meluahkan harapan untuk merancakkan kerjasama berbilang pertubuhan agar mencapai matlamat yang sama.
“Kita harus memikirkan kekuatan dalam setiap organisasi untuk memahami bantuan yang diperuntuk kepada keluarga yang lebih memerlukan bantuan,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman mendekati keluarga sedemikian bersama New Life Stories, Cik Saleemah berkata beliau mempunyai pengalaman positif apabila bekerjasama dengan rumah peralihan Darus Islah dan Pertapis.
Ustazah Dr Siti Nur Alaniah berkata pasukannya akan menumpukan usaha menyokong penyalah guna dadah.
Beliau berharap rangkaian sokongan luas di bawah Rangkaian Pemulihan MMO itu, serta sokongan berterusan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), akan membantu pasukannya mengumpulkan data yang diperlukan bagi membentuk program lebih khusus kepada individu.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sejauh ini.
“Dengan kerjasama bersama MMO yang lain, MHA memainkan peranan penting dengan memperoleh data yang akan kami gunakan dalam merancang program-program kami,” ujar Ustazah Dr Alaniah.
Encik Didicazli berkata bermula suku pertama 2025, beliau bercadang meneliti usaha sedia ada yang diterajui MMO untuk mencegah belia melakukan jenayah. Menurutnya, belia terdedah kepada pelbagai pengaruh, termasuk di dalam talian, dan ini boleh mencetus kelakuan tidak diingini.
“Kita sentiasa mengejar masa dalam usaha membantu belia menjauhkan diri daripada jenayah. Namun, dengan kerjasama berbilang agensi, saya berharap kita dapat melakukannya secepat mungkin.”
Rangkaian Pemulihan MMO bertujuan mencegah jenayah dan perbuatan jenayah berulang dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, antaranya dengan menyebar mesej antidadah, mengadakan program pemulihan bagi pesalah serta memberi sokongan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka.
Ia merangkumi 20 agensi dan pertubuhan, termasuk 11 M3@Bandar, Bapa Sepanjang Hayat dan Mahkamah Syariah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg