Tiga lelaki berusia antara 48 dengan 60 tahun ditahan polis pada 11 Mei kerana disyaki terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan curi.
Ketiga-tiga warga asing itu ditahan dalam tempoh 27 jam selepas kes pertama dilaporkan dan akan didakwa di mahkamah pada 12 Mei kerana pecah rumah dan curi dengan niat bersama.
Dalam satu kenyataan pada 11 Mei, polis berkata mereka dimaklumkan pada 9 dan 10 Mei mengenai tiga kes pecah rumah di unit kediaman di Cluny Park, Dunearn Close dan Eng Neo Avenue di kawasan Bukit Timah.
Melalui siasatan yang meluas dan dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis, pegawai dari Divisyen Polis Tanglin, Pusat Kerahan Operasi Polis, Jabatan Risikan Polis, Kontinjen Gurkha, Komand Operasi Khas dan Kerahan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu Home Team dapat mengenal pasti identiti suspek.
Ketiga-tiganya – warga Sepanyol/Colombia, 60 tahun, dengan dua kewarganegaraan; seorang warga Mexico berusia 51 tahun dan warga Mexico/Colombia berusia 48 tahun dengan dua kewarganegaraan – masing-masing telah memasuki Singapura melalui pas lawatan sosial dalam tempoh dua minggu lalu. Mereka ditahan pada 11 Mei.
Sebuah kereta, gergaji bulat yang menggunakan kuasa, pelbagai jenis barang kemas, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih daripada $18,000, telah ditemui daripada ketiga-tiga lelaki itu.
Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Dalam satu sidang akhbar pada 11 Mei, polis berkata bahawa dua orang awam telah menjadi saksi penting yang membantu dalam penahanan pantas suspek-supek tersebut.
Kededua mereka telah diberikan sijil penghargaan pada 11 Mei sebagai mengiktiraf kerjasama kemasyarakatan mereka dengan polis.
Walaupun jumlah kes pecah rumah menurun di sini, polis berkata Singapura kekal menjadi sasaran penjenayah rentas negara dan menggesa orang ramai untuk terus berwaspada.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg