Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didenda $5,000 buat kecoh di Lapangan Terbang Changi dek hilang telefon bimbit

Mar 21, 2025 | 2:57 PM
Warga Britain, Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan gangguan dan satu tuduhan khianat.
Warga Britain, Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan gangguan dan satu tuduhan khianat. - Foto ST

Seorang lelaki dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyedari telefon bimbitnya hilang dan menyebabkan kekecohan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, namun menemui telefon itu di bawah tempat duduknya kemudian.

Richard Michael Roll Burridge, 57 tahun, seorang warga Britain yang dikeluarkan daripada penerbangan ke London, didenda $5,000 pada 20 Mac selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan gangguan dan satu pertuduhan perbuatan khianat.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Jun Ya memberitahu mahkamah bahawa Burridge berada dalam penerbangan tersebut sekitar 11.40 malam pada 7 Mac apabila dia menyedari telefon bimbitnya hilang, lapor The Straits Times (ST).

Dia menggunakan telefon lain untuk menghubungi isterinya dan meminta bantuan mencari telefon yang hilang menggunakan aplikasi Find My Phone.

Aplikasi itu menunjukkan telefon tersebut berada di ruang menunggu transit keberangkatan, dan Burridge memberitahu kru pesawat. 

Anggota kru tersebut menghubungi seorang pegawai syarikat penerbangan, yang dirujuk dalam dokumen mahkamah sebagai “mangsa”, dan meminta bantuannya untuk mencari telefon tersebut.

Wanita itu kemudian menghubungi rakan sekerjanya, yang gagal menemui telefon tersebut di ruang menunggu.

Sekitar 11.43 malam, Burridge keluar dari pesawat dan mendekati mangsa, yang bertugas di ruang menunggu B5.

DPP Tan berkata: “Bilik itu adalah kawasan selamat untuk memastikan kelancaran menaiki pesawat, dan tugas mangsa termasuk memastikan penerbangan tertuduh berlepas. 

“Tertuduh meminta untuk keluar bagi mencari telefon, tetapi mangsa memberitahunya bahawa dia akan dikeluarkan dari penerbangan jika berbuat demikian, kerana pintu masuk hampir tutup. Mangsa juga memberitahu bahawa rakannya telah mencari telefon di ruang menunggu dan tidak menjumpainya.”

Burridge menjadi marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada wanita itu dan kemudian membuat keputusan kembali ke pesawat.

Di jambatan aerobridge, mangsa bertanya sama ada dia mahu turun atau teruskan perjalanan. Marah, Burridge menendang panel dinding aerobridge hingga pecah, menyebabkan kerosakan lebih $1,600, sebelum menaiki pesawat.

Rakan mangsa segera memaklumkan polis. Sementara itu, Burridge menemui telefon yang hilang di bawah tempat duduknya. Namun, perjalanan beliau ke London terhenti apabila polis naik ke pesawat dan meminta dia turun untuk membantu siasatan.

Burridge akur, dan pesawat berlepas tanpa sebarang kelewatan. 

Pada 20 Mac, peguam bela, Encik Shashi Nathan, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sangat menyesali tindakannya dan berniat membayar ganti rugi kerosakan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg