Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga penduduk tetap S’pura diberkas seludup dadah dekat Riau

Jul 17, 2024 | 7:33 PM
Tiga penduduk tetap Singapura, yang merupakan warga negara India didakwa merupakan pemilik dadah itu dan telah mengarahkan perjalanan tersebut.
Tiga penduduk tetap Singapura, yang merupakan warga negara India didakwa merupakan pemilik dadah itu dan telah mengarahkan perjalanan tersebut. - Foto F. PANGESTU

JAKARTA: Indonesia telah memintas sebuah kapal berbendera Singapura yang membawa dadah jenis methamphetamine seberat 106 kilogram di perairan berdekatan Kepulauan Riau yang kemungkinannya dalam perjalanan ke Brisbane, Australia, kata pihak berkuasa pada 17 Julai.

Bertindak berdasarkan maklumat yang diterima, penguasa Indonesia memintas kapal kargo bernama Legend Aquarius di perairan Pongkar di daerah Karimun, sekitar sejam dari Singapura melalui feri.

Ia dikendalikan 10 anak kapal Indonesia, termasuk nakhoda.

Tiga penduduk tetap Singapura, yang merupakan warga India, juga berada di kapal itu.

Mereka didakwa merupakan pemilik dadah tersebut dan telah mengarahkan pelayaran itu, menurut Pesuruhjaya-Jeneral polis Marthinus Hukom, ketua Badan Narkotika Nasional Indonesia (BNN) dalam sidang media di Batam.

Dihubungi akhbar The Straits Times, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata pada 17 Julai, ia dimaklumkan mengenai penahanan sebuah kapal berbendera Singapura, Legend Aquarius, oleh penguasa Indonesia.

“MPA sedang berhubung dengan pemilik kapal untuk mengenal pasti fakta dan telah menasihati syarikat tersebut agar bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi siasatan,” kata MPA dalam jawapannya.

Dalam sidang media tersebut, Inspektor-Jeneral Wayan Sugiri, timbalan pembasmian BNN, berkata kapal tersebut telah berangkat dari Singapura pada 9 Julai menuju pelabuhan privet di Johor Bahru.

Ketika di pelabuhan privet pada 12 Julai, tiga penduduk tetap itu – yang dinamakan polis sebagai RM, SD dan GV – memuatkan bekalan dadah di kapal tersebut dan meletakkannya dalam bilik enjin. Kapten kapal dan sembilan anak kapal itu sebelumnya telah diberitahu untuk meninggalkan kapal dan berehat di pantai.

Ketiga-tiga penduduk tetap itu telah menetap di Singapura selama enam hingga lapan tahun, dan setiap daripada mereka mempunyai kelayakan akademik dalam kejuruteraan kapal, kata penguasa.

Pada 13 Julai, kapal itu diisi minyak di perairan berdekatan Singapura sebelum meneruskan perjalanan menuju Indonesia.

“Berdasarkan soal siasat kami ke atas tiga warga asing itu, mereka telah merancang ke Surabaya, Dili, Papua, kemudian Brisbane, Australia. Tetapi kami akan menyemak semula ini, sekiranya mereka tidak menyatakan yang benar,” kata Inspektor-Jeneral Wayan.

Beliau turut berkata penguasa telah menerima maklumat mengenai penghantaran dadah itu daripada anggota awam yang beliau enggan dedah. Beliau menambah anak kapal kapal yang lain tidak terlibat dalam jenayah tersebut.

BNN berkata kapal terbabit mempunyai nombor IMO iaitu 9797072. Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menggunakan sistem penomboran untuk menyediakan mekanisme dan pendaftaran bagi pengenalan unik dan pendaftaran kapal secara global bagi meningkatkan kebolehkesanan dan ketelusan.

Denda maksimum jika disabit kesalahan bagi tuduhan berkaitan perdagangan dadah adalah hukuman mati, menurut undang-undang antinarkotik Indonesia pada 2009.

“Mesej daripada ketua BNN (jeneral Marthinus Hukom) jelas iaitu jangan cuba bawa masuk dadah ke Indonesia. Kami bukan bekerja sendirian. Kami menerima maklumat yang datang dari mana-mana,” kata Inspektor-Jeneral Wayan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg