Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif perkukuh sokongan penjaga, belia di Marine Parade

Apr 6, 2025 | 8:47 PM
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (kiri), dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, menerangkan inisiatif masyarakat untuk penduduk kluster Marine Parade semasa satu taklimat media yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 3 April. Kededua juga merupakan Anggota Parlimen (AP) dan Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade. 
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (kiri), dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, menerangkan inisiatif masyarakat untuk penduduk kluster Marine Parade semasa satu taklimat media yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 3 April. Kededua juga merupakan Anggota Parlimen (AP) dan Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade.  - Foto ST

Penjaga dan keluarga mereka di kawasan Marine Parade akan menerima sokongan tambahan melalui bantuan tunai, subsidi pengangkutan dan khidmat jagaan gantian sementara.

Ini adalah sebahagian daripada usaha Dana Sokongan Penjaga SG60 di bawah inisiatif ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) yang dilancarkan pada 6 April.

Keluarga yang layak boleh menerima sehingga $1,600 dalam bentuk bantuan dengan program ini dijangka memanfaatkan sehingga 2,800 isi rumah.

Golongan belia berumur antara 16 hingga 25 tahun yang tinggal di kelompok Marine Parade juga akan diberi peluang untuk meneroka kerjaya melalui sebuah program baru, iaitu Program Imersif Industri (IIP).

Ia menawarkan peluang bimbingan, kerjaya dan latihan amali dalam pelbagai industri seperti kewangan, teknologi dan khidmat sosial.

Kedua-dua inisiatif tersebut diumumkan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang kededuanya merupakan Anggota Parlimen (AP) dan Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade - pada 6 April semasa satu acara SG60 yang diadakan di Kelab Masyarakat Kampong Ubi.

Terdahulu, kededua pemimpin telah memberikan perincian mengenai inisiatif baru itu dalam satu taklimat media di Wisma Geylang Serai pada 3 April.

Turut hadir di taklimat media tersebut adalah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling, serta AP MacPherson, Cik Tin Pei Ling.

Bercakap semasa taklimat media pada 3 April, Dr Tan menyifatkan penjaga sebagai “kumpulan wira yang tidak disanjung” dan menekankan pentingnya memberi sokongan kepada mereka sedang landskap penduduk yang semakin menua dan saiz keluarga yang semakin mengecil.

“Ramai penjaga juga berada dalam generasi ‘sandwic’, kerana mereka menyediakan penjagaan untuk kedua-dua ibu bapa yang sudah lanjut usia, serta anak-anak mereka yang masih muda.

“Dana Sokongan Penjaga SG60 ini bertujuan melengkapkan sokongan sementara ini, sementara menunggu Geran Penjagaan di Rumah (HGC) yang dipertingkatkan,” kongsi beliau.

Inisiatif tersebut direka sebagai skim bantuan sementara bagi meringankan kos penjagaan dari April 2025 hingga Januari 2026.

Ia sebelum penambahbaikan Geran Penjagaan Di Rumah (HCG), yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, berkuatkuasa pada April 2026.

Bantuan sehingga $1,600 itu merangkumi tiga bahagian iaitu bantuan tunai sehingga $700, baucar Grab sehingga $300 bagi menampung kos pengangkutan seperti lawatan perubatan, dan kos khidmat jagaan gantian sementara sehingga $600.

Menyentuh tentang IIP, Encik Tong berkongsi ia dapat menghubungkan belia daripada latar belakang berbeza kepada peluang pekerjaan.

“Selalunya, terutamanya bagi mereka yang mungkin berasal daripada keluarga berpendapatan rendah atau yang kurang mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat ini, peluang tersebut tidak begitu jelas.

“Kami ingin membantu supaya melalui program ini, mereka boleh memohon kepada kami dan kami akan menempatkan mereka dengan salah satu syarikat yang terlibat, bergantung pada kerja kosong yang ada,” ujar beliau sambil menambah 26 syarikat sudah menyertai program tersebut.

Perdana Menteri Lawrence Wong turut hadir dalam acara SG60 di Kelab Masyarakat Kampong Ubi itu.

Setelah dibesarkan dalam Marine Parade, Encik Wong berkata kawasan itu telah berubah dengan ketara.

“Banyak yang patut kita syukuri dan hargai. Apabila keadaan boleh menjadi lebih baik, marilah kita bekerjasama untuk menjadikannya lebih baik,” katanya.

“Dan kami tahu terdapat kebimbangan sebenar dalam masyarakat, contohnya, dengan kos sara hidup, dengan isu lain, dan pemerintah akan cuba sedaya upaya untuk menangani kebimbangan ini.”

Kata Encik Wong, beliau gembira melihat skim nasional untuk membantu kos sara hidup, seperti baucar CDC dan baucar SG60 akan datang, saling dilengkapi dengan inisiatif tempatan.

Sementara itu, calon berpotensi PAP, peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee, telah dilihat hadir dalam acara itu. Ini adalah kali pertama beliau dilihat di acara kelompok Marine Parade.

Cik Gho telah bergambar bersama AP Mountbatten Encik Lim Biow Chuan sejak Ogos 2024, dan telah menemaninya ke pelbagai acara seperti sambutan Hari Kebangsaan bersama Pusat Penuaan Aktif Thye Hua Kwan dan Jawatankuasa Penuaan Aktif Mountbatten. Beliau juga telah menemani Encik Lim dalam lawatan rumah di Geylang, Katong dan kawasan lain dalam kawasan pilihan raya tunggal.

Bermula 6 April, para penduduk kluster Marine Parade - yang meliputi Braddell Heights, Geylang Serai, Joo Chiat, Kembangan-Chai Chee, Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten - boleh memohon untuk dua inisiatif baru tersebut.

Selain itu, mereka juga boleh mendaftar secara talian menerusi lelaman media sosial kluster Marine Parade iaitu facebook.com/marineparadecluster dan instagram.com/marineparadecluster.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg