Tiga Persatuan Kerja Platform (PWA) kini diiktiraf sebagai anggota sepenuhnya dalam pergerakan buruh.
Ini selepas lebih 90 peratus perwakilan kesatuan yang menghadiri Persidangan Perwakilan Biasa (ODC) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) 2025 pada 14 November meluluskan pindaan perlembagaan bagi mengiktiraf ketiga-tiga PWA itu.
Tiga persatuan tersebut ialah Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA).
Ini dinyatakan NTUC menerusi satu kenyataan media pada 14 November.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng dalam catatan Facebooknya pada 14 November pula berkata pindaan perlembagaan itu mengiktiraf secara rasmi persatuan pekerja platform.
“Bersama-sama, kita bukan sahaja membina gerakan buruh yang lebih kukuh untuk semua pekerja, tetapi turut mewujudkan sebuah gerakan yang benar-benar inklusif – memastikan setiap individu dilengkapi untuk maju dalam dunia kerja yang sentiasa berubah.
“Dengan menyatukan usaha kita, suara kolektif kita akan menjadi lebih lantang dan berkesan, memastikan pekerja platform mendapat akses kepada perwakilan serta sokongan yang mereka perlukan seiring perkembangan sifat kerja mereka,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, selama bertahun lamanya NTUC menjadi antara pihak paling konsisten memperjuangkan hak serta kepentingan pekerja platform, seiring perubahan demografi tenaga kerja dan perkembangan ekonomi gig.
“Sejak sebelum 2010, NTUC telah terlebih dahulu menubuhkan persatuan pemandu teksi untuk memastikan suara mereka didengari di peringkat industri.
“NTA kemudian ditubuhkan sebagai wadah lebih kukuh untuk memperjuangkan manfaat pemandu teksi.
“Seterusnya, NPHVA dan NDCA diwujudkan pada 2016 dan 2020 bagi menyokong pemandu private hire serta penghantar makanan dan barang. Kesemua usaha ini mencerminkan aktivisme akar umbi NTUC yang proaktif dalam memahami serta memenuhi keperluan pekerja platform yang kian berubah,” kata kenyataan itu.
Pindaan perlembagaan yang diluluskan itu juga menyusul selepas penggubalan Akta Pekerja Platform pada Januari 2025, satu undang-undang yang telah diperjuangkan NTUC selama lebih sedekad.
Di bawah akta tersebut, pekerja platform diberikan perlindungan di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica), Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk keperluan perumahan dan persaraan, serta hak untuk diwakili secara rasmi melalui PWA.
Undang-undang ini merupakan antara yang terawal di dunia yang menawarkan perlindungan statutori kepada golongan pekerja platform.
Dengan mandat padu yang diterima pada 14 November, NTUC melihat pengiktirafan PWA selaku anggota sepenuhnya sebagai satu lagi mercu tanda penting dalam memperkukuh struktur perwakilan pekerja platform dalam gerakan buruh.
Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, berkata:
“Memandangkan pekerja platform adalah kumpulan pekerja yang unik, kita mesti memastikan mereka diwakili dalam gerakan buruh. Sokongan kuat daripada kesatuan-kesatuan anggota NTUC untuk menerima tiga PWA ini memungkinkan gerakan kita menjadi lebih inklusif dan mewakili pekerja platform dengan lebih baik, memastikan PWA mempunyai suara dalam membentuk misi kita bahawa setiap pekerja adalah penting.”
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga penasihat kepada NDCA, NPHVA dan NTA Cik Yeo Wan Ling menzahirkan penghargaan kepada para pemimpin dan kakitangan PWA atas komitmen mereka.
“Daripada berdiri bersama pekerja platform ketika menghadapi cabaran, kepada memperjuangkan Akta Pekerja Platform, dan kini mendapatkan pengiktirafan PWA sebagai anggota sepenuhnya NTUC, usaha gigih mereka benar-benar membawa perubahan.”
NTUC akan memfailkan pindaan perlembagaan ini kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja untuk kelulusan rasmi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg