Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga robot mula buat rondaan di penjara dari Okt dalam fasa percubaan
Teknologi Protect mampu ikut laluan ditetapkan, salur rakaman video dan audio secara langsung
Tiga ‘pegawai penjara’ baharu akan mula meronda tiga institusi penjara mulai Oktober ini bagi membantu dalam tugas penyeliaan, pemantauan dan tindak balas terhadap insiden.
Namun, ‘pegawai’ ini bukanlah manusia.
Ia merupakan teknologi Robot Penjara bagi Rondaan dan Pengawasan (Protect), yang mampu meronda secara berautonomi mengikut laluan ditetapkan sambil menyalurkan rakaman video dan audio secara langsung.
Penggunaan Protect bagi sebahagian tugas rondaan harian membolehkan pegawai penjara menumpukan lebih banyak masa kepada interaksi dengan banduan, termasuk dalam menyokong proses pemulihan mereka, kata Pegawai Kakitangan (Operasi Masa Depan) daripada Pejabat Tindakan, Penolong Superintenden Penjara (ASP) Andika Arjunais.
“Protect membantu kami dalam dua perkara. Pertama, bagi rondaan seharian, agar pegawai boleh meluangkan lebih banyak masa berinteraksi bersama banduan dan membantu proses pemulihan mereka.
“Kedua, kalau berlaku insiden, Protect boleh dihantar ke lokasi dahulu untuk meningkatkan keselamatan pegawai,” ujar beliau.
Ketiga-tiga robot itu akan menjalani fasa percubaan sehingga Januari 2027.
Robot itu dibangunkan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dengan kerjasama Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), khusus bagi memenuhi keperluan operasi penjara.
Ketua Jurutera, Kejuruteraan Sistem, Sistem Darat HTX, Encik Peng Chongtian, berkata ketiadaan sistem serupa yang boleh dijadikan rujukan merupakan antara cabaran dalam membangunkan Protect.
“Protect merupakan sistem robotik yang dibangunkan khusus dan disesuaikan buat operasi penjara.
“Pertimbangan utama dari segi reka bentuk dan kejuruteraan tertumpu pada keperluan operasi, dan keutamaan kami adalah memastikan sistem itu dapat memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Dengan ketinggian 157 sentimeter, robot itu berfungsi menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi beberapa keupayaannya yang mampu mengesan dan mengelak halangan di sepanjang laluannya.
Ia juga boleh mengesan sekiranya ia diganggu atau mengalami kerosakan, dan akan memberi amaran kepada pegawai.
Jika diperlukan, pegawai juga boleh mengambil alih kawalan robot itu dari jauh.
Contohnya, dalam situasi yang memerlukan perhatian pegawai seperti pergaduhan antara banduan, perbuatan mencederakan diri atau kemungkinan kecemasan perubatan, Protect boleh dihantar terlebih dahulu ke lokasi kejadian untuk menyalurkan rakaman video dan audio secara langsung kepada pegawai di Pusat Arahan Unit Pembetulan (Correctional Unit Control Centre).
Kameranya menawarkan pandangan hampir 360 darjah, membolehkan pegawai menilai keadaan dari jauh sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Menerusi sistem perhubungan dua hala, pegawai juga boleh berhubung dengan banduan dan memberikan arahan tanpa perlu berada di lokasi kejadian.
Siren kuat dan cahaya terang kemudian akan digunakan yang boleh mengganggu penglihatan buat sementara waktu, selain semburan bahan perengsa selama 20 saat sekiranya banduan gagal mematuhi arahan pegawai.
Pegawai Kakitangan (Operasi Masa Depan) bagi Pejabat Tindakan, ASP Ridley Lim Zhi Guang, berkata fasa percubaan itu akan menilai sejauh mana ia dapat menyokong tugas pegawai serta kesesuaiannya untuk disepadukan dengan operasi sedia ada.
“Fasa percubaan ini akan membolehkan kami menilai keberkesanan Protect dalam persekitaran operasi sebenar serta mengenal pasti aspek yang boleh diperhalusi sebelum mempertimbangkan penggunaannya pada skala lebih besar.
“Ini sejajar dengan strategi transformasi teknologi SPS yang lebih luas, dengan teknologi dan keupayaan baharu diuji dan diperkenalkan secara bertahap-tahap bagi memperkukuh keselamatan,” katanya.
