Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga warga emas uzur tinggal satu flat, keadaan tidak terurus

Maljas dhsd ashdj khakja sdhajkdhk asjdh asjkdha jkshdkj ashjh asd
Nov 22, 2023 | 5:13 PM
BERHADAPAN HARI TUA YANG MENCABAR : Cik Selmah Nordin, 76 tahun, dan kakaknya Cik Salamah Noordin, 79 tahun, terpaksa saling menjaga walau kedua-duanya telah uzur.
BERHADAPAN HARI TUA YANG MENCABAR : Cik Selmah Nordin, 76 tahun, dan kakaknya Cik Salamah Noordin, 79 tahun, terpaksa saling menjaga walau kedua-duanya telah uzur. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD
MEMBANTU SECARA IKHLAS: Cik Fazera Ahmad, 28 tahun, (paling kiri) dan Cik Dewi Zurishka 32 tahun (paling kanan) mahu membantu atas dasar perikemanusiaan.
MEMBANTU SECARA IKHLAS: Cik Fazera Ahmad, 28 tahun, (paling kiri) dan Cik Dewi Zurishka 32 tahun (paling kanan) mahu membantu atas dasar perikemanusiaan. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD

Di sudut ruang tamu sebuah flat empat bilik di Tampines Avenue 8, seorang wanita tua berjalan perlahan-lahan dan terbongkok-bongkok ke arah kakaknya, yang juga uzur dan sedang duduk di kerusi roda.

Di dalam sebuah bilik yang gelap pula, suami wanita itu, yang menghidap demensia, sedang baring dan tidak kelihatan.

Satu lagi pintu bilik terbuka – mendedahkan keadaan dalamnya yang tidak terurus dan dipenuhi barang-barang.

Warga emas itu, Cik Selmah Nordin, 76 tahun, tinggal bersama suaminya, Encik Abdullah Yassin, 73 tahun, dan kakaknya, Cik Salamah Nordin, 79 tahun.

Ketiga-tiga warga emas itu tidak berpendapatan, dan menyara hidup daripada sedikit wang dari dana kebajikan yang diterima Cik Salamah dan juga wang hasil Skim Beli Balik Pajakan, selain sumbangan orang awam.

Cik Selmah berkata beliau tidak pasti berapa hasil yang diterima suaminya daripada skim itu. Menurutnya, Encik Abdullah sudah lupa-lupa dan tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.

“Kakak saya tidak ada suami, dan memang dari dulu dia duduk dengan kami. Dia yang bantu membayarkan duit air api, dan keperluan harian kami.

“Yang itu (Encik Abdullah), dia tidak bekerja, sudah lupa-lupa, jadi duit pun tak ada,” kata Cik Selmah semasa wartawan berkunjung ke rumahnya pada Selasa.

Menurut Cik Selmah, Encik Abdullah bekerja sebagai pengawal keselamatan hingga enam tahun lalu. Mereka tidak ada cahaya mata dan tinggal di flat itu sejak 1987.

Walaupun kesihatannya sendiri tidak stabil, beliau terpaksa menjaga dua ahli keluarganya itu, yang lebih memerlukan.

“Keadaan saya semakin teruk dan membongkok kerana saya sering jatuh apabila melakukan kerja rumah. Saya tidak ada duit untuk mendapatkan rawatan doktor, jadi saya biarkan saja ia begitu,” tambahnya.

Kisah tiga warga emas itu mendapat perhatian Cik Fazera Ahmad, 28 tahun, seorang pekerja bebas bersama sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan di rumah, Homage.

Setelah melihat keadaan mereka, Cik Fazera terpanggil untuk membantu Cik Selmah dan mendapatkan pertolongan kawannya, Cik Dewi Zurishka, 32 tahun.

“Saya rasa terdorong nak tolong lagi. Ini bukan kerja yang boleh dilaksanakan seorang atau dua orang. Kami perlukan ramai lagi orang untuk bergotong-royong dalam situasi seperti ini,” kata Cik Fazera.

Dengan bantuan Cik Dewi, yang menyebarkan kisah itu di akaun Facebooknya, ramai orang tampil menghulurkan bantuan, baik dari segi tenaga mahupun wang tunai.

“Saya fikir beliau (Cik Selmah) ada anak yang boleh membantu, tetapi sebenarnya tidak. Jadi saya meminta izinnya untuk mengambil gambar keadaan rumahnya dan kongsikannya untuk mendapatkan bantuan,” kata Cik Dewi, seorang ibu tunggal anak dua.

“Saya tidak sangka ramai yang ingin membantu, dan minggu lepas kumpulan sukarela yang memanggil diri mereka Abang-Abang Santai datang dan tolong kami bersihkan rumahnya,” tambahnya.

Cik Selmah teruja dengan bantuan yang diterima dan mensyukuri usaha yang dijalankan untuk membantu keluarga itu.

Bercakap mengenai keadaan hidupnya, Cik Selmah berkata: “Dah suratan – kita sakit, susah senang itu semua kehendak Tuhan. Tak boleh nak buat apa, kita terima saja.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg