Sekurang-kurangnya sedozen pekerja TikTok di Singapura telah diberhentikan berkuat kuasa serta-merta, apabila firma itu mengurangkan pekerja pasukan barisan belakangnya di seluruh dunia untuk menyelaraskan operasi dengan lebih baik bagi rancangan pertumbuhan jangka panjang.
Surat-surat telah dihantar kepada pekerja di jabatan amanah dan keselamatannya pada 20 Februari untuk memaklumkan mereka tentang penyusunan semula dalaman.
Pemberhentian pekerja itu menjejaskan pasukan di Asia-Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat, sumber yang biasa dengan pemberhentian itu memberitahu The Straits Times (ST).
E-mel kepada pekerja Singapura, yang dilihat oleh ST, berkata pemberhentian dalam pasukan amanah dan keselamatan datang selepas beberapa bulan pertimbangan yang teliti.
Langkah itu dibuat untuk kecekapan operasi dan akan lebih sejajar dengan keperluan perniagaannya, menurut e-mel itu.
Beberapa pekerja yang menerima e-mel itu mengekalkan peranan mereka.
Yang lain telah dipotong akses mereka sejam selepas mereka dimaklumkan pada 20 Februari bahawa mereka telah diberhentikan kerja.
Di seluruh dunia, TikTok mempunyai lebih 40,000 karyawan yang mengendalikan bahagian amanah dan keselamatan, kata ketua eksekutif TikTok, Encik Chew Shou Zi, dalam keterangan mengenai bahaya media sosial kepada kanak-kanak di hadapan jawatankuasa kehakiman Senat Amerika pada Januari 2024.
Pada waktu itu, Encik Chew berkata TikTok merancang melabur lebih AS$2 bilion ($2.67 bilion) dalam usaha bagi amanah dan keselamatan pada 2024, dengan sebahagian besar pelaburan dalam operasi Amerikanya.
Tidak jelas berapa ramai daripada 40,000 pekerja yang mengendalikan bahagian amanah dan keselamatan ini berpangkalan di Singapura.
Juga tidak jelas sama ada pemberhentian pekerja 20 Februari itu menjejaskan jabatan lain.
ST telah menghubungi TikTok untuk mendapatkan komen.
Apabila ST tiba di pejabat TikTok di One Raffles Quay sekitar tengah hari, beberapa pekerja yang memakai lanyard firma itu dapat dilihat keluar untuk makan tengah hari dalam kumpulan, kelihatan ceria.
Ramai pekerja enggan mengulas mengenai pemotongan terbaru, apabila didekati.
Pemberhentian terbaru itu berikutan pemotongan besar-besaran baru-baru ini oleh TikTok atas tenaga kerja sedunianya pada 2024.
Pada Mei 2024, TikTok dilaporkan telah merancang memberhentikan sebahagian besar kira-kira 1,000 pekerja daripada pasukan pengguna, kandungan dan pemasaran globalnya di seluruh dunia.
Pada Oktober 2024, TikTok berkata ia memberhentikan ratusan pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk sejumlah besar kakitangan di Malaysia di tengah-tengah peralihannya ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam penyederhanaan kandungan.
ByteDance berkata ia mempunyai lebih daripada 150,000 pekerja yang berpangkalan di hampir 120 bandar di seluruh dunia.
Walaupun TikTok Singapore adalah syarikat bukan kesatuan, beberapa pekerja adalah ahli Perhimpunan Bakat Teknologi yang bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang sedang menghubungi ahli-ahli untuk menawarkan bantuan, jika perlu.
Ahli kesatuan sekerja yang terjejas boleh menghubungi Perhimpunan Bakat Teknologi di ttab@ntuc.org.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg