WASHINGTON: TikTok memulihkan perkhidmatan di Amerika Syarikat pada 19 Januari selepas terhenti seketika, apabila undang-undang mengharamkan aplikasi yang sangat popular atas alasan keselamatan negara berkuat kuasa.
TikTok memuji Presiden Encik Donald Trump, yang kembali semua menerajui Amerika pada 20 Januari kerana memungkinkan perkhidmatan platform dipulihkan meskipun pentadbiran mantan Presiden Encik Joe Biden sebelum ini menyatakan ia tidak akan menguatkuasakan sebarang larangan.
Aplikasi perkongsian video itu telah ditutup di Amerika lewat pada 18 Januari sebagai tarikh akhir bagi pemilik negara Chinanya, ByteDance, untuk menjual anak syarikatnya di Amerika kepada pembeli bukan dari negara itu.
Terdahulu pada 19 Januari, ketika berjuta-juta pengguna yang kecewa apabila mereka dihalang daripada menggunakan aplikasi itu, Encik Trump berjanji akan mengeluarkan perintah eksekutif menangguhkan larangan itu untuk memberi masa bagi “mencapai perjanjian”.
Beliau juga menyeru agar Amerika mengambil sebahagian atau 50 peratus pemilikan dalam TikTok dengan alasan bahawa nilai aplikasi itu boleh melonjak “ratusan bilion dan mungkin trilion dolar”.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di X berikutan komen Encik Trump, TikTok berkata ia “sedang dalam proses memulihkan perkhidmatan”.
“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memberikan kejelasan dan jaminan bahawa mereka tidak akan menghadapi sebarang penalti bagi perkhidmatan yang kami sediakan kepada lebih 170 juta rakyat Amerika,” tambah TikTok.– AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg