Sukar untuk membayangkan bahawa Aceh yang kita lihat sekarang adalah wilayah Indonesia yang sama yang musnah akibat bencana gempa bumi berukuran sehingga 9.3 pada skala Richter pada 26 Disember 2004, disusuli pula tsunami gergasi.
Gempa dasar laut di Lautan Hindi dekat barat Sumatera, yang paling kuat dalam tempoh beberapa dekad ini, mengakibatkan gelombang maut tsunami setinggi sehingga 30 meter, menjejas 12 negara dan mengorbankan lebih 200,000 nyawa.
Sempena 20 tahun bencana tersebut, pasukan Berita Harian (BH) yang terdiri daripada koresponden kanan, Encik Farid Hamzah, wartawan, Cik Shiqin Ramadan, wartawan foto Encik Shafiq Apandi, dan wartawan video Encik Abdul Qayyum Sarip, serta penerbit Cik Dian A’Qidah Ahmad Yatim, telah mengadakan lawatan lima hari dari 5 hingga 9 Disember, bagi menghasilkan satu liputan khas.
“Ini merupakan lawatan kedua buat saya, dan yang pertama buat anggota muda BH yang lain.
“Terdapat perbezaan daripada sudut sekitarannya termasuk banyak bangunan dan jalan raya yang dibina semula, berbanding 20 tahun lalu semasa lawatan saya beberapa hari selepas tsunami berlaku.
“Yang tidak berubah adalah semangat kental penduduknya untuk meneruskan kehidupan – serupa semasa kali pertama saya lihat mereka 20 tahun lalu,” kongsi Encik Farid, 52 tahun.
Mengenang dua dekad sejak tsunami, pasukan tersebut berkesempatan melawat Banda Aceh dan Meulaboh, yang merupakan sebuah kota yang terletak 245 kilometer dari Banda Aceh.
Di Banda Aceh, selain daripada berkunjung ke kawasan seperti muzium PLTD Apung, yang merupakan tarikan pelancong di mana sebuah tongkang penjana elektrik bersaiz besar terdampar di darat akibat tsunami, pasukan ini juga telah ke Sekolah Bersepadu, Fajar Hidayah.
Sekolah tersebut dibangunkan oleh Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) dengan kerjasama beberapa badan utama yang terdiri daripada Jawatankuasa Fasilitasi Rekonstruksi Tsunami, diketuai oleh Palang Merah Singapura (SRC), Yayasan Fajar Hidayah yang mengendalikan rumah tersebut, dan Badan Rehabilitasi dan Rekonstruksi (BRR) Indonesia.
Di Meulaboh pula, antaranya, pasukan BH mengunjungi rumah anak yatim dan kompleks sekolah Muhammadiyah, yang merupakan antara projek kemanusiaan yang diselaraskan Mercy Relief pada 2005.
Dalam pada itu, pasukan ini juga dapat mengenali sikap daya tahan yang luar biasa para penduduk Aceh hasil wawancara bersama beberapa mangsa yang terselamat daripada bencana dahsyat itu.
Mendengar pengalaman mereka berpaut pada pohon berjam lamanya, terlanggar mayat yang terapung dan bergelimpangan merata sambil mencari anggota keluarga yang hilang, kisah-kisah yang dikongsi mereka ternyata menyayat hati.
Kadar pemulihan dan pembinaan semula yang dilihat di Banda Aceh dan Meulaboh mencerminkan ketabahan dan keyakinan penduduk Aceh.
Sempena ulang tahun ke-20 bencana itu pada 26 Desember, pembaca boleh menjangkakan liputan istimewa Berita Minggu (BM), video di media sosial Berita Harian (BH), dan juga tayangan dokumentari khas pada 2 Januari 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg