Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timbalan ketua pendakwa raya, pengarah Drew & Napier dilantik peguam kanan

Jan 13, 2025 | 5:27 PM
Encik Christopher Ong Siu Jin (kanan) dan Cik Blossom Hing Shan Shan, merupakan dua peguam kanan pertama yang dilantik selepas jawatankuasa pemilihan memperhalusi kriteria pelantikan pada 2024.
Encik Christopher Ong Siu Jin (kanan) dan Cik Blossom Hing Shan Shan, merupakan dua peguam kanan pertama yang dilantik selepas jawatankuasa pemilihan memperhalusi kriteria pelantikan pada 2024. - Foto ST

Daripada semua kes yang menyaksikan Encik Christopher Ong Siu Jin mendakwa suspek sepanjang 27 tahun lalu, pembunuhan Nonoi yang berusia dua tahun oleh bapa tirinya masih kekal dalam ingatan beliau.

Encik Ong, 52 tahun, timbalan ketua pendakwa raya di bahagian jenayah Jabatan Peguam Negara, mengetuai pendakwaan terhadap bapa tiri Nonoi, Mohammed Ali Johari, pada 2007.

Encik Ong adalah salah seorang daripada dua peguam yang dilantik sebagai peguam kanan oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon pada pembukaan tahun undang-undang pada 13 Januari, lapor The Straits Times.

Seorang lagi ialah Cik Blossom Hing Shan Shan, 51 tahun, pengarah bahagian penyelesaian pertikaian dan penyusunan semula korporat di firma guaman, Drew & Napier.

Peguam kanan, atau senior counsel (SC), ialah kumpulan peguam elit yang diiktiraf atas kemahiran pembelaan, pengetahuan undang-undang dan kedudukan profesional mereka.

Mereka mempunyai hak untuk menambahkan huruf awalan ‘SC’ pada nama mereka.

Singapura kini mempunyai 100 peguam kanan dalam kalangan 6,348 pakar undang-undang, dan 82 daripada mereka masih bertugas.

Encik Ong dan Cik Hing ialah dua peguam kanan pertama yang dilantik selepas jawatankuasa pemilihan – terdiri daripada Ketua Hakim, Peguam Negara dan Hakim Rayuan – memperhalusi kriteria pelantikan pada 2024.

Ketua Hakim Menon berkata jawatankuasa itu akan memberi lebih penekanan kepada sumbangan ketara pemohon kepada pembangunan undang-undang Singapura dan sumbangan mereka kepada bidang itu.

Encik Ong telah mengendalikan kes pembunuhan, pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, serta kes berprofil tinggi seperti perbicaraan Gereja City Harvest dan taikun minyak, O.K. Lim.

Cik Hing mengendalikan pertikaian komersial korporat serta penyusunan semula dan kes kemuflisan.

Beliau berada dalam panel timbang tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura dan juga merupakan ahli pusat timbang tara di bidang kuasa lain.

Bercakap kepada media pada 13 Januari, dua peguam itu berkata mereka berada dalam kelab drama dan debat Inggeris yang sama di Maktab Rendah Nasional pada 1990-an.

Encik Ong, yang ibu bapanya guru, pernah bercita-cita menjadi guru atau wartawan.

Ada yang menyarankan agar beliau menjadi peguam kerana gemar berdebat.

Namun ketika di sekolah undang-undang, beliau sedar bahawa bercakap sahaja tidak mencukupi.

Encik Ong berkata: “Adalah penting untuk boleh bercakap, tetapi yang lebih penting, anda perlu mempunyai bahan dan di situlah datangnya kerja keras.”

Mengenai pembunuhan Nonoi, Encik Ong masih ingat pengalamannya merangkak untuk mengakses longkang di bawah Jejambat Aljunied di sepanjang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), tempat bapa tiri Nonoi iaitu Ali, menyembunyikan mayatnya.

Selepas meneliti bukti yang menunjukkan Ali telah menyerang Nonoi secara seksual dan menenggelamkannya dalam baldi air, Encik Ong sedar anak kecil itu telah meninggal dunia dengan cara yang menyakitkan.

Ali, ketika itu berusia 31 tahun, disabitkan kesalahan dan dihukum gantung.

Encik Ong berkata: “Walaupun hukuman mati ke atas seseorang bukan sesuatu yang menggembirakan, untuk kes itu, saya benar-benar berasakan bahawa keadilan telah dicapai.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg