Melihat kegembiraan di wajah pelanggan apabila pasukannya dapat membantu mencari penyelesaian kecerdasan buatan (AI) untuk masalah kerja harian mereka, adalah salah satu sebab mengapa Cik Siti Nuruljannah Baharudin, yang berusia lewat 30-an, seronok bekerja di AI Singapura.
Sebagai seorang Jurutera AI di AI Singapura, beliau adalah sebahagian daripada pasukan program 100 Eksperimen (100E) yang membantu syarikat dan organisasi mencari penyelesaian kepada masalah mereka menggunakan teknologi dan AI, apabila tiada penyelesaian komersial yang sedia ada.
Melalui tempoh kerjasama selama sembilan bulan, syarikat-syarikat mendapat peluang berkongsi penyata masalah berkaitan AI mereka dan pasukan kejuruteraan dari AI Singapura akan berusaha mencadangkan penyelesaian.
“Perkara pertama yang membuat pekerjaan itu memuaskan adalah apabila pelanggan mengucapkan terima kasih kepada kami kerana membantu mereka mencari penyelesaian AI untuk kerja harian mereka kerana ia telah menjimatkan banyak masa dan tenaga mereka.
“Satu lagi perkara yang saya rasa amat memuaskan ialah apabila saya dapat melatih perantis, kerana saya sendiri juga pernah bermula sebagai seorang perantis sebelum menjadi Jurutera AI. Saya rasa berbaloi untuk berkongsi pengalaman saya sendiri dalam program itu.
“Kemudian, setelah mereka tamat program, mereka mendapat pekerjaan dan mereka gembira dengan kerjaya baru mereka dalam AI. Jadi, itu menjadikannya sangat bermanfaat,” kata Cik Nuruljannah.
Sebelum menjadi Jurutera AI, Cik Nuruljannah telah menyertai Program Perantisan AI (AIAP) di bawah AI Singapura, yang bertujuan mengenal pasti, melatih dan melatih bakat AI tempatan.
Program sembilan bulan itu merangkumi latihan kemahiran mendalam intensif selama dua bulan, diikuti pula dengan peluang untuk terlibat dalam sebuah projek AI selama tujuh bulan.
Ketika latihan sambil bekerja selama tujuh bulan itu, Cik Nuruljannah pernah berpeluang bekerja dengan Life3 Biotech, sebuah syarikat bioteknologi.
Tugasnya – untuk membantu membangunkan model AI menggunakan penyelesaian penglihatan komputer bagi memudahkan proses mengira sel mikroalga dalam kultur cecair, di samping menyediakan data penting tentang saiz sel.
“Mereka sedang berusaha menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan dari makmal. Biasanya, penyelidik perlu mengira sel secara manual pada imej mikroskopik untuk memutuskan sama ada ia bersedia untuk dituai.
“Tapi, ini sangat memakan masa dan juga terdedah kepada kesilapan manusia. Jadi, apa yang dilakukan oleh penyelesaian AI kami sebenarnya adalah untuk mengambil imej mikroskopik, mengira sel, berapa besar, kecil, sederhana, dan kemudian menjana keputusan untuk penyelidik.
“Jadi, ia mengurangkan masa dan lebih cepat daripada meminta seseorang mengira sel,” kata Cik Nuruljannah.
Menurut AI Singapura, untuk mengambil bahagian dalam AIAP, antara keperluan lain, individu tersebut mestilah sekurang-kurangnya mempunyai kecekapan teknikal dengan Python, AI dan pembelajaran mesin.
Bagaimanapun, Cik Nuruljannah pada ketika itu tidak memenuhi syarat yang diperlukan dan oleh itu, harus mengikuti beberapa kursus pendek sebelum memohon program tersebut.
“Ketika itu, saya belum mencapai standard lagi. Jadi, saya mendaftar untuk beberapa kursus pendek dalam talian. Saya cuba meningkatkan kemahiran saya dahulu tentang AI, statistik, seumpamanya.
“Terdapat banyak kursus di laman web seperti dari Coursera, Udemy, dan lain-lain yang orang ramai boleh daftar, walaupun mereka tidak mempunyai banyak pengalaman.
“Saya fikir saya boleh mengambil beberapa kursus pendek untuk meningkatkan kemahiran diri bagi memenuhi keperluan program. Saya menyertai AIAP pada 2021,” kata Cik Nuruljannah.
Sebelum menyertai AIAP dan AI Singapura, Cik Nuruljannah telah memulakan kerjayanya sebagai seorang jurutera sofwe dengan diploma dalam teknologi maklumat (IT) sebelum beliau mengambil ijazah sarjana muda dalam IT dan Perniagaan.
Beliau bekerja sebagai jurutera sofwe selama lebih 10 tahun sebelum mencuba kerjaya baru dalam bidang pendidikan sebagai pensyarah tambahan di Politeknik Republik (RP).
Semasa mengajar, beliau terus mengambil ijazah sarjana secara sambilan dalam Pengajian Maklumat di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan di situlah detik beliau mula berminat untuk meneroka kerjaya baru dalam data dan AI.
“Saya berminat untuk bekerja dengan data dan AI semasa program ijazah sarjana saya. Di situlah saya terjumpa AIAP.
“Selepas menamatkan program selama sembilan bulan, saya menyertai AI Singapura sebagai Jurutera AI dalam projek 100E,” kata Cik Nuruljannah.
Sebagai satu-satunya Jurutera AI wanita berbangsa Melayu di AI Singapura, Cik Nuruljannah berasa lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk menggalak lebih ramai wanita Melayu menyertai sektor AI dan teknologi.
Ini termasuk menggalak ibu bapa dan masyarakat mendedahkan golongan muda awal kepada kegiatan, kemahiran dan pelbagai peluang kerjaya dalam industri teknologi seperti kejuruteraan sofwe, pembelajaran mesin serta etika AI.
“Di AI Singapura, saya satu-satunya wanita Melayu buat masa ini dan secara amnya, dalam dunia teknologi Singapura, terdapat sedikit wanita Melayu. Kami sangat kurang diwakili.
“Saya rasa salah satu sebab utama ialah kesedaran. Jadi, ini harus bermula dari usia muda, terutamanya di sekolah... memberi kesedaran tentang peluang yang ada dan jenis kemahiran yang diperlukan dalam bidang teknologi.
“Sebenarnya, terdapat banyak peranan dalam AI dan teknologi!” kata Cik Nuruljannah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg