Daripada bimbang sama ada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi akan mengambil alih pekerjaan kita pada masa hadapan, rakyat Singapura harus berfikir bagaimana mereka boleh memanfaatkannya untuk mempermudah kerja dan kehidupan mereka, kata mantan Menteri, Profesor Yaacob Ibrahim.
Berkongsi pandangan beliau bersama Berita Harian (BH), Dr Yaacob, yang kini merupakan Penasihat bagi AI Singapura, berkata AI dan teknologi sudah menjadi sebahagian besar kehidupan manusia, justeru, pekerja, majikan dan juga perniagaan mesti belajar memanfaatkannya.
“Kita harus tanya kepada diri kita bagaimana kerja kita akan diubah oleh AI dan bagaimana kita boleh menyesuaikan diri. Kita tidak boleh elakkan diri daripada perkembangan AI kerana ia akan terus berlaku.
“Facebook, Google, Microsoft akan keluarkan huraian mereka. Jadi sebagai masyarakat Singapura, bagaimana kita boleh menyiapkan diri kita untuk dunia yang baru ini?
“Bukan untuk kita menakutkan masyarakat kita, tapi untuk beri kesedaran bahawa dunia akan berubah,” kata Dr Yaacob.
Beliau berkata banyak penyelesaian telah dapat diraih dalam masyarakat, khususnya di Singapura, menerusi AI. Malah, dengan kerjasama AI Singapura, banyak syarikat telah meraih manfaat dalam penggunaan AI untuk mencari huraian bagi masalah yang mereka hadapi.
AI Singapura telah dilancarkan pada Mei 2017 oleh Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) Singapura untuk membina keupayaan negara dalam AI dengan kembangkan bakat tempatan bagi mencipta bersama penyelesaian industri yang boleh membawa impak sosial dan ekonomi.
Untuk menggalak lebih banyak syarikat memanfaatkan penggunaan teknologi dan AI dalam menyelesaikan cabaran perniagaan harian mereka, AI Singapura memperkenalkan program 100 Eksperimen (100E) pada 2017, bagi membantu menyelesaikan 100 masalah yang dikemukakan industri menggunakan AI.
“Melalui tempoh kerjasama selama sembilan bulan, syarikat mendapat peluang berkongsi masalah berkaitan AI mereka, dengan tiada produk komersial semasa wujud, dan pasukan kejuruteraan dari AI Singapura akan berusaha mencadangkan penyelesaian.
“Apabila kami bermula pada 2017, beberapa syarikat tidak pasti sama ada AI benar-benar dapat menyelesaikan masalah mereka memandangkan ia sesuatu yang agak baru kepada mereka. Mereka tidak pasti sama ada mereka mahu memberikan tenaga kerja dan wang mereka juga.
“Tetapi hari ini, lebih banyak syarikat tampil menyertai program ini kerana mereka melihat sendiri bagaimana AI telah menambah baik proses kerja mereka. Malah ada yang kembali membuat projek kedua dengan AI Singapura,” kata Dr Yaacob.
Sehingga kini, inisiatif tersebut telah membiayai beberapa projek seperti penggunaan AI oleh Dana Sedunia untuk Alam Semula Jadi (WWF) Singapura untuk meningkatkan ketepatan mengesan perdagangan hidupan liar haram dalam talian.
Ia juga telah membantu mempermudah penyusunan dasar pemerintah sedunia berkaitan cukai untuk dana kekayaan negara GIC dan mempercepat pelabelan gigi untuk doktor gigi di kumpulan pergigian Q&M.
AI Singapura juga telah membantu Hospital Besar Singapura (SGH) manfaatkan AI dalam operasi makmalnya dengan meningkatkan ketepatan diagnosis ketumbuhan dalam buah dada yang lebih baik.
Dr Yaacob menambah bahawa kerjasama sedemikian bukan sahaja membuahkan huraian AI, ia juga memperkasa syarikat-syarikat dengan tenaga kerja yang lebih mahir dalam AI, lantas memperkukuh lagi operasi syarikat tempatan.
“Dalam kerjasama itu, syarikat tersebut juga memberi tenaga kerja mereka. Setelah selesai mendapat satu penyelesaian, mereka juga dapat peluang meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka dalam bidang AI.
“Jadi sekali gus, bukan sahaja kita mendapat penyelesaian baru, malah kita juga ada pekerja baru yang berkemahiran dalam AI yang boleh terus dilanjutkan di Singapura,” kata beliau.
Dr Yaacob, yang berundur daripada Kabinet pada 2018 selepas menyertai politik sejak 1997, kini berkhidmat sebagai Penasihat AI Singapura. Beliau memberi bimbingan dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman luas beliau dalam sektor teknologi dan AI.
Sepanjang tempohnya dalam politik, beliau pernah memegang beberapa jawatan menteri, antaranya sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan dari 2011 hingga 2018, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dari 2015 hingga 2018.
Beliau juga pernah menggalas peranan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dari 2002 hingga 2018.
Selepas bersara daripada politik pada 2018, Dr Yaacob kembali ke dalam bidang akademik sebagai Profesor di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Singapura (LKYSPP), dan juga sebagai Penasihat di Pejabat Presiden di Institut Teknologi Singapura (SIT).
Pada Mei lalu, Dr Yaacob telah dianugerahkan dengan penghormatan berprestij Dewan Kemasyhuran Anugerah Pemimpin Teknologi 2024 oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS).
Anugerah tersebut merupakan satu penghormatan bagi meraikan sumbangan teladan beliau kepada landskap teknologi dan pembangunan dasar Singapura, khususnya dalam bidang keselamatan siber, transformasi digital dan etika AI.
“Apabila saya lepaskan jawatan sebagai Menteri pada 2018, Pengarah AI Singapura, Encik Laurence Liew, mengundang saya menjadi penasihat.
“Saya rasa itu satu peranan penting membolehkan saya terus berkecimpung dalam bidang AI bagi menentukan bahawa AI boleh digunakan dengan baik, dengan bertanggungjawab, dan boleh membawa kebaikan kepada Singapura,” kata Dr Yaacob.
Menurut AI Singapura, sejak 2020, program 100E telah diperluaskan untuk membantu sehingga 200 syarikat dengan menyediakan geran antara $180,000 dengan $330,000 untuk membina dan memanfaatkan sistem AI.
Sehingga kini, 118 projek telah diluluskan untuk kerja pembangunan, dengan 90 telah siap dan 28 lagi sedang dalam proses.
Dr Yaacob berkata beliau kini gembira dapat melihat lebih banyak syarikat memanfaatkan AI, dan lebih ramai individu mengambil langkah menyertai sektor itu untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknologi dan AI.
“Dahulu tak ramai orang datang. Sekarang alhamdulillah lebih ramai yang mengambil bahagian dalam program-program yang dijalankan oleh AI Singapura untuk membina keupayaan dalam latihan AI.
“Ini semua jurutera AI, dilatih oleh AI Singapura. Lebih ramai anak-anak muda nak menjalani kursus menjadi jurutera AI dan sebagainya.
“Ini menunjukkan ada kesedaran bahawa AI adalah satu teknologi penting dalam kehidupan kita dan mereka ingin berkecimpung dalam bidang itu,” kata Dr Yaacob.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg