Di saat anak lelakinya yang berusia 16 tahun ‘berjuang’ menduduki peperiksaan nasional, Sarjan Staf Kanan (SSSgt) Hasrin Hasmoon terpaksa mengambil keputusan berat - meninggalkan keluarga demi menggalas misi kemanusiaan di Nepal.

Sebagai juruterbang dron Pasukan Polis Singapura (SPF), pegawai berusia 44 tahun itu sedar panggilan tugas seperti ini tidak seharusnya dilengahkan.

Dengan sokongan kuat keluarga, terutama sekali isterinya Cik Nurul Ashikin Daud, SSSgt Hasrin telah menyertai kontinjen Singapura seramai 35 anggota dalam misi kemanusiaan ke Nepal - Operation Vanguard- dari 1 hingga 18 September.

Pasukan tersebut merangkumi pakar daripada SPF, Lembaga Sains Kesihatan (HSA) dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Di Nepal, SSSgt Hasrin berdepan ujian fizikal dan teknikal yang amat berbeza daripada pengalaman di tanah air.

Beliau ditugaskan melatih lebih 20 pegawai polis Nepal mengendalikan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) bagi operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang sukar diakses.

Pasukannya turut menghasilkan manual berkaitan pengendalian, latihan dan penyenggaraan dron bagi membolehkan polis Nepal terus membangunkan keupayaan UAV mereka.

Selain latihan tersebut, sebanyak enam dron disumbangkan kepada Polis Nepal untuk digunakan, termasuk di kawasan bencana yang sukar atau tidak dapat dimasuki anggota penyelamat dengan berjalan kaki.

Menurut SSSgt Hasrin, antara cabaran yang dihadapi ialah mengendalikan dron dalam persekitaran yang jauh berbeza daripada Singapura.

Di Nepal, latihan penerbangan dilakukan pada ketinggian sekitar 1,300 meter dari paras laut, yang antara lain memerlukan juruterbang mengambil kira keadaan angin yang lebih kuat.

Beliau juga perlu mengatasi cabaran bahasa ketika menyampaikan maklumat teknikal dan prosedur keselamatan kepada pegawai Nepal, katanya.

“Pegawai Nepal sangat bersungguh-sungguh untuk belajar. Walaupun pada awalnya ada kebimbangan mengenai perbezaan bahasa, akhirnya kami dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka dapat mengikuti arahan yang diberikan,” katanya.

Menyentuh tentang sokongan keluarganya, SSSgt Hasrin berkata kekuatan isterinya dalam menguruskan hal keluarga dan membimbing anak mereka membolehkannya memberi tumpuan kepada tugas sepanjang berada di Nepal.

“Saya tidak mahu beliau risau ketika saya berada di Nepal, dan beliau juga tidak mahu saya terbeban memikirkan keadaan di rumah.

“Beliau sentiasa mengingatkan saya supaya tidak terlalu memikirkan keadaan di rumah, sementara saya pula meyakinkannya bahawa saya berada dalam keadaan selamat. Setiap kali berkesempatan, kami akan membuat panggilan video untuk bertanya khabar dan memastikan masing-masing berada dalam keadaan baik,” katanya.

Mengenai anak lelakinya yang sedang menduduki peperiksaan nasional, beliau berkata:

“Sudah tentu saya berasa bimbang. Dengan bimbingan isteri saya, Alhamdulillah, keadaannya baik. Dia juga sedang berusaha untuk mengikuti kursus yang diminatinya, jadi dia bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaannya.”

Pengorbanan kontinjen itu diraikan dalam satu acara di HomeTeamNS Bedok Reservoir pada 26 September, yang dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Encik Tong telah memuji para pegawai atas kecemerlangan operasi, profesionalisme dan sifat ihsan yang ditunjukkan sepanjang misi.

Menyamapikan pengharagaan beliau atas pengorbanan pegawai terlibat, Encik Tong turut memberi penghormatan kepada keluarga mereka yang menjadi sumber sokongan sepanjang tempoh misi tersebut.

“Kepada kesemua 35 pegawai yang dikerahkan, anda benar-benar telah mewakili Singapura dengan penuh cemerlang.

“Anda meninggalkan keluarga dalam tempoh notis yang singkat dan bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam keadaan yang sangat asing serta mencabar, namun tetap melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme, ketabahan dan sifat ihsan,” ujar Encik Tong.

Komander kontinjen, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Patrick Tan, pula berkata pasukan Singapura berdepan persekitaran operasi yang mencabar, selain tekanan fizikal dan emosi sepanjang menjalankan tugas bantuan bencana.

Menurut beliau, kekuatan kontinjen terletak pada keupayaan anggota pelbagai agensi untuk menggabungkan kepakaran masing-masing.

“Meskipun kita sebuah negara dan pasukan yang kecil, kekuatan kita berganda apabila keupayaan kita digabungkan.

“Dengan menyatukan kepakaran daripada pelbagai agensi, kita dapat memperoleh akses ke tempat yang diperlukan dan menyalurkan bantuan dengan lebih berkesan,” katanya.

Selain latihan UAV, antara bidang utama misi itu ialah operasi pengecaman mangsa bencana (DVI), termasuk pemeriksaan bedah siasat, pengambilan cap jari serta usaha membandingkan rekod bagi membantu proses mengenal pasti mangsa.

Pegawai DVI dan Penolong Superintenden Polis (ASP) Corelle Tan Pei Shan, berkata skala bencana tersebut menuntut tahap tumpuan yang tinggi, terutama ketika berdepan jasad manusia yang reput.

“Apabila kami tiba, sekitar seminggu telah berlalu sejak bencana berlaku. Jadi, banyak mayat dan jasad manusia sudah mengalami pereputan lanjut kerana sebahagiannya berada dalam air dan lumpur,” katanya.

Menurut ASP Tan, bekerja dalam persekitaran sedemikian turut menuntut kekuatan emosi daripada para pegawai.

Sementara itu, Pakar Patologi Forensik HSA, Dr Benjamin Kuek, berkata pengalaman melihat gambar individu yang masih hilang ditampal di dinding hospital menjadi peringatan bahawa kerja forensik bukan sekadar proses teknikal.

“Melihat gambar orang hilang yang ditampal di dinding hospital mengingatkan saya bahawa tugas yang kami lakukan amat bermakna kepada seseorang dan kepada keluarga yang sedang mencari jawapan.

“Ia bukan sekadar kerja rutin atau mengumpulkan bukti saintifik. Pada akhirnya, kami cuba membantu keluarga mendapatkan sedikit kepastian dan penutup,” katanya.

Pakar Cap Jari HTX, Encik Yong Heng Wei, pula berdepan cabaran membandingkan cap jari yang diperoleh daripada mangsa dengan rekod sedia ada, terutama apabila keadaan jasad menjejas kualiti cap jari yang boleh diperoleh.

“Ia agak mencabar kerana tidak semua mayat mempunyai set cap jari yang boleh digunakan akibat kerosakan yang disebabkan bencana.

“Bagi sesetengah mayat, hanya beberapa jari yang masih berada dalam keadaan sesuai untuk mendapatkan cap jari, menyebabkan proses perbandingan menjadi lebih sukar,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti