Lebih setengah (52 peratus) penduduk Singapura dapati mereka memerlukan sekurang-kurangnya $1 juta untuk mencapai kebebasan kewangan.
Penduduk Singapura berusia 30 tahun ke bawah merupakan golongan paling yakin mencapai matlamat mereka mencapai kebebasan kewangan awal.
Ini menurut tinjauan bank CIMB pada 8 April, yang menyentuh tentang persepsi keseluruhan dan tingkah laku terhadap perancangan kewangan.
Tinjauan tersebut yang mengambil pendapat daripada lebih 500 penduduk Singapura berusia 26-60 tahun dijalankan menjelang acara kewangan peribadi InsureXpo yang akan diadakan pada 12 April.
Antara jumlah responden, 63 peratus ingin mempunyai kebebasan kewangan antara usia 40 dengan 60 tahun.
Meskipun jumlah $1 juta untuk mencapai kebebasan kewangan amat besar, 72 peratus responden percaya ini merupakan satu matlamat yang realistik.
Antara yang berpandangan sedemikian, 43 peratus yakin dengan pengurusan kewangan mereka.
Namun, tiga halangan paling ketara daripada mencapai kebebasan kewangan adalah kos sara hidup yang tinggi, tanggungjawab terhadap keluarga, dan pendapatan rendah.
Di samping itu, 39 peratus maklum mereka ‘sering’ ataupun ‘selalu’ berasa bimbang tentang masa depan kewangan mereka.
Terutamanya golongan berusia 40-50 tahun didapati mempunyai kebimbangan kewangan lebih tinggi, dengan 47 peratus menyatakan rasa bimbang ‘selalu’ ataupun ‘sering’.
Pendapat yang sama diperhatikan di bandar lain yang mempunyai ekonomi yang kukuh seperti Hong Kong, dengan 28 peratus pekerja lapor bahawa keadaan kewangan mereka menyebabkan kebimbangan dan tekanan lebih tinggi.
Dalam 71 peratus responden yang mempunyai rancangan kewangan, 48 peratus sudah mula merancang untuk persaraan.
Ini disebabkan hutang kewangan, pergantungan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pengetahuan terhad tentang cabaran akan datang.
“Yang ketara, penduduk Singapura muda menunjukkan keyakinan paling tinggi dalam mencapai kebebasan kewangan awal berbanding dengan kumpulan umur yang lain.
“Kami sedar bahawa perjalanan untuk mencapai kebebasan kewangan adalah sangat peribadi dan kami berdedikasi untuk membantu semua generasi mengemudi perjalanan kewangan mereka,” kata Ketua Pengurusan Kekayaan dan Perbankan Pilihan, Bank CIMB Singapore, Encik Raymond Tan.
Laporan “CIMB Singapura: Sikap dan kepercayaan terhadap laporan kebebasan kewangan 2025” (CIMB Singapore: Attitudes and Beliefs towards Financial Independence Report 2025), diusahakan kerjasama CIMB dengan Pusat Pemasaran dan Teknologi Nanyang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg