Ibu bapa Singapura bergantung kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan semasa bersara, walaupun mereka sendiri terkilan dengan tanggungjawab untuk menyara ibu bapa yang sudah tua, menurut satu tinjauan yang diterbitkan oleh Manulife.
Tinjauan Manulife Asia Care 2024 mendapati responden Singapura melihat anak-anak sebagai “pelaburan yang hebat” untuk persaraan.
Itulah sikap 60 peratus daripada mereka yang merancang untuk mempunyai anak, serta 60 peratus daripada mereka yang sudah mempunyai anak.
Ironinya, walaupun responden mengharapkan sokongan kewangan daripada anak-anak mereka, tanggungjawab menanggung tanggungan ibu bapa dilihat sebagai beban kewangan oleh 55 peratus responden.
“Ia nampaknya menggambarkan responden Singapura terperangkap dalam kitaran kewajipan kewangan kepada ibu bapa dan, seterusnya, kebergantungan terhadap anak-anak mereka,” kata Manulife dalam satu kenyataan, dipetik akhbar Business Times.
Ketua pegawai pemasaran Manulife Singapura, Encik Mark Czajkowski, berkata: “Pemahaman ini memberi penerangan tentang keperluan untuk perbincangan mengenai kebebasan kewangan dan perancangan persaraan proaktif.
“Apabila norma dan jangkaan masyarakat berkembang, adalah penting bagi individu merancang untuk persaraan mereka secara bebas, mengurangkan pergantungan tradisional kepada anak-anak untuk mendapatkan sokongan kewangan.
“Penemuan kami bukan sahaja menyerlahkan trend demografi yang unik, tetapi juga mengukuhkan kepentingan untuk bermula lebih awal dan mempunyai strategi perancangan kewangan yang berkesan.”
Tinjauan itu dijalankan pada Januari dan Februari 2024, dan melibatkan 1,038 penduduk Singapura, berumur 25 hingga 60 tahun.
Kebergantungan kepada anak-anak untuk memberi nafkah kepada ibu bapa apabila mereka semakin meningkat usia, bukan hanya berlaku di Singapura.
Purata di seluruh Asia ialah 59 peratus, berbanding 58 peratus di Singapura. Tetapi terdapat perbezaan, daripada 30 peratus di Jepun hingga 74 peratus di Vietnam.
Purata bilangan anak yang dikehendaki di Singapura ialah 1.5 dan lebih separuh (57 peratus) responden yang sudah berkahwin tanpa anak, ragu-ragu atau tidak pasti untuk membina keluarga.
Tinjauan itu juga mendapati jurang yang ketara, dalam matlamat kesejahteraan dan keyakinan kewangan di kalangan pengguna Singapura.
Ini mencerminkan “kebimbangan yang mendalam terhadap ketidaktentuan ekonomi dan penjagaan kesihatan merentasi semua kumpulan umur”, kata Manulife.
Kurang daripada dua pertiga responden (61 peratus) yakin mampu mencapai matlamat kewangan utama mereka.
Kebimbangan utama termasuk peningkatan kos penjagaan kesihatan dan inflasi, kedua-duanya dipetik oleh 81 peratus responden, serta kelembapan ekonomi (77 peratus).
Terdapat juga perbezaan yang ketara dalam pilihan gaya hidup di kalangan belia.
Mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun, menyatakan lebih yakin dalam mencapai matlamat mereka (74 peratus).
Tetapi kumpulan yang lebih muda di Singapura, juga mempunyai matlamat yang jauh berbeza.
Keutamaan utama ialah menabung untuk hari hujan atau kecemasan, diikuti dengan percutian ke luar negara.
Matlamat lain, seperti membeli rumah dan mengekalkan gaya hidup semasa, berada pada kedudukan lebih rendah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg