Majoriti rakyat Singapura menyokong sistem pemerintahan semasa dan mengatakan ia berfungsi dengan baik serta tidak memerlukan perubahan atau hanya memerlukan perubahan kecil.
Demikian antara dapatan tinjauan terkini yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) pada 27 September.
Menurut tinjauan yang dijalankan pada 2023, sebanyak 58.2 peratus rakyat Singapura berkata sistem pemerintahan Singapura berfungsi dengan baik dan memerlukan perubahan kecil, manakala 20.9 peratus lagi berkata ia tidak memerlukan perubahan.
Hanya 8.6 peratus berasa ia memerlukan perubahan besar.
Selain itu, 78.8 peratus responden yang ditinjau berkata mereka lebih suka hidup di bawah sistem pemerintahan Singapura berbanding di mana-mana negara lain.
Demikian hasil daripada Tinjauan Barometer Asia terkini yang dijalankan oleh IPS pada 2023, yang mengkaji tahap norma demokrasi dan sistem politik yang telah berakar umbi dalam diri rakyat di Singapura dan juga serantau.
Tinjauan oleh IPS kali terakhir dijalankan pada September 2023, sejurus selepas Pilihan Raya Presiden (PE) 2023; pada Julai 2020, selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2020; pada Oktober 2014, sebelum GE 2015; pada April 2010, sebelum GE dan PE 2011; dan Julai 2006, selepas GE 2006.
Sekitar 1,000 warga Singapura berumur 21 tahun dan ke atas merentasi pelbagai kaum, umur, jantina, tahap pendidikan dan jenis pekerjaan telah ditemu bual secara bersemuka dalam tinjauan yang dijalankan dari September hingga November 2023.
Tinjauan terbaru pada 2023 itu telah dijalankan oleh zamil penyelidik kanan IPS, Dr Gillian Koh; zamil penyelidik utama adjung dan penasihat akademik, Dr Tan Ern Ser; zamil penyelidik, Dr Teo Kay Key; dan penolong penyelidik, Encik Cheow Jin Jie.
Menurut tinjauan itu, kebanyakan responden yang ditinjau sejak 2006 berkata Singapura adalah sebuah negara demokrasi, tetapi mempunyai masalah kecil, manakala lebih ramai mengatakan ia adalah demokrasi penuh pada 2023 berbanding 2020.
“Demokrasi, sebagai sistem politik, semakin dilihat sebagai sesuai untuk Singapura.
“Melalui tinjauan-tinjauan ini, kajian menunjukkan terdapat sokongan padu yang berterusan dalam kalangan rakyat Singapura untuk idea bahawa ‘demokrasi mungkin mempunyai masalah, tetapi ia masih merupakan bentuk pemerintahan yang terbaik’,” kata Dr Koh.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa rakyat Singapura sangat menghargai demokrasi Singapura kerana keupayaannya untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil; undang-undang dan ketenteraman; politik bersih dan bebas rasuah; serta keupayaan pemerintah untuk menyediakan keperluan asas buat rakyat.
Mereka menghargai sifat-sifat itu lebih daripada keupayaan untuk rakyat Singapura mempunyai hak politik-sivil seperti menganjurkan kumpulan politik atau mengambil bahagian dalam bantahan dan demonstrasi.
Apabila ditanya tentang ciri demokrasi yang paling penting, kebanyakan responden mengaitkannya dengan keupayaan “rakyat memilih pemimpin pemerintah dalam pilihan raya yang bebas dan adil” (32.1 peratus); dan keupayaan “pemerintah untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin” (27.9 peratus).
Sebilangan besar responden (37.9 peratus) juga mengaitkan takrif demokrasi sebagai mempunyai akses kepada keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, manakala 26.7 peratus mengaitkan demokrasi kepada keupayaan pemerintah untuk menyediaka perkhidmatan awam yang bermutu buat rakyat.
Responden turut mengundi tinggi terhadap keupayaan pemerintah untuk “memastikan wujudnya undang-undang dan ketenteraman” serta “politik bersih dan bebas daripada rasuah” sebagai ciri penting demokrasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg