Tahap kepuasan hidup belia kekal stabil sepanjang 2021 hingga 2022, dengan 64 peratus daripada golongan ini berpuas hati dengan kehidupan mereka semasa tempoh pandemik Covid-19 itu.
Ini walaupun angka itu 10 peratus lebih rendah pada 2017 apabila 74 peratus belia berasa berpuas hati dengan hidup mereka, menurut Kajian Belia mengenai Peralihan dan Laluan Berkembang di Singapura (Youth STEPS).
Hasil kajian kebangsaan pertama yang dilakukan dalam tempoh panjang ini dibentangkan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Makmal Sosial Institut Kajian Dasar (IPS) pada 5 Ogos.
Ia bertujuan untuk meneroka kepuasan hidup, aspirasi dan keutamaan golongan ini ketika mereka beralih daripada fasa remaja ke dewasa.
Kajian itu meliputi lebih 3,000 belia warga dan penduduk tetap Singapura berusia antara 17 dengan 24 tahun, sepanjang tempoh enam tahun – dari 2017 hingga 2022.
Zamil Penyelidik Kanan Adjung IPS, Dr Chew Han Ei, semasa satu taklimat media pada 5 Ogos, berkata kemerosotan tahap kepuasan hidup belia sepanjang enam tahun ini “tidak seharusnya menimbulkan rasa bimbang”.
Dr Chew secara umum mengaitkan trend menurun itu kepada kesan menua, yang konsisten dengan teori lengkung kebahagiaan atau happiness curve theory.
Teori itu menunjukkan kebahagiaan seseorang individu mengikuti lengkung berbentuk ‘U’, yang mana kebahagiaan bermula pada tahap tinggi pada zaman remaja dan mula merosot apabila seseorang itu memasuki usia 20-an tahun mereka, mencapai titik paling rendah dalam tahun 40-an, sebelum meningkat pada tahun 50-an dan 60-an.
Menurut kajian Youth STEPS, tahap kepuasan hidup belia terus turun setiap tahun dari 2017 hingga 2020.
Pada 2017, tahap kepuasan hidup belia adalah 74 peratus, sebelum ia jatuh kepada 69 peratus pada 2018, 67 peratus pada 2019 dan kemudian 60 peratus pada 2020.
Walaupun angka ini dijangka menurun berdasar teori lengkung kebahagiaan, ia sebaliknya meningkat ke 64 peratus pada 2021 dan kekal stabil pada 2022.
Kenaikan tahap kepuasan hidup itu mungkin berpunca daripada kesan berbeza ketika Singapura keluar daripada pandemik, kata Dr Chew.
“Kami melihat penurunan mendadak semasa pandemik, tetapi lantunan itu tidak dijangka,” ujarnya lagi.
Dr Chew menambah kenaikan angka itu menunjukkan daya tahan golongan belia untuk bangkit daripada cabaran yang dialami semasa Covid-19.
“Pandemik sememangnya menguji kecekalan belia, tetapi mereka telah bangkit mengharungi cabaran. Mereka telah dicabar, tetapi mereka tidak patah semangat. Mereka bukanlah ‘Generasi Strawberi’ seperti yang dikatakan sebelum ini,” jelas Dr Chew, yang merupakan ketua penyelidik projek ini.
Generasi muda kerap dilabel sebagai ‘Generasi Strawberi’ yang mudah rapuh apabila berhadapan ujian kehidupan.
Walaupun Covid-19 menghadkan belia daripada peluang seperti menghadiri orientasi di sekolah atau di tempat kerja, menjalani latihan sambil kerja atau melancong ke luar negara, kajian itu mendapati golongan ini juga tidak membiarkan aspek negatif pandemik mempengaruhi laluan sasaran masa depan mereka.
Sebanyak 43 peratus belia pada 2022 berkata pandemik telah memberi kesan positif kepada kehidupan mereka. Angka ini meningkat daripada 31 peratus pada 2020 dan 34 peratus pada 2021.
Selain itu, 78 peratus belia berkata mereka telah membangunkan rancangan untuk membantu mencapai aspirasi mereka dalam tahun mendatang.
Golongan ini juga semakin akur bahawa ada peluang yang mencukupi di Singapura untuk mencapai aspirasi peribadi mereka – naik 40 peratus pada 2020 kepada 57 peratus pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg