Kiat How: Pemerintah, individu main peranan rapat jurang kumpulan berbeza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiat How: Pemerintah, individu main peranan rapat jurang kumpulan berbeza

Jan 20, 2026 | 7:16 PM

Kiat How: Pemerintah, individu main peranan rapat jurang kumpulan berbeza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kiat How, Pemerintah, individu, jurang kumpulan berbeza,  ‘Singapore Perspectives 2026’
(Dari atas kiri, ikut putaran jam) Zamil Penyelidik Kanan dan Ketua Makmal Dasar, IPS, Dr Justin Lee; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; Zamil Penyelidik, Makmal Dasar IPS, Encik Nicholas Thomas; dan pengamal pembangunan organisasi dan penyertaan awam, Cik Dawn Yip membincangkan hasil dapatan Persidangan Persetujuan mengenai Integrasi Tempatan-Asing semasa perbincangan dalam talian yang diadakan pada 20 Januari. - Foto IPS, NUS

Pemerintah memainkan peranan besar dalam menyatukan individu berbeza, namun sama penting ialah peranan yang dimainkan setiap individu untuk memastikan jurang sosial mampu dirapatkan.

Menerusi satu perbincangan panel dalam talian ‘Singapore Perspectives 2026’, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata setiap orang mempunyai pilihan dan keupayaan untuk membina jambatan merentasi masyarakat.

Namun pemerintah akan terus menyediakan ruang selamat untuk perbincangan termasuk bagi topik sukar demi perpaduan negara, kata beliau.

“Semuanya bergantung kepada pilihan, ia adalah tentang memilih perhubungan berbanding perpecahan, tidak kira di tempat kerja, dalam setiap perbualan yang kita ada, setiap pertukaran dalam talian yang kita lakukan, bahkan di meja makan bersama anggota keluarga,” kata beliau yang juga pengerusi unit maklum balas pemerintah, Reach.

Beliau berkata sedang masyarakat menjadi semakin rencam, timbul persoalan bagaimana kita boleh menyatukan kumpulan-kumpulan yang berbeza.

Perbezaan ini bukan lagi tertakluk kepada kaum, agama atau bahasa sahaja, malah dari segi isu-isu yang diperjuangkan, minat dan lain-lain, katanya.

“Masyarakat kita kini lebih pelbagai, suku kaum yang berbeza, tujuan yang berbeza, minat yang berbeza. Bagaimanakah kita menyatukannya? Saya fikir ia akan menjadi cabaran yang akan dihadapi oleh banyak masyarakat, terutamanya pada zaman AI (kecerdasan buatan) dan media digital.

“Jadi saya fikir ia adalah tanggungjawab kita semua mencari cara untuk menjadi inklusif,” kata beliau.

Semasa perbincangan dalam talian pada 20 Januari itu, Encik Tan dan tiga lagi anggota panel – Zamil Penyelidik Kanan dan Ketua, Makmal Dasar IPS, Dr Justin Lee; Zamil Penyelidik, Makmal Dasar IPS, Encik Nicholas Thomas; dan pengamal pembangunan organisasi dan penyertaan awam, Cik Dawn Yip – turut membincangkan bagaimana untuk mewujudkan ruang selamat di mana individu boleh meluahkan pandangan berbeza terhadap isu-isu yang dipertikaikan.

Ini berikutan satu eksperimen perintis yang dilakukan Makmal Dasar IPS dan Reach pada November 2025 melibatkan warga Singapura dan asing.

Eksperimen itu yang dikenali sebagai Persidangan Persetujuan mengenai Integrasi Tempatan-Asing bertujuan melihat sama ada semua individu yang terlibat boleh mencapai persetujuan 100 peratus dalam empat cabang berbeza.

Empat bidang tersebut ialah kehidupan masyarakat, pendidikan, pekerjaan dan silang budaya.

Seramai 24 individu – 16 warga Singapura, lima warga asing dan tiga penduduk tetap – mengemukakan 67 kenyataan meliputi empat bidang tersebut.

Mereka mencapai persetujuan 100 peratus bagi 23 daripada 67 kenyataan yang dikemukakan bersama.

Antara kenyataan itu termasuk “Saya percaya setiap anak warga Singapura mesti diberi peluang yang luas untuk berjaya” dan “Rakyat Singapura mesti diberi layanan istimewa hanya apabila mereka memenuhi set kemahiran atau kecekapan yang diperlukan untuk pengambilan pekerja”.

Para penyelidik IPS berkata hasil daripada eksperimen tersebut menunjukkan bahawa di bawah keadaan yang betul, penduduk Singapura yang mempunyai status kediaman yang berbeza boleh berhujah tentang isu-isu integrasi yang dipertikaikan dan mencapai titik persamaan.

Cik Yip berkongsi bahawa untuk mewujudkan ruang di mana orang ramai rasa selamat untuk menyuarakan pandangan tulen masing-masing, persekitaran psikososial memainkan peranan penting.

Misalnya, apabila menyertai acara seperti Persidangan Persetujuan, apakah perasaan peserta, adakah mereka rasa mereka boleh berterus-terang dengan orang di sekeliling atau mereka memilih jalan yang lebih selamat untuk mengelak daripada sebarang pergeseran.

Beliau turut menekankan pentingnya membolehkan emosi yang kuat diterima.

“Saya rasa budaya di Singapura, kita cenderung menahan emosi atau kita tidak begitu menyukainya, kita tidak selesa apabila ia muncul,” katanya.

“Apabila (perasaan marah atau sedih) itu timbul, ia adalah sesuatu yang semulajadi dalam menangani isu-isu sukar, sediakan ruang untuknya,” tambah beliau.

Merujuk hasil dapatan Persidangan Persetujuan, Encik Tan berkata Reach komited menyediakan lebih banyak ruang di mana warga Singapura boleh membincangkan isu-isu yang penting bagi mereka.

“Realitinya ialah jika kita tidak berbual tentang perbezaan, pergeseran akan memburuk,” katanya.

“Kita mempunyai sesuatu yang berharga di Singapura, sangat berharga yang telah kita bina sejak 60 tahun lalu dan kita ingin memastikan ia terus berkembang, dikekalkan.

“Kita tidak boleh ambil sambal lewa bahawa anak dan cucu kita akan mewarisi masyarakat yang harmoni dan bersatu-padu... ia merupakan sesuatu yang kita mesti usahakan dengan jitu pada setiap generasi dan setiap daripada kita boleh memainkan peranan,” tambah Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg