Semua kes penderaan kanak-kanak sepatutnya ditangani oleh agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak, dan bukannya agensi masyarakat.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga harus memastikan agensi sedemikian – seperti Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak MSF dan pusat khidmat keluarga – mempunyai sumber yang mencukupi agar dapat menjalankan peranan mereka dengan berkesan.
Satu mekanisme membuat rayuan juga perlu ditubuhkan untuk menyemak semula kes yang melibatkan pandangan bercanggah daripada pelbagai pihak serta menentukan bagaimana kes itu akan diuruskan.
Ini adalah antara tujuh saranan dikemukakan oleh sebuah panel semakan yang ditubuhkan oleh MSF pada Mei bagi memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu kenyataan MSF pada 23 Oktober, ia telah menerima semua saranan itu dan akan mengkaji bagaimana untuk melaksanakannya selepas berunding dengan sektor.
Panel bebas tersebut mengemukakan saranannya pada 21 Oktober selepas menjalankan semakan ke atas cara pengurusan agensi setempat dalam kes kematian kanak-kanak perempuan, Megan Khung pada 2020. Berusia empat tahun, dia telah didera secara fizikal dan emosi oleh ibunya serta teman lelaki ibunya selama setahun sebelum meninggal dunia.
Dapatan panel itu menunjukkan beberapa kelemahan dalam cara pengurusan agensi-agensi dalam kes tersebut termasuk pegawai khidmat perlindungan kanak-kanak (CPS) yang gagal merakam panggilan dari tadika Megan untuk meminta bantuan serta pegawai polis yang tidak mengikut prosedur.
Bercakap dalam satu sidang media, Encik Masagos melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap kematian Megan dan akur bahawa lebih banyak tindakan sepatutnya boleh dilakukan.
“Kematian Megan amat menyedihkan saya dan menyedihkan kita semua. Tiada apa yang dapat mengembalikannya. Bukan semakan ini. Bukan kesedihan kita. Bukan juga penyesalan kita.
“Sebagai peneraju ekosistem perlindungan kanak-kanak negara, kami memohon maaf dan mengakui bahawa lebih banyak tindakan sepatutnya boleh dilakukan ketika kami mengendalikan kes ini.
“Kami tidak dapat menghapuskan setiap risiko kehilangan seorang kanak-kanak. Namun, tekad kami adalah mutlak, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mengelak berulangnya tragedi seperti ini,” kata Encik Masagos.
Beliau menambah meskipun MSF dan agensi perkhidmatan sosial berkaitan telah melaksanakan pelbagai perubahan dalam protokol ekosistem perlindungan kanak-kanak sejak 2020, namun satu semakan yang lebih menyeluruh dan komprehensif diperlukan agar dapat memperkukuh lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak.
Megan meninggal dunia selepas perutnya ditumbuk dengan kuat oleh Wong Shi Xiang, teman lelaki ibunya. Ibu Megan, Foo Li Ping, dan pasangannya kemudian membakar mayat kanak-kanak itu untuk menyembunyikan perbuatan mereka.
Pada 3 April, Foo dijatuhi hukuman penjara 19 tahun, manakala Wong dihukum penjara 30 tahun dan sebatan 17 kali.
Panel itu telah membentangkan lima dapatan utama dalam semakannya bersama tujuh cadangan yang diterima oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda), Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS), Pasukan Polis Singapura (SPF), Beyond Social Services (BSS), dan Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak HEART@Fei Yue (HFY).
Anggota panel itu dipengerusikan oleh Profesor Madya Kenneth Poon yang juga wakil Singapura bagi Suruhanjaya Asean untuk Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak. Tiga anggota lain ialah Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Corrine Ghoh; Dekan dan Profesor Madya di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Vincent Ng; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.
“Semakan ini berpandu atas tiga prinsip. Pertama, untuk pastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita. Kedua, bahawa keluarga mainkan peranan utama dalam menjaga anak-anak. Ketiga, kita memerlukan penglibatan menyeluruh sebagai sebuah masyarakat.
“Tujuan kami ialah untuk belajar daripada kejadian ini supaya kita dapat baiki ekosistem untuk lindungi anak-anak kita dan lakukan yang lebih baik sebagai satu masyarakat,” jelas Cik Zuraidah Abdullah.
Menjelaskan tentang usulan menubuhkan mekanisme rayuan, panel itu berkata ini diperlukan dalam situasi Perkhidmatan Perlindungan (PSV) mempunyai pandangan yang berbeza daripada agensi pelapor mengenai tahap risiko dan pengurusan kes.
Ini akan memastikan semua laporan menerima perhatian yang sewajarnya serta meningkatkan konsistensi dalam membuat keputusan ‘triage’ atau sistem untuk menilai tahap bahaya laporan penderaan kanak-kanak dan menentukan intervensi paling sesuai serta tepat pada masanya.
Menurut laporan panel itu, MSF perlu mengkaji semula peranan Ecda dalam menentukan ‘triage’ bagi kes perlindungan kanak-kanak yang berpotensi berlaku dalam keluarga.
Ini kerana walaupun pegawai Ecda dilatih dalam Panduan Melapor Penderaan Kanak-Kanak (CARG), mereka bukan pakar perlindungan kanak-kanak dan mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk membimbing prasekolah tentang cara menguruskan kes tersebut secara sementara.
Sementara itu, dua pegawai polis telah dikenakan tindakan kerana tidak mengikuti prosedur manakala MSF sudah memulakan siasatan disiplin dalam mengapa laporan BSS ke CPS pada September 2019 tidak direkodkan.
Mengulas tentang laporan itu, Encik Masagos berkata saranan panel semakan itu akan meningkatkan lagi penambahbaikan yang telah dilakukan sejak 2020 bagi memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak.
Antara lain, cadangan itu dapat memastikan peranan kalangan karyawan perlindungan kanak-kanak lebih jelas, ekosistem yang lebih teguh dengan budaya pembelajaran yang kukuh dapat dibina, dan sokongan yang lebih berstruktur untuk kesejahteraan karyawan dapat disediakan.
“
“Sebagai peneraju ekosistem perlindungan kanak-kanak negara, saya ingin menyatakan bahawa kami memohon maaf atas kes tersebut dan mengakui bahawa lebih banyak tindakan sepatutnya boleh dilakukan ketika kami mengendalikan kes ini. Kami tidak dapat menghapuskan setiap risiko kehilangan seorang kanak-kanak. Namun, tekad kami adalah mutlak, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mengelak berulangnya tragedi seperti ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg