Tidak lama selepas dia dibebaskan dari penjara kerana menipu peminat yang membeli tiket yang tidak wujud untuk konsert penyanyi Taiwan, Eric Chou, seorang wanita mengulangi perbuatannya.
Mangsa kali ini terdiri daripada lebih 70 peminat bintang terkenal Amerika Syarikat, Taylor Swift.
Pada 6 Februari, Foo Mei Qi, 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara 36 bulan selepas mengaku salah atas satu tuduhan menipu.
Menurut The Straits Times, antara Jun 2023 dengan Februari 2024, dia memperdaya 76 orang melibatkan jumlah lebih $110,700.
Mangsa ditipu kerana menyangka dia menjual tiket konsert Swift menerusi Carousell.
Pada Mac 2024, Swift mengadakan persembahan selama enam malam di Singapura, satu-satunya persinggahannya di Asia Tenggara.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Yohanes Ng berkata Foo meminta mangsa memindahkan bayaran sebagai pertukaran tiket konsert.
Selepas mereka berbuat demikian, dia berhenti menghubungi mereka.
Selain 76 mangsa itu, Foo turut menjual tiket konsert palsu kepada tiga mangsa lain.
Mangsa-mangsa itu telah membayar $7,780 kepada Foo, dan hanya menyedari tiket yang dikirimkan kepada mereka adalah palsu apabila mereka tidak dibenarkan memasuki ruang konsert.
DPP Ng berkata Foo juga berpura-pura menjual tiket konsert Bruno Mars di Singapura dan menipu tiga lagi mangsa yang membayar lebih $1,000 kepadanya.
Dia ditangkap pada 11 Mac 2024 selepas mangsa membuat laporan polis.
Foo kemudian mengaku bahawa dia menggunakan wang itu untuk membayar perbelanjaan hariannya, termasuk makan minum untuk dirinya dan keluarga, bil perubatan dan majlis perkahwinannya.
Tiada bayaran balik telah dibuat kepada mana-mana mangsa.
DPP Ng berkata mangsa yang terjerat dengan janji tertuduh mengenai tiket Taylor Swift pada Mac 2024, kerugian $110,742.20.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara 36 hingga 38 bulan kerana ia bukan kali pertama Foo melakukan penipuan sedemikian.
Pada Mac 2022, dia dijatuhi hukuman penjara 17 bulan selepas mengaku menyenaraikan tiket konsert Chou dan komposer Jepun, Joe Hisaishi, serta barangan berkaitan dengan konsert itu, walaupun dia tidak mempunyai barangan berkenaan.
Keseluruhan kerugian yang dialami semua mangsa berkaitan konsert Chou dilaporkan lebih $13,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg