Pemaju hartanah yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaharuan Tanjong Katong Complex (TKC) berkata mereka menyasar membuka semula pusat beli-belah di Geylang Serai itu kepada orang ramai menjelang separuh pertama 2028 – lebih awal berbanding garis masa 2029 yang diunjurkan sebelum ini.

Garis masa baru itu juga akan merangkumi pembinaan jejantas berukuran sekitar 60 meter panjang merentas Geylang Road yang akan menghubungkan tingkat tiga kedua-dua TKC dan pusat beli-belah Kinex yang bertentangan dengannya, kata jurucakap Elegant Group kepada pertanyaan Berita Harian (BH).

“Kami hampir menyelesaikan kerja-kerja perobohan dan telah memulakan kerja penggalian tanah serta beberapa kerja cerucuk.

“Sebaik sahaja pengalihan perkhidmatan bawah tanah (iaitu proses memindahkan talian utiliti bawah tanah, seperti paip air, saluran gas, kabel elektrik dan talian telekomunikasi) selesai, kami akan memulakan kerja-kerja pembinaan sepenuhnya,” kata jurucakap itu.

“Kami sedang berusaha untuk mempercepatkan kerja dan menyasar membuka semula menjelang separuh pertama 2028,” tambahnya.

Berita mengenai penutupan TKC bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf buat kali pertama dilaporkan BH pada Disember 2021. Pelancaran penjualan pusat beli-belah itu melalui tender Konsep dan Hasil Harga dengan tempoh pajakan 30 tahun telah diumumkan pada Oktober 2024.

Tender itu dimenangi Jun Jie Development, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Elegant Group, dengan harga bidaan $90,000,888.

Selain kerja naik taraf pada bangunan sedia ada, TKC akan menyaksikan pembinaan bangunan tambahan baharu – di tempat menurunkan penumpang TKC lama yang terletak di depan tempat meletak kenderaan.

Sekitar 1,500 meter persegi – atau kira-kira 5 peratus daripada ruang lantai kasar maksimum sekitar 30,000 meter persegi – di pusat beli belah itu bakal dikhususkan bagi perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu. Ruang ini akan dibangunkan dan dikelolakan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Elegant Group turut memiliki pusat beli-belah Kinex yang terletak bertentangan TKC.

Jurucakap Elegant Group berkata TKC yang diperbaharui itu dirancang menempatkan sekitar 220 unit, dengan 40 peratus daripadanya diperuntukkan untuk perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Mereka juga sedang dalam perbincangan dengan pihak yang telah melahirkan minat untuk menyewa unit di TKC, tertakluk kepada kelulusan pelan susun atur akhir dan bilangan unit oleh pihak berkuasa.

Mengulas tentang pembinaan jejantas, jurucakap Elegant Group berkata pihak berkuasa yang relevan menyokong rancangan menghubungkan tingkat tiga kedua-dua TKC dan Kinex itu.

Elegant Group telah mencadangkan ruang tertutup sepenuhnya yang dilengkapi dengan penghawa dingin bagi jejantas berukuran sekitar 60 meter panjang itu, namun reka bentuk tersebut masih menunggu kelulusan muktamad daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

“Kami berhasrat untuk menyelaraskan pembinaannya dengan garis masa pembangunan TKC agar keseluruhan kawasan tersebut dapat dihubungkan sepenuhnya melalui jejantas penghubung berkenaan,” kata jurucakap.

Jurucakap Elegant Group itu berkata TKC telah sekian lama menjadi tempat yang istimewa di kawasan Geylang Serai dan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Seiring dengan usaha memberi nafas baru kepada TKC, Elegant Group berkata visi mereka adalah untuk memelihara rasa identiti itu di samping mewujudkan sebuah destinasi yang bertenaga untuk masa depan.

“TKC baharu akan menggabungkan ruang runcit, F&B, gaya hidup dan masyarakat, dengan peluang khas untuk perniagaan dan usahawan Melayu.

“Bersama dengan DPPMS, kami berharap dapat memupuk idea dan perniagaan baru di samping memastikan pembangunan itu kekal terhubung rapat dengan masyarakat.

“Kami berharap dapat menyambut kembali kedatangan masyarakat Melayu/Islam, penduduk, pembeli-belah dan pengunjung ke TKC yang diberi nafas baru, yang kekal terhubung dengan warisannya sementara menawarkan pengalaman baru untuk generasi masa depan,” kata jurucakap.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti