Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokoh pendidikan agama Cikgu Mohamed Yusuf Ahmad Zuhri meninggal dunia

Nov 23, 2025 | 1:45 PM
cikgu Mohamed Yusuf Ahmad Zuhri
Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf Ahmad Zuhri meninggal dunia pada 22 November pada usia 84 tahun. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO

Tokoh pendidikan agama di Singapura yang disegani, Cikgu Mohamed Yusuf Ahmad Zuhri, telah meninggal dunia pada 22 November.

Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf berusia 84 tahun.

Antara sumbangan beliau kepada masyarakat termasuk menyelia pembangunan kurikulum pendidikan agama untuk peringkat rendah dan menengah sebagai Pengarah Pendidikan Agama di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis); khidmatnya sebagai naib pengerusi lembaga pengarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan sebagai ahli pengasas Lembaga Gabenor Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Pada 2018, sumbangan sepanjang hayat Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf kepada pendidikan Islam di Singapura diiktiraf apabila beliau diberikan Anugerah Pemimpin Madrasah.

Memperingati jasa beliau, Muis, dalam satu catatan Facebook pada 23 November, berkata: “Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menyelia pembangunan kurikulum pendidikan agama untuk peringkat rendah dan menengah.

“Beliau juga menerajui usaha untuk menyediakan kumpulan guru pendidikan agama dengan melatih guru Bahasa Melayu untuk menyampaikan kurikulum di sekolah kebangsaan, dengan sokongan daripada Allahyarham Ustaz Abdillah Aljufri dan Profesor Madya Abbas Sharif.”

Muis berkata Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf turut menyumbang kepada landskap pendidikan Islam sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Jawatankuasa itu menyokong penyertaan madrasah tersebut dalam Sistem Madrasah Bersama (JMS) pada 2008, di mana beliau kemudian berkhidmat sebagai salah seorang anggota pengasas Lembaga Gabenornya.

Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf merupakan anak lelaki ketiga tokoh agama, Allahyarham Ahmad Zuhri Mutammim yang dikenali sebagai pengasas dan Presiden pertama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), serta pengasas Sekolah Ugama Radin Mas yang ditubuhkan pada awal 1950-an.

Anak perempuan Allahyarham Cikgu Mohamed Yusuf, Ustazah Wan Nadia Mohamed Yusuf, berkongsi di laman Facebooknya bahawa bapanya telah meninggal dunia pada 9.42 malam, 22 November.

Jenazahnya telah dikebumikan di Pusara Aman pada tengah hari 23 November.

Dalam catatan Facebook pada 23 November, Pergas berkata: “Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengucapkan takziah atas pemergian Almarhum Cikgu Mohamed Yusuf Ahmad Zuhri.

“Almarhum merupakan seorang tokoh yang sangat dihormati yang telah mengasuh dan membimbing ramai asatizah tempatan kami dengan penuh kebijaksanaan, kerendahan hati, dan keikhlasan.

“Warisan beliau terus hidup melalui generasi pelajar dan cendekiawan yang dibimbingnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg