Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: TWM boleh diperkasa sebagai ruang interaksi budaya
Pakar: TWM boleh diperkasa sebagai ruang interaksi budaya
Ikon seni, pakar budaya tekan kepentingan gabung wacana intelektual dan persembahan alami untuk tarik ramai
Pakar: TWM boleh diperkasa sebagai ruang interaksi budaya
Ada yang mengharapkan persembahan seni secara berkala seiring dengan wacana intelektual.
Ada pula yang ingin melihat golongan belia terlibat dalam penciptaan dan kurasi program.
Tidak kurang pula yang mengharapkan wujudnya ‘kepimpinan pemikiran’ bagi mengemudi perkembangan warisan dan budaya Melayu.
Demikianlah beberapa perkara yang dibangkitkan para akademik serta penggiat budaya veteran mahupun yang masih muda belia, tatkala ditanya tentang aspirasi mereka dengan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) yang terletak di Istana Kampong Gelam pada 25 April ini.
Apakah peranan yang mereka harap institusi khazanah warisan ini dapat mainkan pada masa akan datang?
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), beberapa penerima Pingat Kebudayaan, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) serta pengamat bahasa dan budaya menekankan bahawa TWM perlu membawa kembali kemeriahan di sekitar kawasan Kampong Gelam.
Ia juga perlu melibatkan khalayak ramai dalam acaranya, seiring dengan peranannya sebagai wadah persembahan seni.
Jurutari legenda dan penerima Pingat Kebudayaan 1987, Som Said, berkata: “Saya teruja dan sangat berharap agar TWM dapat memberi lebih perhatian kepada komponen seni persembahan.
“Saya perhatikan banyak wacana dan penerbitan buku yang telah diusahakan selama ini oleh TWM. Ini merupakan satu usaha yang sangat baik.
“Pada masa yang sama, setiap wacana yang diadakan harus dipasang dengan persembahan seni Melayu secara alami untuk ditonton dan dihayati ramai.”
Beliau yang mengasaskan kumpulan seni Sri Warisan dan pernah berpangkalan di TWM sebagai kumpulan seni persembahan tetap antara 2004 dengan 2007, menambah bahawa TWM harus juga dihidupkan dengan pengamalan seni persembahan yang rencam dan berterusan.
Hal ini turut dibangkitkan seorang lagi maestro tari, Osman Abdul Hamid, yang juga penerima Pingat Kebudayaan 2023.
Kongsinya: “Sebagai hab budaya dan warisan hari ini, TWM perlu melangkaui fungsi sebagai tempat pameran semata-mata. Ia harus menjadi ruang interaksi aktif.
“Sebuah tempat di mana generasi muda bukan sahaja melihat, tetapi merasai dan mengalami budaya melalui tarian, muzik, cerita rakyat dan adat.”
Dalam pada itu, Osman, yang juga Pengarah Artistik Era Dance Theatre, tetap memberatkan kepentingan TWM sebagai ruang pencetus dialog demi memacu kelangsungan warisan dan budaya Melayu di Singapura.
Dalam menggali persoalan berkenaan pembangunan warisan dan budaya Melayu di Singapura, wacana dan dialog dianggap aspek penting bagi memacu hal tersebut.
Menurut Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi, TWM boleh melangkaui peranan tradisionalnya dengan menjadi ruang yang menggalakkan wacana dan perbincangan tentang budaya dan identiti.
Dr Roszalina, yang juga Anggota Lembaga Yayasan Warisan Melayu (MHF), berkata:
“Ruang ini bukan sekadar ruang mempamerkan produk dan artifak, malah, ia menyokong proses pembangunan wacana yang lebih bermakna dengan membina jaringan, menghubungkan masyarakat, dan memupuk perkembangan budaya secara berterusan.”
Hal ini turut ditekankan oleh Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, dalam menjelaskan peranan pengkaji warisan dan budaya Melayu di TWM.
“Mereka boleh membantu dalam penelitian seperti dokumentasi tentang Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH), mengkaji dan memberi perspektif tentang warisan kepada khalayak yang lebih ramai.
“Mereka juga perlu memimpin forum atau wacana bersama penggiat seni agar pengetahuan tentang warisan akan jadi lebih dinamik dan dapat dikaitkan dengan hal lebih besar, seperti sejarah budaya dan intelektual,” jelas beliau, yang juga merupakan Naib Pengerusi MHF.
Dr Azhar turut menegaskan, dengan pembukaan semula TWM itu, para penggiat seni wajar diberi lebih ruang dan pendedahan agar dapat terus memajukan karya mereka.
Pembukaan semula TWM yang ‘diremajakan’ turut menjadi peluang untuk melibatkan lebih ramai belia yang bergiat dalam bidang budaya dan warisan.
Penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH), Muhammad Ilyia Kamsani, berkongsi melalui TWM, perlu ada penciptaan rangkaian khas bagi pemimpin belia daripada disiplin berbeza untuk bertukar pandangan, cabaran dan harapan.
Katanya: “TWM juga boleh peruntukkan sokongan dana khas bagi golongan belia yang ingin menganjurkan program bermanfaat untuk masyarakat.”
Hal ini turut disebut Dr Azhar dan Dr Roszalina ketika menyentuh tentang kepentingan golongan belia bukan sahaja sebagai peserta, tetapi sebagai rakan kerjasama dalam membentuk dan merancang program yang dekat dengan hati golongan sebaya.
‘Kepimpinan pemikiran’ turut diapungkan sebagai faktor penting untuk diwujudkan pada pembukaan semula TWM.
Menurut Ilyia, kepimpinan pemikiran inilah yang akan mendorong pengamatan lebih mendalam dan wacana lebih bermutu yang berputar sekitar warisan dan budaya Melayu.
Osman pula turut membangkitkan kepentingan mencari sosok sesuai untuk mengemudi hala tuju budaya dan warisan Melayu di Singapura.
“Mereka (TWM) boleh menyediakan kepimpinan pemikiran dalam sektor warisan dan budaya sebagai sumbangan yang dapat memacu impak jangka panjang,” tambah Dr Azhar.

