Topik diikuti
Pergi ke BHkuTokoh seni realisme sosial S’pura, Chua Mia Tee, meninggal dunia pada usia 94 tahun
Tokoh seni realisme sosial S’pura, Chua Mia Tee, meninggal dunia pada usia 94 tahun
Tokoh seni realisme sosial S’pura, Chua Mia Tee, meninggal dunia pada usia 94 tahun
Pelukis tersohor Singapura yang terkenal dengan aliran realisme sosial, Encik Chua Mia Tee, meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Mendiang Chua dikenali menerusi karya-karya ikonik seperti Kelas Bahasa Kebangsaan, atau National Language Class pada 1959 dan Epic Poem of Malaya pada 1955.
Anak beliau, Dr Chua Yang, memberitahu The Straits Times (ST) bapanya baru-baru ini dimasukkan ke hospital setelah dijangkiti radang paru-paru (pneumonia) sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Timah pada 10 Julai, sekitar 8.45 pagi, dikelilingi karya lukisannya.
Mendiang Chua pernah diserang angin ahmar pada 2021.
Dalam pada itu, Dr Chua, yang bertugas sebagai pakar obstetrik dan ginekologi di Hospital Mount Alvernia, tempat bapanya dirawat, berkata:
“Walaupun berada di hospital, saya masih mengambil gambarnya. Beliau masih sempat tersenyum ke arah kamera.
“Saya mempunyai gambar terakhir beliau yang sedang tersenyum ketika keadaannya masih agak bertenaga. Beliau sentiasa mengukir senyuman kepada sesiapa sahaja yang datang menziarahinya.”
Hampir sedekad lalu, isteri mendiang, Cik Lee Boon Ngan, yang juga seorang pelukis, meninggal dunia pada 2017. Sebuah pameran khas selepas pemergiannya telah diadakan di The Private Museum di Upper Wilkie Road pada 2025.
Dalam satu catatan di Facebook, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggelar Encik Chua sebagai “salah seorang seniman paling terkemuka di Singapura”.
Encik Wong berkata beliau tersentuh dengan kisah hidup Encik Chua ketika melawat pameran yang menampilkan karya Chua pada 2025, khususnya kepercayaannya bahawa “hanya apabila negara ini kuat dan stabil, keluarga-keluarga barulah dapat berkembang maju dan anak-anak mempunyai harapan”.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Encik Low Eng Teong, berkata beliau mula mengenali Encik Chua secara peribadi pada 2015, apabila pelukis itu dianugerahkan Pingat Kebudayaan.
“Saya mengagumi karya-karyanya sejak zaman pelajar lagi, dan amat tersentuh dengan ucapannya yang penuh keyakinan tetapi sederhana ketika menerima anugerah itu, apabila beliau bercakap tentang pencarian sepanjang hayatnya terhadap kebenaran, kebaikan dan keindahan.
“Lukisan-lukisannya mencerminkan nilai-nilai tersebut dan akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” kata Encik Low.
Koleksi Negara kini memiliki 43 karya Encik Chua.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Galeri Nasional Singapura, Encik Eugene Tan, menyifatkan pemergian mendiang Chua sebagai satu “kehilangan besar” kepada dunia seni Singapura.
Beliau berkata karya Chua bukan sahaja merakam detik-detik penting dalam sejarah negara, malah menggambarkan perjuangan serta cita-cita rakyat biasa.
Dilahirkan di Shantou, China, pada 1931, Encik Chua berhijrah ke Singapura bersama keluarganya ketika berusia enam tahun bagi melarikan diri daripada Perang China-Jepun.
Beliau merupakan lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).
Encik Chua juga merupakan anggota Persatuan Seni Khatulistiwa, atau Equator Art Society, yang ditubuhkan pada 1956.
Selain terkenal dengan potret tokoh perniagaan dan ahli politik, beliau turut menghasilkan potret Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, yang digunakan pada wang kertas Singapura.
Pada 2015, beliau dianugerahkan Pingat Kebudayaan, iaitu penghormatan tertinggi Singapura bagi penggiat seni.
Upacara memberi penghormatan kepadanya akan diadakan di Woodlands Memorial Funeral Parlour, dari 12 hingga 14 Julai, dari 11 pagi hingga 10 pagi.
Upacara pembakaran mayat pula akan berlangsung pada 15 Julai.
