Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Topi keledar motosikal dengan mekanisme pelepasan pantas bakal dilulus di S’pura

Nov 25, 2024 | 4:46 PM
Satu piawaian kebangsaan yang disemak semula bakal membenarkan penunggang motosikal di Singapura memakai topi keledar yang mempunyai mekanisme pelepasan pantas, sama seperti yang digunakan untuk tali pinggang keledar di dalam kereta.
Satu piawaian kebangsaan yang disemak semula bakal membenarkan penunggang motosikal di Singapura memakai topi keledar yang mempunyai mekanisme pelepasan pantas, sama seperti yang digunakan untuk tali pinggang keledar di dalam kereta. - Foto ST

Satu piawaian kebangsaan yang disemak semula bakal membenarkan penunggang motosikal di Singapura memakai topi keledar yang boleh dikancing dengan cepat.

Demikian diumumkan pada ‘Hujung Minggu Penunggang Motosikal Kebangsaan’, satu acara motosikal beramai-ramai yang diadakan di Pusat Pameran Changi pada 19 Oktober.

Perubahan itu mengatasi kesulitan memasukkan tali dagu topi keledar melalui dua cincin logam berbentuk D, atau D-ring.

Di bawah piawaian baru itu, topi keledar boleh dikancing menggunakan mekanisme pelepasan pantas yang berfungsi seperti tali pinggang keledar dalam kereta.

Topi keledar itu perlu diuji sebelum diluluskan untuk digunakan di jalan raya di Singapura.

Piawaian yang disemak itu telah diterbitkan oleh bahagian piawaian agensi perdagangan Enterprise Singapore pada November 2024.

Apabila ditanya akhbar The Straits Times, Enterprise Singapore dan Polis Trafik (TP) tidak mendedahkan bagaimana atau bila piawaian yang disemak itu akan dilaksanakan.

Difahamkan bahawa pengawal selia masing-masing akan membuat penilaian akhir, dan Enterprise Singapore tidak mempengaruhi cara piawaian itu dilancarkan.

Encik Rex Tan, penganjur bersama kumpulan kerja yang ditugaskan untuk menyemak piawaian untuk topi keledar motosikal, berkata mekanisme sedemikian adalah pantas dan mudah, walaupun ketika penunggang motosikal memakai sarung tangan.

Di bawah spesifikasi yang dikemas kini itu, piawaian kebangsaan kini sejajar dengan peraturan terkini yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah (Unece) pada 2021.

Ini bermakna topi keledar yang mematuhi peraturan Unece, termasuk topi keledar yang mempunyai mekanisme pelepasan pantas, akan lulus ujian di Singapura.

Piawaian untuk topi keledar motosikal di Singapura kali terakhir disemak pada 2014.

Pengimport di sini berkata kerana keperluan 2014 itu berbeza daripada piawaian yang diiktiraf di Eropah atau Amerika Syarikat, tidak semestinya topi keledar yang mematuhi piawaian luar negara ini akan diluluskan di Singapura.

Mereka juga berkata oleh kerana Singapura tidak mempunyai pasaran besar untuk topi keledar, pembuat topi keledar biasanya tidak mereka topi keledar khusus untuk keperluan di sini.

Justeru, topi keledar dengan mekanisme pelepasan pantas cenderung gagal dalam ujian, dan pengimport berkata mereka tidak cuba membawa masuk topi keledar tersebut ke sini.

Itu sebabnya kebanyakan topi keledar yang diluluskan di sini menggunakan mekanisme D-ring.

Encik Winston Chuang, seorang pencipta kandungan, percaya bahawa kemudahan mekanisme pelepasan pantas juga akan menggalakkan penunggang memakai topi keledar dengan sempurna sebelum membuat perjalanan.

“Cuba bayangkan penghantar makanan. Perjalanan mereka kadangkala singkat, berulang-alik dari satu lokasi ke lokasi seterusnya dan mereka sering menanggalkan topi keledar mereka dengan kerap.

“Daripada hanya memakai topi keledar mereka secara longgar dan kadangkala tidak peduli mengancingkan D-ring, mereka kini hanya perlu menggunakan mekanisme pelepasan pantas.

“Ia akan jadi begitu mudah,” katanya.

Majlis Piawaian Singapura (SSC), dengan sokongan Enterprise Singapore, memulakan kumpulan kerja pada Mac 2023 untuk mengemas kini spesifikasi topi keledar motosikal.

Ia terdiri daripada wakil daripada sektor awam dan swasta, serta TP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg