Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrafik dijangka amat sesak di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sepanjang hujung minggu Hari Kebangsaan
Trafik dijangka amat sesak di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sepanjang hujung minggu Hari Kebangsaan
Trafik dijangka amat sesak di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sepanjang hujung minggu Hari Kebangsaan
Pemandu kenderaan boleh menjangkakan “trafik amat sesak” di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang hujung minggu panjang Hari Kebangsaan dari 7 hingga 10 Ogos.
Dalam satu kenyataan pada 3 Ogos, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan bahawa pengembara perlu merancang perjalanan lebih awal dan mempertimbangkan untuk melakukan perjalanan pada waktu bukan puncak, seperti awal pagi dan lewat malam.
Mereka juga dinasihatkan agar menyemak keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan sebelum bertolak.
Menurut ICA, lebih 18 juta pengembara merentasi pusat pemeriksaan darat itu semasa cuti hujung minggu Hari Raya Haji dan musim cuti sekolah Jun dari 26 Mei hingga 28 Jun.
Lebih daripada 598,000 pengembara melepasi imigresen menggunakan kedua-dua pusat pemeriksaan tersebut pada 19 Jun, mengatasi jumlah tertinggi harian sebelum ini iaitu 589,000, yang dicatatkan pada 19 Disember 2025.
Dalam tempoh waktu puncak, mereka yang melakukan perjalanan dengan kereta menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen berikutan kesesakan trafik dari Malaysia, tambah ICA.
ICA berkata pihaknya telah mempertingkatkan pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan sejak 28 Februari menyusuli keadaan keselamatan global yang semakin tegang, khususnya perkembangan terkini di Timur Tengah.
ICA menggesa pengembara supaya menggunakan kod QR yang dijana menerusi aplikasi mudah alih MyICA bagi mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen.
Penunggang motosikal dan pembonceng juga boleh menggunakan pengecaman wajah di bawah Konsep Pelepasan Baharu (NCC), yang telah meningkatkan kadar pelepasan lebih 35 peratus, atau tambahan 7,600 pengembara sejam, semasa tempoh puncak pelepasan berbanding paras sebelum pandemik pada 2019.
ICA turut menasihatkan pemandu supaya memberikan kerjasama kepada pegawai, serta mematuhi disiplin lorong dan peraturan lalu lintas.
“Memotong barisan mengganggu aliran trafik dan melambatkan perjalanan pengembara lain.
“Mereka yang didapati memotong barisan akan diarahkan membuat pusingan U dan beratur semula dari belakang barisan,” katanya.
Seramai 52 pemandu kenderaan telah dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan berkaitan trafik dan kelakuan berbahaya di jalan raya sepanjang cuti Hari Raya Haji, hujung minggu Hari Vesak dan cuti sekolah Jun baru-baru ini.
Tindakan penguatkuasaan termasuk merujuk kes kepada Polis Trafik untuk siasatan dan pendakwaan, mengarahkan pengembara beratur semula, serta melarang mereka daripada memasuki Singapura.