Orang ramai yang ke Malaysia dari 5 hingga 15 September boleh menjangkakan kesesakan teruk di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas kerana cuti sekolah berlangsung dalam tempoh itu.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu makluman pada 1 September berkata mereka yang menggunakan pusat pemeriksaan darat dalam tempoh itu harus bersedia menghadapi masa menunggu yang lebih lama, lapor The Straits Times (ST).
Semasa cuti panjang sempena Hari Kebangsaan dari 8 hingga 11 Ogos, mereka yang menaiki kereta terpaksa menunggu hingga tiga jam akibat kesesakan dari Malaysia.
Hampir dua juta orang melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan dalam tempoh tersebut.
Pada 8 Ogos sahaja, seramai 558,000 orang menyeberangi pusat pemeriksaan darat – 18,000 lebih ramai berbanding tempoh sama pada 2024.
“Kami memohon kerjasama orang ramai agar mematuhi arahan pegawai ICA, mengikuti peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin lorong.
“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar atau melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan,” kata ICA.
ICA menggalak orang ramai memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat terlebih dahulu.
Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelakkan kesesakan.
Pemandu boleh menyemak keadaan trafik melalui laman web OneMotoring LTA atau melalui Sistem Pengawasan dan Maklumat Ekspreswe (Emas) yang dipasang di sepanjang Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).
Mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal turut digalakkan menggunakan kod QR bagi mempercepat dan memudahkan proses pemeriksaan imigresen.
Namun begitu, pasport masih perlu dibawa kerana mungkin diperlukan semasa berada di luar negara.
Mereka yang didapati memotong barisan akan diarahkan untuk beratur semula, kata ICA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg