Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi Zubeen Garg: Polis S’pura serah laporan bedah siasat kepada Suruhanjaya Tinggi India

Oct 2, 2025 | 4:31 PM
Emosi peminat penyanyi India, Zubeen Garg, terjejas sejak kematiannya disahkan.
Emosi peminat penyanyi India, Zubeen Garg, terjejas sejak kematiannya disahkan. - Foto AFP

Penyanyi India, Zubeen Garg, meninggal dunia pada 19 September selepas berenang di perairan Pulau St John, dan bukan ketika menyelam skuba seperti yang dilaporkan awal oleh media India.

Jurucakap Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan mereka telah menyerahkan salinan laporan bedah siasat, bersama dengan penemuan awal mengenai kematian Garg, kepada Suruhanjaya Tinggi India, susulan permintaan daripada pihak tersebut. 

SPF, sebelum ini, telah menolak sebarang unsur jenayah.

Mendiang berusia 52 tahun ketika tragedi berlaku pada 19 September, semasa berada di atas sebuah kapal layar yang tidak dinamakan bersama lebih daripada 12 orang, lapor The Straits Times (ST).

Sebuah video yang dimuat naik di platform X pada 20 September menunjukkan beliau melompat ke dalam air untuk berenang sambil memakai jaket keselamatan. 

Menurut individu yang memuat naik video itu, yang telah mendapat lebih 600,000 tontonan, Garg menanggalkan jaket keselamatannya beberapa minit kemudian dan melompat ke dalam air sekali lagi.

Penyanyi terkenal yang dilahirkan di negeri Assam, India utara, dikeluarkan dari air dalam keadaan tidak sedarkan diri. Beliau dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi meninggal dunia pada hari yang sama.

Menurut laporan media India, sijil kematian Garg yang dikeluarkan oleh sebuah hospital di Singapura menyatakan punca kematian sebagai lemas. Namun, pemerintah Assam telah mengarahkan supaya satu bedah siasat kedua dilakukan di India.

Garg berada di Singapura untuk menghadiri Festival Utara-Timur – satu acara yang mempamerkan produk dan warisan budaya wilayah timur laut India – dan dijadualkan membuat persembahan pada 20 September. Acara tersebut dianjurkan masyarakat Assam tempatan.

Kejadian ini mencetuskan spekulasi hebat di India, dengan pemerintah India meminta siasatan dan bantuan dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura pada 29 September. 

Dua pegawai polis Assam turut ke Singapura untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, menurut media India, NDTV.

Pemerintah Assam menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas yang terdiri daripada 10 anggota untuk menyiasat keadaan kematian Garg.

Notis telah dihantar kepada beberapa individu, yang sama ada berpergian bersama beliau, atau terlibat dalam acara tersebut. Ini termasuk penganjur festival, Encik Shyamkanu Mahanta, pengurus Garg, Encik Siddhartha Sharma, anggota Persatuan Assam Singapura dan rakan-rakan rapat penyanyi itu.

Polis India berkata Encik Sharma dan Encik Mahanta gagal memberikan kenyataan kepada SIT, menyebabkan operasi pencarian dilancarkan. Encik Sharma ditangkap di Delhi, manakala Encik Mahanta ditahan di Lapangan Terbang Indira Gandhi ketika pulang dari Singapura. Kededuanya diterbangkan ke Guwahati untuk disoal siasat pada 1 Oktober.

Di Assam, kematian Garg mencetuskan kemarahan peminatnya, yang menganggapnya sebagai ikon Assam. Protes di rumah Encik Sharma di Guwahati menjadi ganas dan tercetus pertempuran dengan polis.

SPF mengingatkan orang ramai di Singapura agar tidak berkongsi sebarang video atau foto berkaitan kematian Garg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg