Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Transaksi hartanah kini boleh dibuat secara digital, isu keselamatan diambil kira

Oct 15, 2025 | 6:33 PM
murali pillai, hartanah, digital, transaksi
Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai. - Foto MDDI

Transaksi hartanah kini boleh dilakukan secara digital menyusuli pindaan kepada Akta Transaksi Elektronik yang diluluskan Parlimen pada 15 Oktober.

Buat masa ini, kebanyakan urus niaga hartanah masih dilakukan secara manual berdasarkan proses kertas kerana undang-undang memerlukannya.

Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Pemindahhakkan Elektronik dan Hal Lain.

Meskipun terdapat beberapa usaha perintis yang membenarkan urus niaga hartanah dilakukan secara dalam talian, undang-undang mesti dipinda supaya ia dapat diperluaskan, tambah beliau.

Agensi pemerintah telah berusaha mendigitalkan proses transaksi hartanah sejak beberapa tahun lalu.

Ini termasuk pembangunan Portal Pemindahhakkan Digital (DCP) Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Portal Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Melalui DCP dan Portal Flat HDB, transaksi hartanah akan diubah daripada sebuah proses berdasarkan kertas, kepada perjalanan digital yang selamat bagi memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura yang menjual dan membeli hartanah.

“Pindaan udang-undang ini telah dipertimbangkan secara teliti dengan keselamatan dan kewibawaan pada terasnya,” kata beliau.

“Pindaan ini mewakili langkah penting dalam perjalanan pendigitalan Singapura dan menunjukkan cara pemerintah menggunakan teknologi demi melindungi dan memajukan kepentingan rakyat Singapura,” tambah Encik Murali.

Pindaan kepada akta tersebut termasuk membolehkan transaksi dilakukan secara elektronik melalui Sistem Transaksi Elektronik Ditetapkan (Pets), khususnya DCP dan Portal Flat HDB.

Antara lain, pindaan itu turut menyediakan rangka kerja yang membolehkan kontrak dan surat hak dilaksanakan secara elektronik melalui Pets, memenuhi syarat borang undang-undang tertentu yang diperlukan bagi kesahan dokumen setara yang dilaksanakan secara bertulis hari ini.

Memberi respons terhadap keprihatinan yang diutarakan Anggota Parlimen (AP) mengenai keselamatan, Encik Murali berkata wadah elektronik baru tersebut akan menampilkan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kejadian penipuan dan juga untuk melindungi maklumat sensitif.

Encik Murali turut menyentuh tentang keprihatinan mengenai kebolehcapaian perkhidmatan baru tersebut, terutama bagi golongan warga emas.

Menurutnya, pemerintah akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan mengenai rekaan dan pelaksanaan portal dalam talian demi memastikan ia mesra bagi semua pengguna, termasuk warga emas.

Sementara itu, rang undang-undang itu turut mengusulkan pindaan kepada Akta Keupayaan Mental, termasuk membolehkan lebih ramai individu menyaksikan dari jauh pelaksanaan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) secara elektronik, jika semua kriteria dapat dipenuhi.

LPA adalah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang (pemberi kuasa) melantik seorang atau lebih individu (penerima kuasa), untuk membuat keputusan berhubung kebajikan peribadi dan/atau hartanah serta hal ehwal beliau, sekiranya individu itu hilang keupayaan mental pada masa depan.

Kriteria tersebut termasuk had usia bawah 75 tahun; hubungan pemberi kuasa dengan penerima kuasa yang dicadangkan; dan jaminan tiada unsur seperti penipuan atau tekanan yang tidak wajar.

Memberi jaminan, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, berkata sebelum pemberi kuasa boleh menyaksikan dari jauh pelaksanaan LPA, Penjaga Awam, atau Public Guardian, mesti menilai dan meluluskan hanya pemberi kuasa yang memenuhi kriteria undang-undang.

“Kriteria ditetapkan ini memastikan pemberi kuasa dengan permohonan berisiko rendah layak bagi penyaksian jarak jauh,” kata beliau.

Beliau turut berkata bahawa penyaksian dari jauh bertujuan menjadi pilihan tambahan, dan bukan satu-satunya pilihan.

“Sesiapa sahaja masih boleh melawat pengeluar sijil untuk melakukan penyaksian sendiri. Dan malah, kami menjangkakan sepenuhnya sesetengah pemberi kuasa masih lebih memilih melakukan demikian,” kata beliau. – IRMA KAMARUDIN

“Melalui DCP dan Portal Flat HDB, transaksi hartanah akan diubah daripada sebuah proses berdasarkan kertas, kepada perjalanan digital yang selamat bagi memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura yang menjual dan membeli hartanah.”
Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg