Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura akan tingkat kerjasama dengan Penguasa Palestin susuli pelan damai Gaza

Oct 15, 2025 | 6:04 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura tidak berhasrat menjadi anggota Lembaga Keamanan yang diusulkan Amerika Syarikat kerana pendekatan Singapura adalah berlandaskan pada prinsip kerja gigih dan menyumbang di balik tabir.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura tidak berhasrat menjadi anggota Lembaga Keamanan yang diusulkan Amerika Syarikat kerana pendekatan Singapura adalah berlandaskan pada prinsip kerja gigih dan menyumbang di balik tabir. - Foto MDDI

Singapura tidak akan berkempen untuk menjadi anggota Lembaga Keamanan yang akan memantau tadbir urus Gaza semasa peralihan pascaperang, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Ini kerana pendekatan Singapura adalah berlandaskan pada prinsip kerja gigih dan menyumbang di balik tabir, tambah Dr Balakrishnan.

Singapura, katanya, akan meningkatkan kerjasama yang sudah lama terjalin dengan Penguasa Palestin, mengubah suai program tertentu yang relevan kepada pihak berkuasa itu di bawah inisiatif seperti Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).

Inisiatif bernilai $10 juta itu bertujuan membina keupayaan pegawai awam di Palestin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan susulan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), dalam sidang Parlimen pada 15 Oktober.

Encik Giam bertanya jika Singapura berhasrat menjadi anggota Lembaga Keamanan dan bantuan Singapura terhadap membina keupayaan pentadbiran awam bagi Palestin.

Dr Balakrishnan berkata: “Kami (pemerintah Singapura) tidak berkempen untuk menjadi negara anggota di Lembaga Keamanan.

“Pendekatan kami adalah sentiasa lebihkan usaha, kurangkan bertutur dan melakar usaha di lapangan tanpa digembar-gemburkan.

“Itulah sebabnya kami tidak meminta untuk menjadi anggota mana-mana lembaga.”

Lembaga Keamanan ini merupakan badan peralihan pimpinan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan disertai pemimpin antarabangsa termasuk mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, bagi memantau tadbir urus dan pembiayaan semula di Gaza.

Ia salah satu daripada 20 perkara dalam pelan damai Amerika, dengan badan ini akan memantau tadbir urus Gaza sehingga Penguasa Palestin menyelesaikan reformasi dan bersedia mengambil alih pentadbiran dengan selamat dan berkesan.

Selain Encik Giam, empat lagi AP turut mengajukan soalan susulan kepada Dr Balakrishnan.

Awal dari itu, Dr Balakrishnan, sebagai menjawab pertanyaan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West), berkata kewujudan pelan damai ini menggariskan pengaruh kuasa besar Amerika.

Encik Zhulkarnain bertanya tentang daya maju pelan damai itu bagi mencapai penyelesaian dua negara manakala Encik Ang bertanya sama ada Singapura mahu memainkan peranan dalam pelan damai tersebut.

Dr Balakrishnan berkata: “Ini adalah pelan kritikal, dan ia bukan sekadar butiran atau jumlah perkara yang ada (dalam pelan ini).

“Hakikatnya, Amerika kekal (berperanan) sebagai kuasa besar yang amat diperlukan dengan pengaruh sebenar dan ia bersedia menggunakan pengaruh itu pada pihak yang berdepan konflik untuk mencapai apa yang ada kini.”

Fasa pertama pelan tersebut telah pun berkuatkuasa dengan gencatan senjata – sesuatu yang Dr Balakrishnan sifatkan sebagai langkah penting dan awal dalam “perjalanan yang lama dan mencabar ke arah kedamaian”.

Menjawab pertanyaan susulan daripada Encik Ang berkenaan pembangunan sekolah atau institut pendidikan di Gaza, Dr Balakrishnan berkata adalah penting untuk mengambil pendekatan berfasa dan realistik.

Namun, beliau akur bahawa dalam jangka panjang, terdapat keperluan untuk pendidikan dan latihan vokasional yang dapat meningkatkan keupayaan meraih kemahiran, sekali gus memberi kesan ketara pada ekonomi.

“Saya akan nantikan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya harap akan ada (resolusi) dan kemudian kami akan menilainya… (namun) ia terlalu awal untuk membuat sebarang komitmen pada peringkat ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg