Tanda-tanda awal transformasi Berita Harian (BH) adalah memberangsangkan dengan penglibatan media sosial, misalnya ‘like’ dan ‘share’, bilik berita mencecah satu juta.
Bahkan, penglibatan media sosial BH mencapai hampir 2 juta pada Oktober, empat kali ganda lebih tinggi berbanding Jun.
Peningkatan dalam penglibatan media sosial secara langsung meningkatkan jumlah kunjungan ke laman web BH, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, pada Jumaat.
Beliau menyatakan jumlah kunjungan ke laman web BH melepasi satu juta kunjungan setiap bulan dalam tiga bulan kebelakangan berturut-turut.
Pun begitu, BH tidak akan mengambil sikap sambil lewa dan goyang kaki dengan pencapaian yang berjaya dikecapi.
“Keputusan awal ini akan memberi kami rangsangan untuk meneruskan lagi transformasi BH,” tekan Encik Nazry.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya pada majlis penyampaian Anugerah Jauhari 2023 yang diadakan di Four Seasons Hotel Singapore.
Transformasi besar-besaran BH itu bermula awal 2023 yang menyaksikan berlaku pertukaran pucuk pimpinan bilik berita dan penyusunan semula utama bilik berita. Encik Nazry mengambil alih sebagai Editor BH pada Jun 2023.
Di bawah transformasi tersebut, BH telah menetapkan matlamat menjadi bilik berita ‘Digital Dahulu’, atau ‘Digital First’.
“Dengan strategi ini, kami mengalihkan tumpuan daripada menjadi media cetak semata-mata dengan beberapa kandungan digital, kepada bilik berita berbilang media dengan kandungan cetak,” ujar Encik Nazry.
Sejak Jun, operasi berita BH juga telah berubah dengan adanya kandungan dan kolum baru serta laporan serantau yang telah ditambah.
BH juga telah mengembangkan pasukannya dengan lebih ramai bakat muda untuk menambah idea serta dinamisme bilik berita.
Pasukan media sosial juga telah diwujudkan selain kumpulan khas yang didedikasikan bagi audiens dan rakan kerja BH.
Strategi kandungan BH juga telah diubah. Jelas Encik Nazry:
“Kami tidak lagi boleh menghasilkan kandungan dan mengharapkan orang akan tahu dan membacanya. Kami kini melakukan tiga perkara.
“Pertama, memahami keperluan audiens melalui analisis data. Kedua, mendekati audiens melalui perhubungan dalam talian dan secara fizikal. Ketiga, mengetengahkan kandungan kami melalui media sosial untuk meningkatkan lagi pendekatan.”
Melangkah ke hadapan, pelan utama strategi BH adalah mendekati audiens muda, tambah beliau.
Beliau berkongsi bahawa BH bercadang melancarkan platform baru, OMG, untuk mendekati golongan muda. Butiran lanjut mengenai OMG akan diumumkan dalam masa terdekat.
“
“Kami tidak lagi boleh menghasilkan kandungan dan mengharapkan orang akan tahu dan membacanya. Kami kini melakukan tiga perkara. Pertama, memahami keperluan audiens melalui analisis data. Kedua, mendekati audiens melalui perhubungan dalam talian dan secara fizikal. Ketiga, mengetengahkan kandungan kami melalui media sosial untuk meningkatkan lagi pendekatan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg