Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

WACANA

Perlu ganda usaha dekati golongan pembaca muda

Jul 16, 2023 | 05:30 AM



Baru-baru ini, saya berbual dengan anak saya tentang tabiat membaca beliau.

Anak saya mahasiswa tahun kedua jurusan perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Begini perbualannya:

Saya: Selalu baca berita?


Anak saya: Tak selalu tetapi saya cuba ikuti perkembangan semasa di luar waktu kuliah.


Saya: Macam mana dapat bahan berita?


Anak saya: Daripada saluran media sosial saya seperti TikTok, Instagram dan WhatsApp.


Saya: Tak baca surat khabar?


Anak saya (sambil tersipu-sipu): Tak...


Saya: Apa berita yang menarik perhatian?


Anak saya: Buat masa ini saya baca tentang isu Ridout Road dan Pilihan Raya Presiden.


Sebenarnya, tabiat anak saya ini bukanlah unik. Golongan seperti beliau mahu mengikuti isu semasa tetapi menerusi cara mudah dan yang menarik minat mereka. 

Tingkah laku ini mencerminkan gaya hidup dan tabiat pembacaan berita yang semakin ketara dalam kalangan pembaca muda sekarang ini.

Trend ini menjejas bukan sahaja warga milenial di Singapura bahkan di seluruh dunia. 

Rata-rata, warga digital atau ‘digital native’ ini lebih gemar menggunakan wadah media sosial daripada laman dan aplikasi agensi berita rasmi sebagai ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan kandungan berita, maklumat dan sajian hiburan. 

Janganlah harapkan mereka membayar bagi bahan berita yang mereka rasa boleh didapatkan menerusi saluran percuma lain.

Tabiat pembacaan dan gaya hidup yang berubah ini menimbulkan cabaran besar kepada bilik berita di seluruh dunia termasuk Berita Harian (BH).


Malah, akhbar ini berdepan dengan cabaran yang berganda.

Kami berdepan bukan sahaja dengan tabiat penggunaan berita yang berubah, malah ancaman daripada penggunaan bahasa Melayu yang semakin merosot dalam kalangan golongan muda.

Banci penduduk Jabatan Perangkaan terbaru yang dikeluarkan pada 2021 menunjukkan lebih ramai isi rumah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang paling kerap ditutur di rumah.

Pada 2020, kira-kira 63 peratus orang Melayu berumur antara lima dengan 14 tahun bercakap bahasa Inggeris di rumah, berbanding 25 peratus pada 2010.

Menyifatkan trend itu sebagai membimbangkan, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam ucapan di satu pesta bahasa pada 2021 berkata:

“Apabila anda kehilangan bahasa, anda kehilangan satu bangsa. Kita perlu menangani isu ini supaya orang Melayu tidak akan hilang identiti mereka.”

Jika tidak ditangani, cabaran seperti ini bakal menjejas periuk nasi syarikat akhbar dan menggugat keupayaan syarikat-syarikat ini untuk berdaya tahan dalam jangka panjang.

Malah, ada yang telah pun gulung tikar kerana tidak mampu menampung kerugian.

Justeru, seperti banyak syarikat media lain, akhbar ini tidak mampu berpeluk tubuh dalam menghadapi cabaran yang genting ini.

Malah, strategi sedang giat disusun untuk mendekati pembaca muda di bawah satu rangka transformasi digital.

Transformasi ini dirasakan penting untuk membangunkan perniagaan yang mampu berdaya tahan dan kalis masa depan.

Antara inisiatif baru termasuk memperkemas dan memperbanyakkan kandungan digital di wadah-wadah media sosial akhbar ini.

Satu wadah khusus yang diberi nama OMG! atau Orang Muda Gitew turut diperkenalkan untuk memikat pembaca muda.

Kandungan berita turut dihasilkan dengan mengambil kira profil dan cita rasa pembaca yang dikenal pasti menerusi sistem analisis data yang canggih.

Sebuah seksyen Audiens dan Pertumbuhan turut dibentuk untuk menjalankan tinjauan dan aktiviti mendekati pembaca.

Sebuah kelab pembaca muda atau Kelab Gen G juga dibentuk untuk menarik minat belia dan mengasah bakat kewartawanan.

Di samping itu, sumber tenaga kerja turut ditambah dengan pengambilan bakat-bakat baru dalam bidang digital untuk mengembang daya kreativiti dan bakat kewartawanan di bilik berita.

Dalam mencerna idea-idea baru, akhbar ini turut meninjau pengalaman akhbar-akhbar di SPH Media Trust dan juga agensi berita di negara-negara lain.

Pengalaman di beberapa syarikat media ini menjadi bukti tentang keupayaan pelan transformasi yang tersusun dalam mengubah cabaran perniagaan menjadi peluang-peluang pertumbuhan.

Contohnya, beberapa syarikat penerbitan, termasuk The Economist, The Telegraph dan The Financial Times berjaya melawan arus dengan melaksanakan strategi khusus untuk menarik pembaca muda.


Baru-baru ini, Berita Harian menjalin kerjasama dengan FT Strategies, sebuah anak syarikat langganan The Financial Times (FT) yang merupakan antara akhbar bisnes terulung dunia.


Project FT Strategies dengan Berita Harian disokong Google News Initiative.


FT Strategies berperanan meluaskan pangkalan pelanggan syarikat antarabangsa menerusi transformasi digital.

Antara lain, firma itu membantu klien menghasilkan pendapatan berulang, meningkatkan langganan, membina penglibatan dan mencipta budaya yang mengutamakan pelanggan.

Firma itu turut membantu mengubah organisasi, membina produk dan usaha niaga baru, dan perniagaan kalis masa hadapan.

BH adalah antara enam syarikat media dari rantau ini yang dipilih oleh kumpulan tersebut untuk mengongsi pengalaman dan kepakaran dalam mendekati pembaca khususnya golongan muda. 

BH juga merupakan satu-satu akhbar setempat yang dipilih untuk menyertai program perkongsian enam bulan itu.

Antara contoh program pendekatan yang dikongsi termasuk inisiatif FT menawarkan bahan berita percuma bagi pelajar sekolah yang bertujuan membina kepercayaan dan kesetiaan pembaca. 

Program ini telah direka bentuk untuk membantu pelajar mengkontekstualisasikan kurikulum sekolah mereka dengan artikel berita yang berkaitan tentang FT.

Pelajar boleh membuat akaun mereka sendiri dan menerima khabar e-mel mingguan.

Ini bertujuan menggalak kanak-kanak sekolah untuk mencuba kandungan FT secara kerap supaya kemudian mereka lebih cenderung untuk mencari kandungan FT dan bersedia untuk membayarnya apabila memasuki alam pekerjaan pada masa depan.

Yang nyata, banyak lagi idea-idea bernas seperti ini yang boleh diterokai untuk membantu akhbar ini kekal relevan di hari muka.

Pucuk pangkalnya, usaha perlu digandakan untuk menggalak penggunaan bahasa Melayu agar bahasa ibunda ini tidak pupus ditelan zaman.

Bagaimanapun, cabaran mendekati pembaca muda bukanlah perkara yang mudah kerana syarikat penerbitan berdepan dengan saingan sengit dan kos yang semakin tinggi.

Justeru, kita kenalah tabah dan menguatkan semangat kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >