Topik diikuti
Pergi ke BHkuTransformasi infantri ubah cara tempur, pelihara nyawa askar guna dron
Transformasi infantri ubah cara tempur, pelihara nyawa askar guna dron
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyingkap wajah Batalion Infantri Generasi Seterusnya (NGIB) buat julung-julung kalinya di Latihan Wallaby (XWB) 2026, Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia.
Berpaksikan tiga tonggak utama iaitu bertempur dengan lebih bijak (fight smarter), beroperasi dengan lebih bersepadu (integrate better), dan bersedia untuk masa hadapan (future-ready), SAF mengesahkan rangkaian keupayaan NGIB yang lebih menyeluruh, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan keupayaan infantri generasi seterusnya.
Pihak media berpeluang menyaksikan demonstrasi khas keupayaan infantri tersebut yang dipamerkan oleh Batalion Kelima Rejimen Infantri Singapura (5SIR) di Kemudahan Latihan Operasi Bandar (UOTF), yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), pada 22 Oktober.
Demonstrasi tersebut memperlihatkan ‘gambaran awal’ konfigurasi NGIB yang kini memperkasa doktrin infantri batalion SAF, sebelum ia terus berkembang untuk keperluan operasi masa hadapan.
Pendekatan ‘mesin didahulukan’ pelihara nyawa askar
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan tempur, satu ciri utama NGIB ialah gabungan penggunaan antara manusia dengan sistem tanpa pemandu.
Sistem tanpa pemandu yang dimaksudkan termasuk dron pengawasan dan dron serangan, untuk membantu melaksanakan tugas yang boleh mendedahkan askar kepada bahaya.
Selain itu, askar NGIB boleh meningkatkan kesedaran keadaan di medan pertempuran menerusi Sistem Pengurusan Medan Perang (BMS) baharu.
Ia merupakan peranti yang menghubungkan pengguna dalam satu persekitaran digital bersama dan menyediakan maklumat terkini secara masa nyata, berdasarkan perkongsian maklumat oleh askar di lapangan.
Menjelaskan perubahan tersebut, Ketua Pegawai Infantri (CIO) yang juga Panglima Divisyen ke-9 (Comd 9 DIV), Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, 47 tahun, berkata pendekatan sedemikian mengutamakan penggunaan mesin bagi meningkatkan daya tahan dan keselamatan askar di medan pertempuran.
“Ini berkaitan dengan kelangsungan hidup (askar), dengan prinsip utama sentiasa mengutamakan penggunaan mesin terlebih dahulu.
“Misalnya, jika kita perlu menghantar pasukan kecil untuk menjalani misi peninjauan atau serangan jauh di kawasan musuh, operasi sedemikian mempunyai risiko yang sangat tinggi,” katanya.
“Kini, dengan adanya sistem tanpa pemandu, kita boleh melaksanakan misi tersebut dari jarak jauh tanpa perlu menghantar anggota ke kawasan berbahaya,” ujar beliau, yang menambah, anggota tentera tidak perlu didedahkan kepada bahaya dan risiko yang sebelum ini terpaksa mereka hadapi.
Selaras dengan itu, NGIB turut membolehkan komander menyusun dan mengatur pasukan mengikut keperluan misi, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti untuk melaksanakan pelbagai misi secara serentak.
“Apa yang penting bukanlah sama ada kita bertempur dengan bilangan askar yang lebih sedikit atau lebih ramai, tetapi keupayaan yang dapat kita gunakan dalam pertempuran,” jelas BG Fairoz.
Kompeni disusun semula: 5 platun, lebih anjal dan buka peluang kepimpinan
Di bawah NGIB, setiap kompeni senapang akan terdiri daripada lima platun, dengan setiap platun mempunyai dua seksyen yang masing-masing dianggotai enam askar, sekali gus menyediakan 10 seksyen senapang kepada komander.
Ini berbeza daripada struktur kompeni senapang pada masa ini, yang terdiri daripada tiga platun dengan setiap platun mempunyai tiga seksyen yang masing-masing dianggotai tujuh askar.
Dengan struktur tersebut, ia membolehkan komander menyusun dan mengatur pasukan mengikut keperluan operasi sesuatu misi, termasuk apabila keadaan di medan pertempuran berubah.
Seperti contoh, sebuah platun boleh ditugaskan untuk mengawal sebuah bangunan, manakala platun lain membersihkan laluan dan platun ketiga mengawal persimpangan penting.
Dua platun yang selebihnya pula boleh ditempatkan sebagai pasukan simpanan.
Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef), NGIB akan secara berperingkat menyepadukan keupayaan baharu bagi meningkatkan keupayaan pengesanan, perlindungan dan daya pemusnahnya.
Ini termasuk penggunaan Mesingan Ringan (LMG) baharu serta Kenderaan Infantri Tempur Generasi Seterusnya (NG IFV).
Pegawai Pemerintah (CO) Batalion Kelima Rejimen Infantri Singapura (5SIR), Leftenan Kolonel (LTC) Shahreel Rajaratnam, menyifatkan NGIB sebagai “pisau jenis Swiss Army”.
“Bergantung pada keperluan misi, kita boleh memanfaatkan teknologi tersebut dengan mengutamakan penggunaan mesin dalam setiap operasi yang dijalankan.
“Dengan cara ini, keselamatan askar dapat dipelihara, sementara mesin dikerahkan terlebih dahulu untuk melaksanakan tugas yang berbahaya atau membebankan,” kongsi beliau.
Semua batalion infantri aktif SAF telah ditransformasikan kepada NGIB.
Tentera Singapura mempunyai enam batalion infantri aktif, termasuk 5SIR.
Seksyen khusus ‘Steel Net’ bawa dron langsung ke baris hadapan
Dalam NGIB, setiap kompeni juga akan mempunyai dua Seksyen Steel Net khusus, iaitu pasukan yang ditugaskan untuk mengendalikan sistem tanpa pemandu, termasuk dron pengawasan dan dron serangan.
Pasukan tersebut juga mempunyai kepakaran dalam menggunakan sistem tersebut bagi menyokong operasi infantri.
Bergantung pada keperluan misi, antara dron pengawasan dan dron serangan yang dikendalikan oleh seksyen Steel Net adalah sistem udara tanpa pemandu Vesper, ARTOS, ARES dan kuadkopter M6F.
Bagi memudahkan pengendalian pelbagai jenis dron, sistem itu turut dilengkapi sistem arahan dan kawalan bersepadu yang membolehkan askar mengendalikan dron secara seragam, tanpa perlu menghafal fungsi pengawal yang berbeza bagi setiap model dan jenis misi.
Malah, fungsi dan susunan butang pada pengawal diselaraskan supaya beroperasi dengan cara yang sama tanpa mengira jenis dron atau misi yang dilaksanakan.
Komander Steel Net, Sarjan Ketiga (3SG) Scott Michael Thomas, berkata penggunaan dron dan aset teknologi baharu itu memberikan keyakinan kepada beliau dan anggota di bawah pimpinannya ketika bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran.
“Memandangkan mereka tahu dengan tepat di manakah musuh berada, mereka juga tahu dengan tepat di manakah mereka boleh melancarkan serangan dan di manakah mereka boleh menyempurnakan misi tersebut.
“Ini memberikan kita kelebihan ‘bermain di gelanggang sendiri’ dalam pelaksanaan operasi-operasi ini,” jelas beliau, yang juga merupakan Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF).