Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wadah lebih baik tangani penipuan

BERTINDAK TERHADAP PENIPUAN DENGAN KERJASAMA PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF)
Oct 2, 2024 | 11:57 AM
Terus berjaga-jaga. Pastikan anda muat turun aplikasi ScamShield yang baru dan lindungi diri anda dan keluarga daripada penipuan.
Terus berjaga-jaga. Pastikan anda muat turun aplikasi ScamShield yang baru dan lindungi diri anda dan keluarga daripada penipuan. - Foto ISTOCKPHOTO

Pembeli tetap dalam talian, Encik Jonathan Cheow, 33 tahun, sering menerima mesej WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali.

“Apabila saya bakal menerima bungkusan, saya biasanya akan dapat peringatan terkini daripada pihak penjual atau penghantaran,” kata pereka dalaman itu.

“Jika nombor penghantaran atau pesanan disertakan dalam mesej, saya tidak akan terlalu bimbang,” tambahnya.

Tetapi perkara ini tidak sering berlaku. Encik Cheow kadangkala menerima mesej yang mendakwa alamatnya perlu dikemas kini, atau bayaran tambahan diperlukan, bagi menghantar barangannya.

Helah sebegini dikenali sebagai penipuan bungkusan penghantaran dan biasanya menyediakan pautan pancingan data yang dihantar melalui mesej teks atau e-mel untuk memperdaya mangsa agar memberikan butiran peribadi dan perbankan mereka. Penipu kemudian akan menggunakan butiran itu untuk membuat transaksi tanpa kebenaran.

“Jika saya membuat pembelian baru-baru ini, saya mungkin fikir ia benar, terutamanya jika ia datang daripada nombor telefon tempatan,” kata Encik Cheow. “Tetapi saya tidak dapat pastikan,” tambahnya.

Lebih banyak cara tangani

Di manakah Encik Cheow boleh mendapatkan kepastian tentang (kemungkinan) penipuan ini? Gunakan: Talian bantuan baru ScamShield dengan keupayaan aplikasi yang telah dipertingkatkan.

Ini antara empat komponen utama ScamShield Suite, yang dilancarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dengan kerjasama Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan Produk Pemerintah Terbuka (OGP) baru-baru ini. Ia bertujuan menjadikan maklumat dan sumber berkaitan penipuan lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Wadah ini menggabungkan beberapa sumber antipenipuan di bawah satu jenama, menjadikannya lebih mudah bagi orang ramai ingat dan menggunakannya, kata Encik Jeffery Chin, timbalan pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, SPF.

Talian bantuan yang dipermudahkan (1799) beroperasi 24/7, menawarkan pilihan mudah kepada orang ramai untuk periksa adakah keadaan yang mereka hadapi adalah penipuan, kata Encik Chin.

Versi terkini aplikasi ScamShield ini termasuk alat semakan penipuan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pengguna mengenal pasti (kemungkinan) kes penipuan.

Pengguna boleh mengisi nombor telefon, mesej atau pautan yang mencurigakan untuk pengesahan dalam aplikasi tersebut, yang kemudiannya akan memberikan pengguna maklumat, sama ada nombor yang dikirimkan dikaitkan dengan satu penipuan.

Ciri ini adalah antara peningkatan yang diperkenalkan untuk “menawarkan orang ramai dengan cara yang lebih baik untuk melindungi diri mereka dalam landskap penipuan yang berkembang pesat”, kata Cik Reshma Vasu, pengurus produk kanan, OGP.

Anda juga boleh melaporkan percubaan penipuan melalui aplikasi ini, memaklumkan kepada pihak berkuasa agar menyemak nombor yang mencurigakan dan menyekatnya.

Dengan berbuat demikian, pengguna boleh membantu diri mereka sendiri dan orang ramai serta mengurangkan jumlah panggilan atau mesej penipuan yang diterima, tambahnya.

Melaporkan nombor yang mencurigakan juga akan membantu meluaskan butiran dalam senarai hitam penipu di aplikasi ScamShield dan melatih kecerdasan buatan AI mengenal pasti penipuan baru.

Pertama kali dilancarkan pada 2020, aplikasi ScamShield telah dibangunkan oleh OGP dengan kerjasama SPF dan NCPC. Ia telah dimuat turun sebanyak sejuta kali dan telah menyekat lebih 178,000 penipuan yang dikaitkan dengan panggilan penipuan atau SMS, kata polis.

Lebih mudah kenal pasti

Sebagai sebahagian daripada ScamShield Suite, laman web baru, (ScamShield.gov.sg) akan berfungsi sebagai portal sumber sehenti untuk menyekat penipuan.

Ia termasuk nasihat tentang muslihat penipuan terkini, langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan penipuan dan tindakan perlindungan yang boleh digunakan oleh individu bagi meningkatkan kesedaran daripada penipuan.

Dengan saluran ScamShield yang baru di platform WhatsApp dan Telegram, Encik Chin berkata platform ini “membolehkan anda mengetahui muslihat dan maklumat penipuan terkini bagi memastikan diri anda selamat.”

Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Ikuti aplikasi ScamShield yang terbaru.
Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Ikuti aplikasi ScamShield yang terbaru. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Lindungi diri anda dan keluarga dari penipuan dalam talian. Semak dahulu sebelum bertindak.
Lindungi diri anda dan keluarga dari penipuan dalam talian. Semak dahulu sebelum bertindak. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg