Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tujuh ditangkap kerana dakwaan tukar alamat orang melalui khidmat dalam talian ICA

Khidmat tukar alamat sendiri disambung dengan langkah keselamatan tambahan diperkenal
Jan 14, 2025 | 10:51 PM
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menyambung semula khidmat yang membolehkan orang ramai menukar alamat mereka sendiri dan melaksanakan langkah keselamatan tambahan untuknya
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menyambung semula khidmat yang membolehkan orang ramai menukar alamat mereka sendiri dan melaksanakan langkah keselamatan tambahan untuknya - Foto ST

Tujuh orang ditahan kerana didakwa menggunakan khidmat dalam talian atau laman e-khidmat Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bagi menukar alamat rumah berdaftar penduduk di sini.

Dalam satu kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 14 Januari, polis mendedahkan enam lelaki dan seorang wanita, berusia antara 19 hingga 32 tahun, dikatakan bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 30 kes percubaan menukar alamat tanpa kebenaran, yang kali pertama diumumkan ICA pada 11 Januari.

ICA berkata ia kemudian menggantung khidmat dalam talian itu, buat sementara waktu, selepas 80 percubaan tanpa kebenaran menukar alamat rumah berdaftar melalui khidmat itu dilaporkan. 75 peratus daripada percubaan itu berjaya membuat pertukaran alamat.

Berdasarkan kemas kini pada 14 Januari, ICA berkata sehingga 13 Januari, ia mendapati sejumlah 87 percubaan tanpa kebenaran dibuat, dengan 69 percubaan itu berjaya.

Daripada percubaan yang berjaya ini, ICA berkata pesalah yang terbabit telah menguasai 17 akaun Singpass.

Polis pula berkata antara 11 hingga 13 Januari, lebih 60 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Jabatan Perisik Polis melakukan operasi di serata pulau bagi menangkap suspek.

Enam suspek sedang disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer 1993, kerana mendedahkan kod akses yang menyalahi undang-undang.

Salah seorang daripadanya disiasat kerana mendedahkan kata laluan atau kod akses yang menyalahi undang-undang berhubung dengan Singpass, di bawah Akta yang sama.

Beberapa orang pula disiasat ICA atas dakwaan melanggar Peraturan Pendaftaran Negara, kata polis.

Polis menambah siasatan bagi mengenal pasti pelaku lain sedang dijalankan.

Dalam kemas kini pada 14 Januari juga, ICA berkata ia telah menyambung semula khidmat yang membolehkan orang ramai menukar alamat mereka sendiri di samping melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi proses tersebut.

Pengguna kini mesti melakukan pengesahan wajah apabila log masuk dengan menggunakan akaun Singpass mereka.

Modul yang membenarkan individu menukar alamat untuk orang lain tetap tidak disediakan.

ICA berkata ia sedang mengusahakan langkah keselamatan tambahan untuk mencegah penyalahgunaan, dan membenarkan pertukaran alamat oleh ahli keluarga atau proksi dengan selamat.

ICA juga berkata ia sedang menghubungi kesemua 87 individu yang terjejas untuk memaklumkan mereka tentang percubaan menukar alamat berdaftar mereka manakala usaha mengunjungi rumah mereka yang terjejas akan dibuat jika individu berkenaan tidak dapat dihubungi melalui telefon.

Bagi kesemua 87 kes, ICA berkata ia memudahkan penggantian kad pengenalan individu ini, dan mengembalikan alamat berdaftar mereka dalam pangkalan data kepada yang sah.

Akaun Singpass yang dikaitkan dengan semua 87 kes ini pula diset semula atau digantung, tambahnya.

ICA berkata ia bekerjasama dengan Agensi Teknologi Pemerintah bagi membantu 17 pengguna yang terjejas akaun Singpass mereka.

Polis mengingatkan orang ramai bahawa akaun Singpass adalah untuk kegunaan peribadi dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain.

“Bagi mengelak daripada terlibat dalam aktiviti jenayah, kita harus sentiasa menolak peluang menjana wang yang kelihatan mudah dan menarik, yang menjanjikan bayaran ‘kilat’ sebagai pertukaran untuk penggunaan akaun Singpass, akaun bank atau akaun peribadi yang lain,” tambah polis.

Pada 11 Januari, ICA berkata pelaku menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat kediaman mangsa melalui modul “Lain-lain” (Others) yang membenarkan pertukaran alamat oleh proksi.

Selepas memasukkan nombor Kad Pengenalan mangsa dan tarikh ia dikeluarkan, kiriman surat pengesahan akan dihantar ke alamat berdaftar yang ditentukan oleh penipu, membolehkannya mengakses surat berkenaan dan mengesahkan pertukaran alamat.

Berpura-pura menjadi mangsa, penipu itu kemudian meminta nombor PIN baru untuk dihantar ke alamat tersebut, membolehkannya menetapkan kata laluan baru untuk akaun Singpass mangsa dan mendapat akses bagi akaun itu.

ICA berkata: “Kemungkinan pelaku menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi dan peti masuk (inbox) pihak ketiga untuk menjana lebih banyak akaun keldai untuk digunakan bagi penipuan dan jenayah siber lain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg