Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tujuh karyawan dilantik dalam Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat S’pura

May 28, 2024 | 7:41 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) bersama Anggota Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura yang baru dibentuk, terdiri daripada (dari kiri) Penasihat Syariah dan anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar; Anggota Lembaga Pengarah Pusat Warisan Melayu dan Mendaki, Cik Nadia Yeo; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, selaku pengerusi jawatankuasa itu, dan Pengarah Urusan RHTLaw Asia, Encik Azman Jaafar. Tidak hadir dalam gambar adalah Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim; rakan kongsi, PwC LLP Singapore, Encik Mohamad Saiful Saroni; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Abdul Gafoor.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) bersama Anggota Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura yang baru dibentuk, terdiri daripada (dari kiri) Penasihat Syariah dan anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar; Anggota Lembaga Pengarah Pusat Warisan Melayu dan Mendaki, Cik Nadia Yeo; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, selaku pengerusi jawatankuasa itu, dan Pengarah Urusan RHTLaw Asia, Encik Azman Jaafar. Tidak hadir dalam gambar adalah Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim; rakan kongsi, PwC LLP Singapore, Encik Mohamad Saiful Saroni; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Abdul Gafoor. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebuah jawatankuasa sementara baru telah dibentuk untuk menyelia penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan pelantikan tujuh karyawan daripada masyarakat Melayu/Islam dalam jawatankuasa itu pada 28 Mei.

Jawatankuasa Sementara WMS (WPC) itu akan dipengerusikan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.

Anggota jawatankuasa lain yang diumumkan itu terdiri dari individu yang mempunyai latar belakang dalam pelaburan, pengurusan risiko, audit, hartanah, undang-undang, pengurusan dana serta bimbingan agama.

Mereka adalah Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim; Pengarah Urusan RHTLaw Asia, Encik Azman Jaafar; rakan kongsi, PwC LLP Singapore, Encik Mohamad Saiful Saroni; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Abdul Gafoor; Penasihat Syariah dan anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar dan Anggota Lembaga Pengarah Pusat Warisan Melayu dan Mendaki, Cik Nadia Yeo.

Kesemua anggota telah menerima watikah pelantikan dari Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu majlis yang diadakan di Hab Islam Singapura.

Encik Masagos telah mengumumkan tentang pembentukan WPC sewaktu Perjumpaan Hari Raya Menteri 2024 pada 19 April. 

Jawatankuasa ini ditugaskan untuk membangunkan pelan hala tuju WMS termasuk strategi pengumpulan dana dan pelaburan untuk tahun-tahun awalnya, selain bertanggungjawab untuk melaksanakan model perniagaan yang berdaya maju.

Sambil melahirkan penghargaannya terhadap anggota jawatankuasa WPC atas dedikasi dan kesanggupan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat, Encik Masagos berkata WPC turut bertanggungjawab untuk membentuk rangka kerja teguh dan tadbir urus etika WMS dengan objektif untuk mewujudkan mutawalli yang berkesan.

Lebih penting lagi, beliau menegaskan bahawa WPC perlu mengekalkan kepercayaan awam yang tinggi dengan membangunkan pelan hala tuju yang telus untuk WMS.

Di samping itu, WMS juga merupakan peluang untuk masyarakat Melayu/Islam menjadi sebuah masyarakat berdikari yang diperkasa oleh wakaf, tambahnya.

Encik Masagos menekankan pentingnya menghidupkan legasi wakaf di Singapura melalui WMS demi manfaat generasi akan datang.

“Kami menyeru masyarakat tentang amalan wakaf dan berwasiat adalah sesuatu yang perlu dirancang oleh setiap umat Islam dan bukannya bergantung kepada pembahagian harta pusaka Faraid semata-mata,” kata Encik Masagos.

Anggota WPC juga dijemput untuk berkongsi pengalaman, idea dan rangkaian mereka untuk memastikan permulaan yang kukuh untuk WMS dan untuk melaksanakan model Wakaf unik yang mungkin tidak terdapat di tempat lain dalam Dunia Islam.

Encik Bahren, 62 tahun, pula mengulas tentang kepentingan jawatankuasa itu dalam merealisasikan potensi Wakaf untuk masyarakat.

Beliau berkata: “Kami komited untuk mewujudkan rangka kerja yang teguh yang bukan sahaja akan memastikan kemampanan WMS, malah menyumbang kepada pembangunan sosio-agama yang lebih luas masyarakat kita.”

WMS, yang akan dilancarkan pada Ogos, yang telah ditetapkan sebagai Bulan Wakaf, akan menampilkan pelbagai inisiatif dan kegiatan untuk mempromosikan tentang nilai serta faedah Wakaf.

Antara inisiatif yang telah dirancangkan termasuk Forum Faraid dan Jejak Warisan Wakaf, yang akan mendidik masyarakat mengenai alat perancangan warisan seperti bagaimana pencalonan dan wasiat dapat memudahkan usaha masyarakat untuk menyumbang kepada WMS. 

Butiran lanjut akan dikongsi dalam masa yang terdekat. 

Diumumkan pada Jun 2020, WMS bertujuan membiayai keperluan masa depan masyarakat dan institusi Islam Singapura secara mampan.

Pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) yang diluluskan Parlimen pada Februari 2024 telah membolehkan penubuhan WMS ini.

Berbeza daripada wakaf tradisional, WMS membolehkan individu menyumbang secara sukarela dalam bentuk wang tunai, harta atau pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurut Muis, WMS akan mula menerima sumbangan awam pada 2024.

Di bawah WMS, sumbangan akan dikumpulkan dan digunakan oleh Muis untuk tujuan kolektif seperti pembaharuan pajakan dan penyelenggaraan masjid, pembangunan asatizah serta program kemasyarakatan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg