Bagi Cik Sapiah Salleh yang menetap di Marine Parade, perjalanan menaiki bas ke rumah anaknya di Woodlands lazimnya mengambil masa kira-kira satu setengah jam.
Bagaimanapun masa perjalanan yang cukup panjang itu kini dapat dikurangkan kepada sekitar separuh, dengan pembukaan tujuh stesen MRT baru di sepanjang Tahap Empat Laluan Thomson-East Coast (TEL4).
Cik Sapiah, 67 tahun, adalah di antara penumpang awal yang memanfaatkan khidmat TEL4 yang telah memulakan perkhidmatan penumpangnya pada 23 Jun.
Kereta api pertama telah berangkat dari stesen MRT Bayshore pada 6.16 pagi. Seni bina modennya dengan warna coklat ikonik menghiasi dinding stesen dan pelbagai hasil kerja seni artis tempatan turut ditampilkan di kesemua tujuh stesen kereta api di sepanjang TEL4.
Menurut beberapa penumpang yang ditinjau pada hari pertama khidmat TEL4, pembukaan stesen-stesen itu menawarkan khidmat ketersambungan yang lebih baik dan masa perjalanan yang dikurangkan dijangka menjadikan perjalanan harian lebih pantas dan selesa.
Semasa ditemui Berita Harian (BH) di stesen MRT Tanjong Rhu, Cik Sapiah meluahkan kegembiraannya setelah operasi TEL4 bermula.
“Sekarang saya rasa senang hati dan gembira kerana ada stesen MRT dari Marine Terrace hingga ke Woodlands.
“Anak saya menetap di Woodlands. TEL4 ini memudahkan saya untuk bergerak dan masa perjalanan pun lebih singkat,” kongsi beliau sambil menekankan bahawa pembukaan TEL4 telah menghubungkannya terus ke Woodlands dan kawasan utara lain di Singapura.
Turut berkongsi pandangan serupa ialah sahabatnya, Cik Jaminah Yatiman, 79 tahun, yang juga menetap di Marine Parade. Dengan khidmat terbaru itu, beliau berkata lebih mudah untuk melawat anaknya yang menetap di Canberra.
Stesen MRT Tanjong Rhu merupakan salah satu daripada tujuh stesen baru di sepanjang TEL4. Stesen lain termasuk Katong Park, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore.
Dengan pembukaan TEL4, 27 daripada 32 stesen TEL kini beroperasi dan laluan TEL bakal membawa penduduk di timur lebih dekat dengan bahagian lain di Singapura.
Peminat kereta api, Aniq Hazim Tahir yang berusia 18 tahun, tidak melepaskan peluang untuk mencuba khidmat kereta api yang pertama dari stesen MRT Bayshore.
“Saya berada di sini dari 5 pagi untuk menaiki kereta api pertama TEL 4. Saya tinggal di Yew Tee dan telah ke sini dengan menaiki kereta api juga,” kongsi pelajar Sekolah Pathlight yang telah turun dan naik kereta api di setiap tujuh stesen baru itu dengan penuh semangat.
Sementara itu, Pengurus Operasi Perkhidmatan SMRT, Encik Muhammad Nazeer Hamzah, 38 tahun, yang mengawasi kesemua tujuh stesen di sepanjang TEL4, berkata pihaknya teruja untuk menyambut kedatangan penumpang di stesen-stesen baru itu.
“Sebelum ini, tiada laluan kereta api untuk penduduk di sini. Dengan pembukaan TEL4, ia akan menjadi lebih mudah diakses untuk mereka yang menetap di kawasan ini,” tambah Encik Nazeer yang sudah bekerja di SMRT selama lima tahun.
Beliau juga terlibat dalam TEL Tahap 1 di Woodlands South dan TEL Tahap 2 di Marina Bay.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah merasmikan TEL4 di stesen MRT Marine Parade pada 21 Jun.
Empat stesen lain di sepanjang TEL iaitu stesen Bedok South, pertukaran Sungei Bedok dan Xilin akan dibuka pada 2026 apabila projek Tahap Lima TEL dan lanjutan Laluan Downtown (DTL) selesai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg